Soalan 1: Tanah air kita beberapa hari ini terjebak dengan isu peralihan kuasa pemerintahan yang belum ada jawapan muktamad. Pernahkah situasi seperti ini berlaku pada zaman Rasulullah dan para sahabat? Bagaimanakah sikap mereka dalam menghadapinya?
Kita putarkan
tarikh hari ini kepada 1400 tahun yang lalu. Bahkan, sebelum Nabi Muhammad dilantik
sebagai rasul. Ketika itu, sistem jahiliyyah mendahului. Undang-undang dalam
masyarakat Jahiliyah dibangunkan atas asas fanatisme perkauman dan pertalian
kekeluargaan. Masyarakat jahiliah menjalani hidup dengan berpandukan pada
pepatah mereka yang terkenal,
انصر أخاك ظالما أو مظلوما
(Tolonglah
saudaramu yang zalim ataupun yang dizalimi)
dengan makna
zahir. Makna tersebut berbeza dengan apa yang difahami dalam Islam, Islam
memahami maksud menolong orang yang melakukan kezaliman adalah dengan
mencegahnya daripada melakukan kezaliman.
Sekuat manapun
pengaruh pepatah tersebut, persaingan dalam merebut pemerintahan dan tempat
yang terpandang seringkali mengakibatkan terjadi perang antara kabilah-kabilah
yang berasal daripada seorang ayah. Perkara ini dapat kita lihat pada
pertikaian panjang antara Aus dan Khazraj (Ayah mereka ialah
Harisah bin Sa`labah al-Ghassani), Abs dan Dzibyan (Ayah mereka adalah Bughaith bin Rais al-Ghatfani), Bakar dan Taghlib (Ayah
mereka ialah Wail bin Qasit Al-Rabiiyyah) dan lain-lain.
Sehingga mereka
hanya berehat pada 4 bulan sahaja.
Bulan-bulan haram
adalah rahmat bagi bangsa Arab kerana hidup mereka lebih tenang dan rezeki
mereka bertambah. Mereka hidup dalam keadaan aman serta sangat menekankan
kehormatan mereka.
Abu Raja’
Al-‘Utoridi berkata:
فإذا دخل شهر رجب قلنا مُنصّل الأسنة فلا ندع رمحا فيه حديدة ولا سهما فيه
حديدة إلا نزعناه وألقيناه في شهر رجب
Apabila bulan
Rejab telah tiba, kami berkata: Munassil al-Asinnah. Kami tidak akan
biarkan lembing mahupun panah berada dalam besi melainkan kami keluarkannya.
Itulah kami lakukan apabila bertemu bulan Rejab[1].
Seperti itu juga pada selebihan baki bulan Haram[2].
Matlamat terbesar
pemerintah adalah menimbun kekayaan dengan cara merampas harta rakyat serta
berperang dengan orang yang menentangnya.
Inilah kekacauan
yang berlaku di dalam dunia Tanah Arab ketika itu. Maka, apabila Nabi Muhammad
SAW mahu merubahnya, atau mengambil sikap terhadapnya, maka ia perlu diambil
dengan jiwa yang besar.
Peralihan yang
akan dibuat bukan sekadar peralihan kuasa politik dan kepimpinan tetapi
peralihan dunia secara total. Fasa-fasa perubahan itu bukanlah suatu yang
indah.
Berjiwa Besar
Kadang-kala jiwa Nabi SAW tercabar
sehingga Nabi merintah kepada Allah atas kelukaan yang dilakukan oleh orang
mekah dan Taif. Nabi merintih,
اللَّهُمَّ إلَيْكَ أَشْكُو ضَعْفَ قُوَّتِي وَقِلَّةَ حِيلَتِي وَهَوَانِي
عَلَى النَّاسِ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ أَنْتَ رَبُّ الْمُسْتَضْعَفِينَ وَأَنْتَ
رَبِّي إلَى مَنْ تَكِلُني إلَى بَعِيدٍ يتجَهَّمني أَمْ إلَى عَدُوٍّ مَلَّكْتَهُ
أَمْرِي إنْ لَمْ يَكُنْ بِكَ عليَّ غَضَبٌ فَلَا أُبَالِي وَلَكِنَّ عَافِيَتَكَ
هِيَ أَوْسَعُ لِي أَعُوذُ بِنُورِ وَجْهِكَ الَّذِي أَشْرَقَتْ لَهُ الظلماتُ
وَصَلُحَ عَلَيْهِ أمرُ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ مِنْ أَنْ تُنزل بِي غَضَبَكَ
أَوْ يَحِلَّ عليَّ سُخْطُك لَكَ العُتْبَى حَتَّى ترضَى وَلَا حولَ وَلَا قوةَ
إلَّا بك
“Ya Allah, kepada-Mu aku mengeluhkan
kelemahan diriku, sedikitnya kecerdikanku dan rendahnya aku di hadapan manusia.
Wahai Zat yang paling pemurah, Engkaulah Tuhan kaum yang lemah, juga Tuhanku.
Kepada siapakah Kau menghantarku? Kepada orang jauh yang bermuka masam kepadaku
ataukah kepada musuh yang dapat menguasai urusanku? Sesungguhnya aku tidak
peduli asalkan Engkau tidak marah kepadaku. Ini kerana kurnia kesihatan yang
Kau limpahkan kepadaku sungguh luas. Aku berlindung dengan cahaya wajah-Mu yang
mengalahkan semua kegelapan dan dengannya urusan dunia dan akhirat menjadi
baik, supaya Kau tidak menurunkan kemarahan-Mu kepadaku atau menghalalkan
kemurkaan-Mu kepadaku. Hanya Kau-lah yang berhak menegur hingga Kau redha.
Sesungguhnya, tidak ada usaha dan kekuatan melainkan atas izin-Mu.”
Setiap yang berlaku, Nabi hubungkan
dengan Allah – supaya baginda tidak salah di dalam mengambil langkah. Oleh itu,
ketika Nabi Muhammad telah mendapat pelan hijrah ke Madinah, baginda membina
umat yang berjiwa besar.
Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada
Ubadah bin Samit bahawa Rasulullah
bersabda,
بَايِعُونِي عَلَى أَنْ لاَ تُشْرِكُوا بِاللَّهِ شَيْئًا وَلاَ تَسْرِقُوا وَلاَ تَزْنُوا وَلاَ تَقْتُلُوا أَوْلاَدَكُمْ وَلاَ تَأْتُوا بِبُهْتَانٍ تَفْتَرُونَهُ بَيْنَ أَيْدِيكُمْ وَأَرْجُلِكُمْ وَلاَ تَعْصُونِي فِي مَعْرُوفٍ فَمَنْ وَفَى مِنْكُمْ فَأَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ وَمَنْ أَصَابَ مِنْ ذَلِكَ شَيْئًا فَعُوقِبَ بِهِ فِي الدُّنْيَا فَهُوَ لَهُ كَفَّارَةٌ وَمَنْ أَصَابَ مِنْ ذَلِكَ شَيْئًا فَسَتَرَهُ اللَّهُ فَأَمْرُهُ إِلَى اللَّهِ إِنْ شَاءَ عَاقَبَهُ وَإِنْ شَاءَ عَفَا عَنْهُ
“Kemarilah! Berbaiatlah kamu kepadaku
bahawa kamu tidak akan menyekutukan Allah dengan apa-apa, tidak akan mencuri,
tidak akan berzina, tidak akan membunuh anak-anak kamu, tidak akan menyampaikan
sesuatu yang bohong yang kamu reka sendiri serta tidak akan menderhakaiku
(melawan perintahku) dalam urusan yang baik. Sesiapa yang menepatinya antara
kamu, maka merupakan kewajipan bagi Allah untuk memberinya pahala. Sesiapa
melanggar salah satunya lalu dia dihukum selagi masih di dunia, maka hukuman
itu merupakan penggugur dosanya. Sedangkan sesiapa melanggar salah satunya lalu
Allah menutupi pelanggarannya, maka urusannya adalah mutlak ada pada Allah.
Jika Allah berkehendak, Allah akan menghukumnya dan jika Allah berkehendak pula
Allah akan mengampuninya.”
KEADAAN DI MADINAH YANG
TIDAK STABIL
Makna hijrah bukan hanya
menyelamatkan diri daripada fitnah dan cemuhan tetapi hijrah juga bererti suatu
usaha untuk saling menolong dalam menegakkan sebuah masyarakat baru di negeri
yang selamat. Maka, menjadi kewajipan bagi setiap umat Islam yang berkemampuan
untuk turut serta dalam membangunkan tanah air yang baru ini, sekaligus
mengerahkan seluruh kesungguhannya dalam membentengi dan mengangkat
kebesarannya.
Tidak diragukan bahawa
Rasulullah adalah imam, komandan,
sekaligus pengarah dalam pembangunan masyarakat ini. Oleh itu, segala urusan
yang kritikal diserahkan kepada baginda tanpa sebarang penentangan.
Apa yang Nabi Buat? Nabi
bina masyarakat baru dengan acuan:
1-
Menyatukan umat Islam
dengan masjid Nabawi
2-
Mempersaudarakan umat
Islam sehingga berlaku kisah Abdul Rahman dan Saad binRabi`
Saad berkata kepada
Abdurrahman,
“Aku adalah orang Ansar
yang mempunyai harta paling banyak. Maka bahagilah hartaku menjadi dua. Aku
memiliki dua isteri. Maka lihatlah salah seorang, mana satu yang kamu sukai,
lalu sebutkanlah namanya kepadaku. Aku akan menceraikannya. Sehinggalah apabila
masa iddahnya habis nanti, engkau boleh menikahinya.”
Abdurrahman bin Auf
memberikan tanggapan menarik, “Semoga Allah melimpahkan berkat kepadamu
disebabkan keluarga dan hartamu. Di manakah pasar kamu?”
Orang Ansar menerangkan di
mana pasar Bani Qainuqa’ kepada Abdurrahman. Maka tidaklah dia kembali
melainkan telah membawa hasil berupa keju dan minyak. Seterusnya, dia sering
berangkat awal pagi. Sampai pada suatu hari, dia datang dengan memakai baju
yang terkena titik berwarna kuning. Nabi Muhammad bertanya kehairanan, “Apakah
ini? Apa?” Abdurrahman menjawab, “Aku baru saja menikah.” Baginda bertanya
lagi, “Berapakah mahar yang kau berikan padanya?” Abdurrahman menjawab, “Sebiji
emas.”[3]
3-
Perjanjian Pakatan Islami
bersama umat Islam
·
Bahawa mereka adalah satu
umat.
·
Para Muhajirin daripada
Quraisy perlu saling membantu membayar diyat atas kaum mereka. Mereka perlu
menebus tawanan daripada golongan mereka secara baik dan adil menurut piawai
orang Mukmin. Sedangkan, semua kabilah daripada Ansar perlu bersama-sama membayar
diyat atas kaum mereka sesuai dengan tradisi mereka sebelum ini. Kelompok Ansar
menebus tawanan daripada golongan mereka secara baik dan adil antara orang
Mukmin.
- · Orang Mukmin tidak boleh membiarkan seorang pun fakir antara mereka, melainkan perlu memberinya dengan cara yang baik melalui sistem tebusan atau pembayaran diyat.
- · Orang Mukmin mesti memerangi orang yang melakukan kezaliman antara mereka atau orang yang merentas jalan kepada suatu kezaliman, tindakan dosa, permusuhan atau kerosakan yang terjadi di tengah-tengah mereka.
- · Semua antara mereka perlu memeranginya, walaupun dia adalah anak daripada salah seorang antara mereka.
- · Seorang Mukmin tidak boleh membunuh Mukmin yang lain kerana membela orang kafir.
- · Tidak boleh menolong seorang kafir untuk melawan seorang Mukmin.
- · Perlindungan Allah itu satu. Mereka semua berhak mendapatkannya sekalipun orang yang paling rendah antara mereka.
- · Orang Yahudi yang mengikuti kita berhak mendapatkan pertolongan dan tidak boleh dizalimi.
- · Perdamaian yang dilakukan oleh orang Mukmin perlu satu. Tidak boleh seorang Mukmin mengadakan perdamaian tanpa melibatkan Mukmin yang lain dalam sebuah perang di jalan Allah, kecuali apabila perdamaian tersebut berlaku secara adil bagi mereka semua.
- · Setiap Mukmin perlu membela orang Mukmin yang lain, jika darah mereka tumpah di jalan Allah.
- · Musyrikin Yathrib tidak boleh melindungi harta atau jiwa kafir Quraisy dan tidak boleh menghalangi seorang Mukmin yang hendak mengambilnya.
- · Sesiapa pun yang membunuh seorang Mukmin yang tidak melakukan tindakan kejam, maka dia perlu mendapat hukuman setimpal, kecuali apabila wali orang yang terbunuh merelakannya.
- · Semua orang Mukmin perlu memerangi orang itu dan tidak halal bagi mereka hanya berdiam saja.
- · Seorang Mukmin tidak boleh menolong atau menyokong seseorang yang melakukan kejahatan. Sesiapa menolong atau menyokong orang yang seperti itu, maka dia mendapat laknat dan kemurkaan Allah pada hari kiamat dan tidak akan diterima tebusan daripadanya.
- · Apabila ada suatu hal yang masih mereka perselisihkan, maka tempat kembalinya adalah kepada Allah dan Muhammad.[4]
Kesan
Kejiwaan Di Dalam Masyarakat
Melalui keputusan yang
bijak dan kecerdasan yang memukau ini, Rasulullah menancapkan asas bagi sebuah
masyarakat yang baru dengan jiwa yang sihat. Dengan jiwa yang sihat itu, mereka
dapat menyelami nikmatnya bersahabat dengan Nabi Muhammad.
Nabi Muhammad sentiasa
menjaga mereka dengan pengajaran, pendidikan, pembersihan jiwa dan motivasi
untuk berbudi pekerti luhur. Baginda mengajarkan kepada mereka adab-adab yang
berkaitan dengan kasih sayang, persaudaraan, kewibawaan dan kemuliaan, juga
adab dalam beribadah dan melakukan ketaatan pada Allah.
Seseorang pernah bertanya
kepada baginda, “Bagaimanakah orang Islam yang paling baik itu?”
Maka baginda menjawab, “Engkau
memberi makan dan mengucapkan salam kepada sesiapa pun yang kau kenal mahupun
yang tidak kau kenal.”[5]
Abdullah bin Salam
mengatakan, “Ketika Nabi Muhammad datang ke Madinah, aku turut menghampirinya.
Tatkala wajahnya telah kelihatan jelas, aku tahu wajahnya bukanlah wajah
pendusta. Ucapan yang pertama kali baginda katakan adalah, ‘Wahai semua
manusia! Sebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah tali kekeluargaan dan
solatlah pada malam hari ketika orang sedang tidur! Maka kamu akan masuk syurga
dengan selamat’.”[6]
Rasulullah juga bersabda: “Tidak
akan masuk syurga orang yang jirannya tidak selamat daripada gangguannya.”[7]
Demikian juga, “Orang
Islam itu adalah orang yang sejahtera orang lain daripada perbuatan lidah dan
tangannya.”[8]
Demikian juga: “Seseorang
antara kamu tidak dikatakan beriman sehingga dia mencintai saudaranya seperti
mencintai dirinya sendiri.”[9]
Boleh ustaz terangkan sedikit berkenaan kisah perletakan hajar aswad dan juga ketika pembentukan piagam madinah, penuh hikmah cara dan ajaran.
35
tahun setelah Rasulullah lahir ke dunia,
orang Quraisy membongkar dan membangunkan semula Kaabah kerana Kaabah ketika
itu hanya berupa susunan batu-batu yang sedikit lebih tinggi daripada tubuh
manusia. Tingginya sembilan hasta sejak dibangunkan kali
pertama oleh Nabi Ismail. Kaabah tidak beratap sehingga menyebabkan para
pencuri sering memasukinya dengan memanjat dan melompat dari atas untuk mencuri
barang-barang berharga yang ada di dalamnya. Akibatnya, - bangunan yang telah
tua itu semakin rapuh - dan dindingnya pecah-pecah.
Lima tahun sebelum
Rasulullah diangkat menjadi nabi dan
rasul, Mekah dilanda banjir besar yang luapan airnya sampai ke Kaabah sehingga
bila-bila masa saja Kaabah boleh roboh. Pada mulanya, pemulihan Kaabah tidak
terlaksana kerana kaum Quraisy lebih suka untuk membiarkan bangunan asal Kaabah
seperti seadanya.
Hingga akhirnya, diputuskan
juga untuk memperbaiki Kaabah, tetapi dengan kesepakatan bahawa mereka tidak
akan memasukkan apa-apa ke dalamnya kecuali perkara yang baik. Maka hasil
pelacuran, hasil riba serta barang rampasan tidak diterima.
Namun begitu, mereka masih
juga berasa takut untuk merobohkannya. Walid bin Mughirah al-Makhzumy mula
bercadang melakukan demikian seraya dan berkata:
Demi Allah kami tidak
menginginkan selain hanya kebaikan.
Setelah itu dia
menghancurkan dinding Kaabah. Melihat Walid tidak mengalami apa-apa, mereka
semua mengikutinya. Mereka terus merobohkan Kaabah hingga tiba bahagian dasar
yang dulu dipasang oleh Nabi Ibrahim.
Selepas itu mereka mula
membangunkannya kembali. Mereka membahagikan Kaabah menjadi beberapa bahagian.
Setiap bahagian dikhususkan pembangunannya kepada satu kabilah. Setiap kabilah
mula mengumpulkan batu-batu lalu membangunkan bahagian yang menjadi bahagian
masing-masing. Orang yang merancang rancangan bangunan adalah arkitek berbangsa
Rom bernama Baqum.
Ketika pembangunan telah
sampai pada tahap perletakan kembali Hajar Aswad pada tempatnya semula, orang
Quraisy berselisih tentang siapa yang layak mendapat penghormatan meletakkan
Hajar Aswad di tempatnya. Perselisihan berlanjutan selama empat atau lima hari.
Situasi terus panas sehingga nyaris-nyaris menjadi pertumpahan darah di Tanah
Haram.
Mujurlah Abu Umayyah bin
Mughirah al-Makhzumy meredakan suasana dengan menawarkan cadangan agar
keputusan atas perselisihan mereka diserahkan kepada orang yang pertama masuk
menemui mereka melalui pintu masjid. Mereka semua menerima cadangan tersebut.
Rupa-rupanya Allah menghendaki bahawa orang yang pertama masuk adalah
Rasulullah
Tatkala mereka melihat
baginda datang, mereka berseru,
هذا الأمين، رضيناه، هذا محمد
“Ini dia
al-Amin. Kami redha terhadapnya. Inilah Muhammad.”
Tatkala baginda sampai di
hadapan mereka, mereka terus menyatakan permasalahan mereka kepada baginda.
Baginda lantas meminta sehelai kain yang panjang dan lebar, lalu meletakkan
Hajar Aswad di tengah-tengahnya.
Seterusnya baginda meminta
semua pembesar daripada setiap kabilah untuk memegang hujung kain. Lalu,
baginda menyuruh mereka untuk bersama-sama mengangkatnya. Setelah mereka telah
sampai di tempat perletakan Hajar Aswad, Rasulullah mengambilnya dan meletakkannya di tempatnya
semula. Inilah penyelesaian bijak yang diredhai oleh semua orang.
Sebahagian orang memberikan ramalan-ramalan terhadap apa yang berlaku akan datang, adakah perkara ini salah menurut agama?
Ramalan yang bersifat
memberikan buah fikiran yang sesuai adalah sesuai jika diberikan oleh orang
yang berpengalaman. Tetapi ia akan menjadi pincang apabila bertujuan ‘membawang’
sahaja.
Rasulullah bergerak pantas bersama pasukannya untuk
mendahului orang-orang Musyrik menuju ke sumber bekalan air di Badar, sekaligus
menghalang mereka daripada menguasai sumber bekalan air. Pada sebelah petang,
baginda sampai berdekatan dengan beberapa mata air Badar. Kemudian Hubab bin
Mundzir berdiri, lalu bertanya, “Wahai Rasulullah , apa yang anda fikirkan
tentang tempat ini, apakah ini merupakan wahyu yang diturunkan kepadamu
sehingga kami tidak ada pilihan untuk ke hadapan atau ke belakang atau
semata-mata adalah idea dan strategi peperangan?”
Rasulullah menjawab,
بَلْ
هُوَ الرَّأْيُ وَالْحَرْبُ وَالْمَكِيدَةُ
“Ini adalah idea, strategi
dan muslihat peperangan.”
Kemudian Hubab berkata,
“Wahai Rasulullah , sesungguhnya ini bukan tempat yang paling sesuai untuk
dijadikan markas. Bawalah orang ramai berjalan sehingga kita sampai di mata air
yang paling dekat dengan kawasan lawan. Kita dirikan markas di sana dan kita
timbuskan mata air-mata air lain yang ada di belakangnya. Kemudian kita bina
sebuah kolam di markas kita dan penuhkan kolam itu dengan air. Selepas itu kita
perangi mereka. Kita boleh minum air daripada kolam yang ada, sedangkan mereka
tidak dapat minum kerana tidak ada bekalan air.” Rasulullah berkata, “Engkau telah menyumbangkan idea
yang bagus.”
Rasulullah segera membawa pasukannya berjalan, sehingga
sampai di satu mata air yang berdekatan dengan kedudukan lawan. Baginda membina
markas di situ pada sebahagian malam, kemudian membina kolam dan menimbus mata
air-mata air yang lain.
Hari ini, semua orang mahu bercakap dan memberikan pandangan. Sebahagiannya memperlekehkan sesama Muslim atas ijtihad sebelum ini. Apakah nasihat ustaz terhadap hal ini?
Ijtihad adalah satu usaha
yang dibuat atas penilaian berdasarkan kemampuan. Ijthad dilakukan kerana kita
tidak tahu masa hadapan. Oleh itu, orang yang melakukan ijtihad akan mendapat
pahala. Kesilapan di dalam melakukan ijtihad boleh berlaku, bahkan dalam
beberapa isu – Nabi juga tersilap di dalam ijtihad. WallahuAlam.
Mencaci dan memaki serta
memperlekehkan umat Islam bukanlah sifat seorang Muslim sebenar.
[2] Fath al-bari (8/91)
[3] Sahih al-Bukhari, bab tentang Nabi Muhammad mempersaudarakan
Muhajirin dan Ansar, jil I, hlm. 553.
[6] Diriwayatkan oleh Tirmizi, Ibnu Majah dan Darimy. Lihat Muhammad
bin Abdullah al-Tabrizy, Misykah al-Mashabih, jil I, hlm. 168.
[7] Diriwayatkan oleh Imam Muslim. Lihat Muhammad bin Abdullah
al-Tabrizy, Misykah al-Mashabih, jil II, hlm. 422.
0 Comments
Post a Comment