Kisah lama, Saya budak kampung.

Duduk Kuala Perlis. Masa tu, nak pergi ke sekolah di pekan, nak kena naik sampan. Aras air dengan sampan - setara. Bila masuk musim pilihanraya, kami dapatlah baju safety free. Tapi pakai seminggu saja... lepas tu sangkut kat bawah rumah.

Sekarang ni, yang kerja mendayung sampan pun dah arwah-arwah belaka kecuali abang Beni - dah jadi imam Masjid Abu Bakar, Kuala Perlis.



Sahabat,

Saya budak kampung. Kami tidak istimewa. Sangat tidak istimewa.

Sebahagian guru sekolah anggap kami ni lekeh. Cikgu dari bandar, tengok baju kami tak basuh, kotor dan selekeh - habis dikutuk.

Mungkin sahabat saya Zahir Halim masih ingat, ada cikgu yang selalu sebut, "Kalau kola, kola jugak!" - sangat tipis harapannya kepada kami, budak kampung.

Ya, bukan semua guru begitu. Hampir kesemua guru yang lain, sikap mereka sangat bagus - antaranya, Teacher Rasyidah. Guru bahasa Inggeris yang sangat lembut dengan murid-murid.

Sahabat,

Saya ini budak kampung. Sebahagian hal, pelajaran saya dan kawan-kawan agak ketinggalan jika nak dibandingkan dengan pelajar di bandar. Bila bercerita tentang pelajaran isteri saya di Kuala Lumpur dengan saya di Kuala Perlis... JAUHHHHHH BEZANYA.....

Sahabat,

Saya rasa di sekolah - sayalah yang paling alim. Hahaha

Pergi sekolah pakai kopiah selepet atau ketayap buruk. Bergaduh berguling dalam bendang sebab 'marka' pun, pakai kopiah. Kawan saya, si Pipi baling kopiah punya jauh. Hahahaha sakit hati punya pasai. Balik rumah, mengadu kat ayah - kena balun sekali lagi.

Sahabat,

Waktu darjah 5 dan 6, imam solat bersama-sama dengan rakan-rakan, sayalah akan ditolak. Saya rilek jadi imam. Kira orang paling baguih lah.. Al-maklum,,, pakai kopiah pergi sekolah.

Tapi... saya ni budak kampung. Pendidikan tak hebat sangat. Baca al-Quran tak pandai sangat. Berbekalkan bacaan 'Jahama' yang dipelajari dari Cik Imah, Tokey Kedai Runcit. Tak jauh dari rumah YB Azam Karap. Masa tu, cikgu quran, pakai selendang saja.

Solat? Saya selalu ikut orang sahaja. Tapi nak ikut siapa? Ikut orang sekeliling. Sekali sekala, ayah saya ajar. Tapi, ayah saya juga ayah kampung. Salah sikit, kena tengking sampai pekak. Keras. Tangan terbang? Itu biasa.

Saya ingat lagi, masa darjah 5 atau 6. Ayah suruh baca bacaan Tahiyyat akhir. Saya tak lulus. Kena tengking sampai bergegar satu rumah. Saya boleh sebut, "Attahiyya...." saja. Abg saya Soleh My, advance sikitlah masa tu.

Pun begitu, saya selalu ikut ayah pergi ke surau.

Ayah saya tok imam ganti kat surau. Hujung-hujung, abang Beni pun jadi imam kat situ. Surau Kampung Pulau Ketam.

Tapi.. saya budak kampung... baca Iftitah pun saya tak tahu... hanya sebut ''pss,, psss.. pss.." Sebab... itulah bunyi yang saya dengar dari jemaah sebelah.

Sahabat, Allah sayang kita.

Apabila saya dapat belajar di Johor (SMAKJ, Kluang) - atas bantuan Pengarah Jabatan Agama Johor ketika itu - baru saya belajar banyak perkara. Kalau tengok result UPSR, memang saya tak layak masuk sekolah tu. Itu sekolah budak pandai-pandai. Saya, tak pandai.

Alhamdulillah, masuk SMAKJ, saya dapat banyak ilmu. Sangat banyak. Walaupun terpaksa bersedih, balik kampung 2 kali setahun - mak ayah tak pernah datang ambil report card sekolah.

Kadang-kadang tersenyum tengok ayah Noor Yasmin datang ambil report card - sebab nama ayah dia dan ayah saya, sama - kami sama-sama anak "Yatim". =)

Saya mula belajar solat dengan betul.

Belajar bacaan dalam solat, baca al-quran - sehingga lancar. Alhamdulillah. Dan.. di situlah saya mula belajar bahasa Arab. Pertama kali. Sedangkan kawan-kawan saya, semua dah pandai-pandai. Saya baru bertatih. Kamus al-Marbawi dibawa merata-rata. Bahkan, sampai sekarang saya masih simpan dan guna kamus itu.

Alhamdulillah.. ketika tingkatan 4, saya dilantik sebagai Pengawas Biro Kerohanian, disamping AJK terpaksa, adikku Safizah Samanu.

Saya susun jadual imam, buat program berzanji, marhaban, yasinmalam jumaat, puasa 3 bulan, tadarus nisfu syakban dan sebagainya.

Bilik Surau Abu Bakar al-Siddiq, saya kemas dan tidur di situ. Hahaha port kawan-kawan simpan phone.

Demikian sedikit kisah saya.

Sahabat,

Saya tak tahu - adakah anda dapat sesuatu dari perkongsian saya ini. Tetapi saya mahu menyebutkan;

Hidup manusia berjalan... sikit demi sedikit.
Maju setapak demi setapak.
Kadang-kadang kita perasan,
Kadang-kadang tidak.

Alhamdulillah, beberapa tahun lepas, saya terbitkan buku berjudul "Tatacara Solat Rasulullah berpandukan Mazhab al-Syafii"...

Cuba anda bayangkan!

Seorang budak kampung yang ketika darjah 5, tak tahu baca tahiyat akhir! Tingkatan 1, masih baca Iftitah, "psss...psss...".. kemudian menulis buku "Tatacara Solat Rasulullah berpandukan Mazhab al-Syafii"

Sememangnya, Allah-lah yang mengaturkan semua ini!

Bukan saya mahu berbangga. Kerana tiada kelonggaranpun untuk saya berbangga. Tetapi, ini adalah satu kenikmatan!

Wallahi, Allah mahu berikan kenimatan kepada hamba-Nya.

Hari ini, air mata saya menitis...
Dada menahan sebak...
Memikirkan, betapa sayangnya Allah kepada saya.

Menulis sebuah buku yang dahulu, saya tak tahu apa-apa.
Tak tahu bacaan solat, apatah lagi perihal mazhab.

Saya ini budak kampung. Sangat kampung! Saya hanya tahu mazhab jemaah 'pss...pss..' sahaja. Saya tak tahu apa-apa.

Allah mengatur hidup kita dengan sebaiknya.

Saya menulis buku berkenaan, bukan juga kerana saya hendak buat begitu. Tetapi kerana takdir mendahului saya.

Ceritanya,

Ada seorang ustaz terkenal, bagi fatwa ... "siapa yang nak masuk syurga, baca qulya sekian-sekian bilangan ketika sujud!"

KETIKA SUJUD???!!!!
KETIKA SUJUD???!!!!
KETIKA SUJUD???!!!!

Sakit hati saya!
Geram dengan kenyataannya!

Ustaz ini cuba membodohkan orang ramai!

Saya tekad,

Saya tak mahu, orang seperti saya dahulu terikut-ikut dengan dakwaan bohong ustaz berkenaan. Sehingga kami orang kampung berterusan percaya dan ikut tanpa tahu kebenaran...

Tanpa berlengah,

Saya buka buku Fiqh Mazhab al-Syafii yang saya belajar ketika tahun 1 di Al-Azhar. Lalu saya tulis.... "Inilah cara solat Rasulullah yang sebenar..." yang kemudiannya ditukar judul kepada "Tatacara Solat Rasulullah Berpandukan Mazhab al-Syafii"

Allah mengatur hidup kita.

WallahuAlam.

--- Jika anda habis baca, klikbutang "care" =)


............
Syihabudin Ahmad,
Budak Kampung.

#pulauketam #budakkampung #tatacarasolat #tulisterbit