Allah
ﷻ telah berfirman di dalam surah al-Ahzab,
ayat 21,
لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ
حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ
كَثِيرٗا ٢١
21. Demi sesungguhnya, adalah bagi
kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang terbaik, iaitu bagi
orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari
akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa
susah dan senang)
[Al-Ahzab: 21]
Justeru itu, telah menjadi
tanggungjawab kepada kita untuk mengikuti dan menjadikan Nabi SAW sebagai
pedoman dan teladan di dalam seluruh kehidupan. Tetapi, bagaimana kita mampu
menjadikan Nabi sebagai ikutan sedangkan kita tidak pernah mengetahui sejarah
hidup baginda?
Sirah Nabi ialah segala apa yaang
kita dapati daripada rekod para ulama tentang sesuatu perkataan atau perbuatan
atau pengakuan atau sifat yang disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW. Dengan
mengetahui aspek-aspek tersebut, maka kita telah mengetahui sirah Nabi.
Sebagai seorang Muslim, mengikuti
Nabi dalam segala aspek adalah suatu tuntutan. Kita tidak boleh bercanggah
dengan sunnah dan jalan kehidupan yang ditunjukkan Nabi SAW. Apabila kita
bercanggah dengan jalan hidup tersebut, maka kita tidak akan menjadi orang yang
diredhai Allah.
Allah berfirman:
وَٱلسَّٰبِقُونَ ٱلۡأَوَّلُونَ مِنَ ٱلۡمُهَٰجِرِينَ وَٱلۡأَنصَارِ
وَٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُم بِإِحۡسَٰنٖ رَّضِيَ ٱللَّهُ عَنۡهُمۡ وَرَضُواْ عَنۡهُ
وَأَعَدَّ لَهُمۡ جَنَّٰتٖ تَجۡرِي تَحۡتَهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَآ
أَبَدٗاۚ ذَٰلِكَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيمُ ١٠٠
100. Dan orang-orang yang terdahulu
yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) daripada orang-orang "Muhajirin"
dan "Ansar" dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka
dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda
akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di
bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah
kemenangan yang besar.
[At-Taubah: 100]
Bagaimana orang yang mendakwa
Salafiyyah tetapi tidak mengkaji sirah Nabi dan para sahabat baginda? Tidak
mengetahui bagaimana kesungguhan dan keazaman mereka dalam memperjuangkan agama
tercinta?
Di dalam kaedah syarak ada
menyebutkan:
إن ما لا يتم الواجب الا به فهو
واجب
Sesuatu yang tidak sempurna melainkan
dengannya maka ia juga wajib.
Para generassi awal daripada kalangan
para sahabat dan tabiin sangat mementingkan pengajian sirah, justeru itu kita
juga hendaklah memberi kepentingan yang utama dalam subjek ini.
Al-Waqidi meriwayatkan daripada
Abdullah bin Umar bin Ali bin al-Husain berkata: Aku mendengar Ali bin
Al-Husain pernah berkata:
كنا نعلَّم أولادنا مغازي الرسول كما نعلمهم السورة من القرآن
Kami mengajar anak-anak kami maghazi
(sirah) Rasul SAW sepertimana kami mengajar mereka satu surah di dalam
al-Quran.[1]