Sebelum ini saya pernah memberi ulasan berkaitan kisah Tsa`labah yang diceritakan oleh Al-Fadhil Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid. Namun video itu terpaksa digugurkan oleh YouTube atas isu copyright. Bahkan, sekarang ini saya begitu berhati-hati membuat video reaction kerana bimbang terjadi isu copyright lagi.
Pun begitu, pertanyaan-pertanyaan berkaitan kisah Tsa`labah ini terus ditanyakan kepada saya. Apatah lagi ramai ustaz-ustaz kita menjadikan hadis ini sebagai galakkan untuk mengajak orang membayar zakat.
Bukan Habib Ali seorang yang menceritakan kisah ini. Tetapi ustaz-ustaz yang lain juga menceritakannya. Bahkan di dalam kitab-kitab sejarah dan sirah umat Islam tidak lekang dengan kisah ini. Oleh itu kritikan hadis ini bukan ditujukan hanya kepada Habib Ali Zainul Abidin hafizahullah, tetapi ia ditujukan secara umum bagi manfaat ilmu.
Sebelum kita mulakan, saya cadangkan anda untuk dapatkan 2 buah buah yang sangat bagus bagi mengukuhkan kefahaman dalam isu ini:
Pertama: Asas Ilmu hadis yang saya sendiri tulis. Ia akan membantu anda memahami secara ringkas istilah-istilah yang digunakan di dalam ilmu hadis.
Kedua: Buku Berguru dengan Sahabat Nabi tulisan Syed Muhammad Nuh yang sangat sesuai menceritakan sifat sahabat-sahabat Nabi.
Anda klik description di bawah, saya ada letakkan link di situ.
Baik, kita masuk kepada perbahasan.
Siapakah Tsa’labah?
Al-Imam Ibn Sa`ad di dalam kitabnya Tabaqat al-Kubra menyatakan nama penuh Tokoh yang kita mahu bincangkan hari ini ialah Tsa’labah bin Hatib bin Amru bin Umayyah. Seorang sahabat Nabi sahabat daripada kalangan Ansar – orang Madinah. Apabila Rasulullah tiba di Madinah, baginda mempersaudarakan Tsa`labah dengan Mu`tab bin al-Hamra’ daripada kalangan orang Khuza`ah Mekah. Tsa`labah menghadiri perang Badar dan Uhud.
(Jilid 3, ms: 351)
Maksudnya, beliau bukanlah orang biasa-biasa seperti kita. Beliau adalah seorang pejuang yang telah menyerah jiwa dan hartanya kepada jalan Allah.
Apakah isunya?
Dikatakan bahawa Tsa`labah minta Nabi doa diberikan harta. Apabila Nabi berdoa, dan dia kaya, dia tak mahu bayar zakat. Lalu turun ayat 75-77 surah al-Taubah. Ramai ulama tafsir yang rekodkan kisah ini di dalam kitab mereka. Tak terkira banyaknya.
Namun di sini kita bukan nak bincang benarkah ia ada dala kitab atau bukan. Bahkan sudah tentu ada – bahkan banyak. Tetapi kita nak bincang, benarkah cerita ini?
Jadi, bagi nak menjawab perkara ini kita akan berikan 3 jenis penghujahan. Satu daripada sudut riwayat hadis, kedua pandangan para ulama, ketiga kefahaman daripada akal yang waras.
Pertama: Daripada sudut riwayat sanad, kisah ini direkodkan dalam banyak kitab. Tetapi majoritinya tidak membawa sanad sedangkan sanad sangat penting di dalam menentukan kebenaran kisah in.
Alhamdulillah terdapat beberapa kita telah membawakan kisah ini dengan sanad yang penuh d dalam Jami’ al-Bayan oleh Imam Al-Tabari, Al-Majma` oleh Al-Haithami, Al-Dur Al-Mansur oleh Al-Suyuti, Al-Dalail oleh Al-Baihaqi dan lain-lain.
Jadi, setelah membawakan sanad, para ulama itu telah terlepas dengan sebarang tanggungjawab tashih atau tadh`if. Bagi orang kemudian yang membaca sanad itulah mereka perlu mengkajinya.
Dalam semakan saya, kesemua sanad itu adalah daripada jalan: Ma`an bin Rifa`ah > daripada Ali bin Yazid > daripada Al-Qasim bin Abdul Rahman > daripada Abi Umamah al-Bahily.
Jadi Madar bagi hadis ini ialah: Ma`an bin Rifa`ah daripada Ali bin Yazid. Pusing mana-mana riwayat pun akan jumpa pada mereka berdua.
Persoalannya, siapakah Ma`an bin Rifa`ah?
Yahya bin Ma`in berkata Dhaif, Ibrahim bin Ya`qub berkata Tidak mampu dijadikan hujah. Ya`qub bin Sufyan berkata Layyin hadis (Tidak boleh diterima riwayatnya secara mutlak apabila berseorangan) dan Abu Hatim bin Hibban berkata Munkarul Hadis.
Jadi, kesimpulannya apabila hadis melalui jalur Ma`an bin Rifa`ah, hadis itu akan berada dalam kategori hadis dhoif berat. Sifat-sifat hadis Dhaif berat ada padanya iaitu perawi digelar Munkarul Hadis. Tidak boleh dijadikan hujah, tidak boleh dijadikan panduan dalam Fadhail Amal, sejarah, pengajaran kisah, atau sebagainya.
Siapakah pula Ali bin Yazid al-Alhani?
Ya`qub berkata dia Wahiy al-Hadis (Pembawa hadis batil), banyak meriwayat riwayat munkar. Yahya bin Ma`in berkata Hadis Ubaidillah bin Zuhr dan Ali bin yazid daripada al-Qasim daripada Abu Umamah secara marfu` adalah lemah. Dan riwayat ini memang Ali bin Yazid ambil daripada Al-Qasim daripada Abu Umamah. Abu Zur`ah al-Razi berkata: Tidak kuat. Abu Hatim berkata Perawi dhaif. Hadis-hadisnya munkar. Al-Bukhari berkata Dhaif. Al-Nasaie berkata Bukan perawi dipercayai (laisa bi siqah), pembawa hadis matruk. Abul Fatah al-Azdi, Al-Daraquthni dan Abu Bakar al-Barqani: Matruk. Al-Hakim Abu Ahmad berkata Zahibul Hadis.
Jadi, kesimpulannya apabila hadis melalui jalur Ma`an bin Rifa`ah,
hadis itu akan berada dalam kategori hadis dhoif berat. Sifat-sifat hadis Dhoif
berat ada padanya iaitu perawi digelar Matruk, Munkar bahkan Zahibul Hadis. Tidak
boleh dijadikan hujah, tidak boleh dijadikan panduan dalam Fadhail Amal,
sejarah, pengajaran kisah, atau sebagainya.
Adakah riwayat ini sahaja yang ada? Tidak – ada lagi riwayat lain tetapi ia lebih teruk daripada ini. Bahkan ia tidak dapat mengukuhkan dan mengangkat darjat riwayat ini. WallahuAlam.
Itu daripada sudut sanad. Apa pula kata-kata ulama muktabar terhadap kisah ini?
Pertama, Imam al-Qurtubi di dalam Tafsirnya menyebutkan; selepas membawa kisah ini.
قُلْتُ: وَثَعْلَبَةُ بَدْرِيٌّ أَنْصَارِيٌّ وَمِمَّنْ شَهِدَ اللَّهُ لَهُ وَرَسُولُهُ بِالْإِيمَانِ، حَسَبَ مَا يَأْتِي بَيَانُهُ فِي أَوَّلِ الْمُمْتَحَنَةِ «١» فَمَا رُوِيَ عَنْهُ غَيْرُ صَحِيحٍ. قَالَ أَبُو عُمَرَ: وَلَعَلَّ قَوْلَ مَنْ قَالَ فِي ثَعْلَبَةَ أَنَّهُ مَانِعُ الزَّكَاةِ الَّذِي نَزَلَتْ فِيهِ الْآيَةُ غَيْرُ صَحِيحٍ، وَاللَّهُ أَعْلَمُ.
“Tsa’labah adalah seorang Badri (orang yang menyertai peperangan Badar), seorang Ansari, dan dari kalangan mereka yang disaksikan keimanan mereka oleh Allah dan Rasul-Nya sebagaimana yang akan diterangkan dalam permulaan surah al-Mumtahinah. Apa yang diriwayatkan tentangnya adalah tidak sahih. Abu Ammar mengatakan: Apa yang diriwayatkan mengenainya (tentang keengganan mengeluarkan zakat) adalah tidak sahih”. WallahuAlam.
Anda boleh rujuk Tafsir al-Qurtubi / Al-Jami` li Ahkamil Quran. Jilid8, halaman 210.
Kedua, Imam Ibn Hazm mengatakan; selum membawa kisah ini.
أَنَّهُ قَدْ رُوِّينَا أَثَرًا لَا يَصِحُّ، وَفِيهِ أَنَّهَا نَزَلَتْ فِي ثَعْلَبَةَ بْنِ حَاطِبٍ - وَهَذَا بَاطِلٌ، لِأَنَّ ثَعْلَبَةَ بَدْرِيٌّ مَعْرُوفٌ،
Telah disampaikan kepada kami beberapa kisah tidak sahih. Antaranya mengaitkan ayat ini (Al-Taubah 75) diturunkan kerana Sa`labah bin Hatib. Ini palsu. Kerana Sa`labah adalah seorang ahli badar yang dikenali.
Anda boleh rujuk Al-Muhalla bil Atsar, Jilid 12, Halaman 137.
Itu daripada sudut sanad hadis dan pandangan ulama. Bahkan dengan kedua-dua perkara itu sudah cukup kuat mengatakan bahawa kisah ini tidak benar.
Pun begitu, bagi mengukuhkan lagi pegangan kita yang mengatakan kisah ini palsu sekalipun banyak diceritakan , saya bawakan beberapa hujah akal yang waras untuk anda.
Pertama: Tsa`labah adalah salah seorang ahli badar. Hampir-hampir tiada ulama yang mengatakan sebaliknya. Dia memang ahli badar. Perajurit perang badar. Jadi, bagaimana seorang ahli badar yang kita tahu adalah ahli syurga, paling taat dengan Nabi, bahkan korbankan nyawa pun dia mahu, apatah lagi korbankan harta benda? Takkanlah dia tak mahu korban harta benda sedangkan dia mahu korbankan nyawa?
Ada orang kata: Isk jihad hawa nafsu lebih berat daripada jihad perang! Ini kenyataan yang tidak benar! Sifat orang munafik ialah mereka tidak mahu menyerahkan harta, apatah lagi berperang. Tapi kalau sekadar serah harta tanpa perang, orang munafik masih mahu. Inilah yang kita dapat lihat daripada kemunafikan yang berlaku dalam perang Uhud. Orang munafik tak mahu pergi perang sekalipun mereka membayar zakat kepada Nabi Muhammad SAW.
Ia sangat berbeza dengan Ahli Badar! Mereka dijanjikan syurga. Lalu mereka telah melengkapi sifat-sifat Muslim, Mukmin dan Ahli Syurga yang sebenar.
Nabi Muhammad SAW bersabda:
5- لن يَدخُلَ النَّارَ رَجُلٌ شَهِدَ بَدْرًا والحُدَيْبيةَ.
Sampai bila-bilapun sesiapa yang menghadiri perang badar dan perjanjian Hudaibiyyah tak akan masuk ke dalam api neraka.
Hadis ini Sahih diriwayatkan oleh Imam Ahmad.
Kedua: Di dalam hadis Abu Daud, Bab Zakat Al-Saimah, menunjukkan Nabi SAW akan memaksa orang yang tidak membayar zakat dengan hukum diambil hartanya separuh. Tiba-tiba dikatakan Tsa`labah dibiarkan. Ini Mustahil! Sepatutnya jika Sa`labah tak mahu bagi zakat, nescaya Nabi selaku pemerintah akan mengarahkan penguatkasa yang beliau lantik untuk merampas harta Tsa`labah. Tetapi tidak ada satupun riwayat yang menyebutkan tentang rampasan itu. Bahkan yang terjadi ialah hadis tidak sahih ini yang mendakwa Nabi membiarkannya. Ia mustahil berlaku kepada pemimpin yang adil dan berintegriti seperti Nabi Muhammad SAW.
Ketiga: Abu Bakar berperang dengan orang yang murtad dan tidak mahu membayar zakat. Tiba-tiba dalam kisah tak betul ni, dia tidak mahu terima zakat Tsa`labah. Ini juga Mustahil!
Keempat: Tidak ditemui kisah seorang pun sahabat Nabi yang kedekut apabila hartanya banyak, melainkan cerita palsu ini! Sebaliknya para sahabat Nabi berlumba-lumba melakukan kebaikan dengan menginfakkan harta mereka di jalan Allah.
Anda baca buku “Berguru dengan Sahabat Nabi” ni. Belilah di Shopee. Pelaburan baru RM 35 sahaja tapi manfaatnya insyaAllah sangat berharga – anda akan kenal sikap-sikap sahabat Nabi yang menjadi anak murid Nabi yang paling bagus. Bagaimana mereka mencontohi Nabi dengan sebenar-benarnya.
Anda tak akan jumpa daripada kalangan mereka yang kedekut ‘pi`aq’ sepertimana yang dikisahkan ini.
Kelima: Jika benar beliau telah syahid dalam
perang Uhud sepertimana dakwaan Ibn al-Kalby, maka malulah kita kerana
mernyebarkan cerita tak betul ini!
WallahuAlam….
0 Comments
Post a Comment