Gerhana
bulan adalah apabila bumi melindungi bulan dari cahaya matahari sehingga
menyebabkan bulan kelihatan gelap. Gerhana matahari pula adalah apabila bulan
melindungi bumi dari matahari sehingga bumi menjadi gelap seketika kerana tidak
menerima cahaya dari matahari.
Sebahagian
ahli bahasa Arab menyatakan bahawa Kusuf dan Khusuf (الكسوف و الخسوف مترادفان) adalah dua perkataan seerti.
Namun ada sebahagian besar daripada mereka mengatakan: Kusuf untuk gerhana
matahari, manakala Khusuf pula untuk gerhana bulan.[1]
Solat gerhana pula ialah:
صلاة
تؤدي بكيفية مخصوصة عند ظلمة أحد النيرين أو بعضهما
Solat yang ditunaikan dengan kaedah tertentu apabila terlindungnnya
matahari dan bulan atau sebahagiannya. [2]
Terdapat
juga sesetengah pihak tatkala apabila mengalami peristiwa gerhana bulan mahupun
matahari, namun mereka hanya melihat kejadian ini sebagai satu perkara yang
luar biasa. Tidak kurang pula yang mengaitkannya dengan perkara-perkara mistik.
Namun kejadian gerhana ini hanyalah merupakan di antara tanda-tanda kebesaran
Allah Subhanahu wa Ta’ala yang mentadbir seluruh alam. Apabila terjadi gerhana
bulan mahupun matahari maka disunnahkan bagi kita untuk mengerjakan solat Solat
Sunat Gerhana Bulan (Kusuf) dan Gerhana Matahari (Khusuf)
HUKUM SOLAT
GERHANA
Para ulamak
telah sepakat bahawa disyariatkan mengerjakan solat sebanyak dua rakaat
sekiranya terjadi gerhana. Kebanyakkan Fuqaha seperti Mazhab Syafiiah dan
Hanabilah menyatakan hukumnya sunat muakkad. Manakala Hanafiyyah menyatakan ia
hasanah dan Mandubah menurut mazhab Malikiyyah.
Menurut Ibn
‘Umar radhiallahu’ anh, Nabi s.a.w bersabda:
إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لاَ
يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ
وَلَكِنَّهُمَا آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ فَإِذَا
رَأَيْتُمُوهَا فَصَلُّوا
Sesungguhnya
matahari dan bulan tidak mengalami gerhana kerana kematian seseorang dan tidak
pula kerana kehidupannya (kelahirannya). Tetapi, kedua-duanya adalah dua tanda
antara tanda-tanda (kebesaran) Allah. Apabila kamu semua melihat kedua-duanya
(mengalami gerhana) maka dirikanlah solat.
Hadis riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1042.
Demikian
juga hadis berikut:
خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي عَهْدِ رَسُولِ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالنَّاسِ... ثُمَّ انْصَرَفَ وَقَدْ انْجَلَتْ الشَّمْسُ
فَخَطَبَ النَّاسَ فَحَمِدَ اللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ
ثُمَّ قَالَ إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ
آيَاتِ اللَّهِ لاَ يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ فَادْعُوا
اللَّهَ وَكَبِّرُوا وَصَلُّوا وَتَصَدَّقُوا ثُمَّ قَالَ:
يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ وَاللَّهِ مَا مِنْ أَحَدٍ
أَغْيَرُ مِنْ اللَّهِ أَنْ يَزْنِيَ عَبْدُهُ أَوْ تَزْنِيَ أَمَتُهُ يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ وَاللَّهِ لَوْ
تَعْلَمُونَ مَا أَعْلَمُ لَضَحِكْتُمْ قَلِيلًا وَلبَكَيْتُمْ كَثِيرًا
Terjadi
gerhana matahari pada masa Rasulullah s.a.w lalu Rasulullah s.a.w mengimami
solat orang ramai… Setelah baginda selesai solat, matahari telah kelihatan.
Seterusnya baginda berkhutbah di hadapan manusia dengan memuji Allah serta
menyanjung-Nya, kemudian bersabda:
Sesungguhnya
matahari dan bulan tidak mengalami gerhana kerana kematian seseorang dan tidak
pula kerana kehidupannya (kelahirannya). Tetapi, kedua-duanya adalah dua tanda
antara tanda-tanda (kebesaran) Allah. Apabila kamu semua melihat hal itu itu
maka berdoalah kepada Allah, bertakbir, bersolat dan bersedekah.
Kemudian
baginda bersabda: Wahai umat Muhammad! Demi Allah, tidak ada seorangpun yang
lebih cemburu daripada Allah apabila hamba-Nya sama ada lelaki atau wanita
melakukan perzinaan. Wahai umat Muhammad! Sekiranya kamu semua mengetahui apa
yang aku ketahui pasti kamu semua akan tertawa sedikit dan lebih banyak
menangis.
- Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1044.
Syeikh
Muhammad Umar Salim Bazmul menyatakan:
Dapat
dikatakan di sini bahawa dalil yang terkandung di dalam hadis merupakan
perintah agar mengerjakan solat itu berserta perintah agar bertakbir, berdoa dan bersedekah. Namun,
tidak ada seorangpun yang mewajibkan bersedekah, bertakbir dan berdoa ketika terjadi
gerhana. Oleh itu, menurut kesepakatan ijmak bahawa perintah tersebut bersifat
sunat. [3]
Tetapi,
tanggapan ulamak berijmak (sepakat) bahawa solat Gerhana ini hanyalah sunat
mu’akkadah kurang tepat kerana terdapat juga ulamak yang mewajibkannya. Menurut
al-Hafidz Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah:
Majoriti ulamak mengatakan hukumnya
adalah sunnah mu’akkadah (sunnah yang amat dituntut). Tetapi, Abu 'Awanah di
dalam shahihnya menyatakan bahawa hukumnya adalah wajib. Aku tidak pernah menemui
ulamak yang berpendapat sedemikian selain beliau kecuali apa yang dinukil
daripada Malik yang menyamakannya dengan hukum solat Jumaat. Ibn al-Manayyar
menukilkan daripada Abu Hanifah bahawa menurutnya hukum solat Gerhana adalah
wajib. Demikian juga dinukilkan oleh sebahagian penulis kitab mazhab Hanafi. [4]
Syeikh
al-Albani rahimahullah pula menyokong pendapat bahawa solat Gerhana ini
hukumnya wajib. Menurut beliau:
Inilah
pendapat paling unggul (iaitu wajib solat Gerhana) dan untuk membuktikan
penjelasan berikut ini, menurut pendapatku sesiapa yang mensunatkannya bererti
dia telah mengabaikan perintah-perintah yang datang daripada Nabi s.a.w
mengenai solat Gerhana tanpa ada dalil yang boleh menolak hukum asalnya, iaitu
wajib. Al-Syaukani lebih cenderung kepada hukum wajib sebagaimana dinyatakan di
dalam al-Sail al-Jarrar, jilid 1, muka surat 323 dan dipersetujui oleh Shadiq
Khan di dalam al-Raudoh al-Nadiyyah. Inilah pendapat paling sahih. [5]
Syeikh
al-‘Utsaimin rahimahullah pula menegaskan bahawa majoriti ulamak menyatakan
solat Gerhana adalah sunat mu’akkadah. Namun, sebahagian ulamak menyatakan ia
wajib sama ada termasuk kategori fardu ‘ain atau fardu kifayah kerana terdapat
perintah daripada Rasulullah s.a.w agar mengerjakan solat itu. Malah, perintah
itu menunjukkan wajib.
Setelah itu,
beliau menguatkan pandangan bahawa hukum solat Gerhana adalah wajib katanya:
Tidak
diragukan lagi bahawa dalil ini cukup kuat baik dari sumber riwayat mahupun
melalui pengkajian cerdik pandai agama. Paling tidak ia termasuk kategori fardu
kifayah. Inilah menurut pendapat kami. Manakala pendapat jumhur, mereka tidak
memiliki dalil yang menunjukkan perkara itu tidak wajib kecuali sabda Nabi
s.a.w kepada seorang lelaki yang bertanya kepadanya:
Apakah ada
lagi selain itu (selain kewajipan solat lima waktu)? Baginda menjawab: Tidak!
Kecuali solat sunat. – Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab
al-Imaan, no: 46.
Hal ini
tidak bererti menolak kewajipan solat-solat selain solat lima waktu apabila
wujud sebab yang mewajibkannya. Apa yang dimaksudkan dengan kalimah nafi
'tidak!' sebagaimana sabda baginda s.a.w, iaitu berkaitan solat-solat rawatib
yang selalu berulang setiap hari. Mengenai solat-solat yang berkait dengan
sebab-sebab tertentu, maka hadis ini tidak boleh dijadikan hujah untuk menolak
kewajipannya.
Kesimpulannya,
kami memandang bahawa solat Gerhana adalah wajib sama ada fardu atas setiap
individu (fardu ‘ain) atau fardu kifayah (memadai dikerjakan oleh sebahagian kaum muslimin
sahaja).[6]
-
Pengajaran daripada
Khilaf
Apabila kita
melihat perselisihan ulama di dalam isu ini – iaitu sebahagian mengatakan Sunat
Muakkadah (Sunat yang sangat dituntut) manakala sebahagian lagi menyatakan
Wajib (Perlakuan yang mesti dilakukan) maka kita dapati bahawa ulama telah
bersepakat daripada sudut ketinggian dan kepentingan dilaksanakan solat ini.
Oleh itu, sebahagi seorang Muslim yang memahami telunjuk agama, maka kita tidak
boleh mengabaikan solat ini. WallahuAlam.
Pengajian
hukum sunat atau wajib berkaitan sesuatu amalan itu hanyalah berbentuk kajian
ilmiah dan bertujuan mengetahui sama ada sesuatu amalan itu dibenarkan untuk
ditinggalkan atau tidak. Namun, bagi mereka yang mencintai sunnah Nabi s.a.w
sekiranya sesuatu sunnah itu sabit daripada hadis yang sahih maka mereka akan
berusaha mengerjakannya tanpa memikirkan sama ada ia wajib atau sunat.
Menurut Syeikh Abdullah al-Bassam:
Seorang
muslim sewajarnya mematuhi syariat tanpa memandang apakah ia fardu atau sunat.
Apa yang penting dia melakukan kerana mematuhi syariat Allah semata-mata
mengikuti sunnah Nabi-Nya dan mengharapkan ganjaran pahala. Pembahasan mengenai
hukum hanya diperlukan ketika berlaku suatu waktu ingin meninggalkannya. Ketika
itu apakah sunnah yang akan ditinggalkannya itu sesuatu yang wajib atau sunat
(agar tidak bergelumang dengan dosa meninggalkan sunnah). Oleh itu, menjadi
kewajipan seorang hamba agar serius beribadah. Manakala dalam kajian ilmiah dan
mengetahui hukum-hukumnya bertujuan mengetahui antara yang fardu dan yang
sunat.[7]
WAKTU
DIKERJAKAN SOLAT GERHANA.
Aisyah
radhiallahu’ anha berkata:
خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي عَهْدِ رَسُولِ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالنَّاسِ... ثُمَّ انْصَرَفَ وَقَدْ انْجَلَتْ
الشَّمْسُ
Terjadi
gerhana matahari pada masa Rasulullah s.a.w lalu Rasulullah s.a.w mengimami
solat orang ramai… Setelah baginda selesai solat matahari telah kelihatan.
- Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1044.
Hadis di
atas merupakan dalil tentang waktu harus dikerjakan solat Gerhana, iaitu
bermula terjadinya gerhana sehingga berakhirnya gerhana. Sungguhpun begitu,
sekiranya kita telah menyelesaikan perlaksanaan solat Gerhana namun gerhana
tersebut belum berakhir, kita hendaklah memperbanyakan berdoa dan berzikir.
Menurut al-Hafidz Ibn Hajar rahimahullah:
Lafaz ini
(hingga matahari kelihatan) merupakan dalil tentang lamanya solat Gerhana,
iaitu hingga matahari nampak kembali. Al-Tohawi berpendapat bahawa di dalam
hadis dinyatakan hendaklah kamu semua solat dan berdoa. Dalam erti kata lain,
jika kita selesai melaksanakan solat Gerhana, namun matahari masih belum juga
kelihatan, kita hendaklah memperbanyakan berdoa sehingga gerhana berakhir.
Ibn Daqiq
al-'Id menguatkan lagi pendapat ini bahawa had waktu tersebut (antara mula
gerhana hingga matahari muncul kembali) adalah had waktu untuk solat dan
berdoa. Malah bermungkinan doa tersebut boleh dilakukan setelah selesai solat
hinggalah matahari muncul kembali. Oleh itu, solat Gerhana tidak harus
dilakukan terlalu lama atau mengulanginya beberapa kali jika matahari belum
kelihatan sehingga matahari muncul (gerhana berakhir).[8]
BOLEHKAH
DILAKUKAN PADA WAKTU-WAKTU LARANGAN?
Menurut
al-Hanafiyyah, zahir di dalam mazhab al-Hanabilah, dan salah satu daripada
pandangan Malik menyatakkan bahawa solat gerhana tidak dikerjakan pada
waktu-waktu larangan. Namun pandangan di dalam al-Syafiiyah, satu riwayat lain
daripada Malik dan riwayat daripada Ahmad menyatakan bahawa ia boleh
dilaksanakan pada waktu-waktu larangan sepertimana solat yang dilaksanakan atas
sebab seperti solat Istisqa, solat Wuduk dan Tahiyyatul Masjid.
DIKERJAKAN DI MASJID SECARA BERJEMAAH OLEH
LELAKI DAN WANITA.
Perlaksanaan
solat Gerhana ini adalah secara berjemaah. Ia dilaksanakan di masjid dan bukan
di musolla, iaitu tanah lapang seperti solat hari raya dan istisqa’ (mohon
hujan).
Imam Syafie
rahimahullah berkata:
Solat ketika
terjadi gerhana matahari dan bulan diadakan secara berjemaah. Solat seperti ini
tidak dilakukan pada tanda-tanda kebesaran Allah yang lain kecuali hanya pada
gerhana matahari dan bulan.[9]
Dalil
tentang disyariatkan perlaksanaan solat Gerhana secara berjemaah sebagaimana
hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah radhiallahu’ anha katanya:
خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي حَيَاةِ
النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
فَخَرَجَ إِلَى الْمَسْجِدِ فَصَفَّ النَّاسُ وَرَاءَهُ
فَكَبَّرَ
Terjadi
gerhana matahari pada zaman Nabi s.a.w lantas baginda keluar menuju ke masjid
dan orang ramai berbaris di belakangnya lalu baginda bertakbir.
- Hadis riwayat al-Bukhari dalam
Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1046.
Solat
Gerhana ini bukan hanya dikerjakan oleh kaum lelaki malah kaum wanita juga
boleh turut serta mengerjakannya secara berjemaah.
Menurut
Hisyam bin 'Urwah radhiallahu’ anh, Fatimah Binti al-Mundzir radhiallahu’ anha
telah meriwayatkan daripada Asma' binti Abu Bakar radhiallahu’ anhuma katanya:
أَتَيْتُ عَائِشَةَ زَوْجَ النَّبِيِّ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ خَسَفَتْ الشَّمْسُ
فَإِذَا النَّاسُ قِيَامٌ يُصَلُّونَ وَإِذَا هِيَ
قَائِمَةٌ تُصَلِّي...
Aku telah
menemui Aisyah radhiallahu’ anha ketika terjadi gerhana matahari. Ternyata
manusia berdiri mengerjakan solat. Begitu juga Aisyah berdiri mengerjakan
solat.
- Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1053.
Namun,
sekiranya solat Gerhana itu tidak dilakukan secara berjemaah ia tetap sah.
Menurut al-Hafidz Ibn Hajar rahimahullah, dalil yang mengharuskan solat Gerhana
dikerjakan secara besendirian sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:
فَإِذَا
رَأَيْتُمُوهُمَا فَافْزَعُوا إِلَى الصَّلاَةِ
Apabila kamu semua melihat kedua-duanya (matahari dan bulan mengalami
gerhana), bersegeralah solat.
– Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1046.
Al-Hafidz
Ibn Hajar rahimahullah berkata:
Berdasarkan
lafaz ini dapat disimpulkan bahawa berjemaah bukanlah syarat sahnya solat
Gerhana. Ini kerana terdapat terdapat isyarat di sini agar segera melaksanakan
solat. Sedangkan menunggu jemaah kadang-kadang mengakibatkan waktu solat tamat
atau membiarkan sebahagian waktu tanpa diisi dengan solat.[10]
HENDAKLAH
DISERUKAN AS-SOLATU JAMI'AH SEBELUM MEMULAKAN SOLAT.
Tidak ada
seruan azan sebelum didirikan solat Gerhana sepertimana solat-solat sunat yang
lain tetapi disunnahkan melaungkan as-solatu jami'ah.
Imam Syafie
rahimahullah berkata:
Tidak ada
laungan azan untuk solat Gerhana, solat hari raya, dan semua solat yang bukan
solat fardu. Aku lebih menyukai imam agar memerintahkan seseorang meneriakkan
as-solatu jami'ah. [11]
Abdullah bin
Amr radhiallahu’ anh berkata:
لَمَّا
كَسَفَتْ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ نُودِيَ إِنَّ الصَّلاَةَ جَامِعَةٌ
Ketika
terjadi gerhana matahari pada masa Rasulullah s.a.w, lantas diserukan innas
solata jami'ah (sesungguhnya solat berjemaah akan didirikan).
– Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1045.
DIKERJAKAN
SEBANYAK DUA RAKAAT.
Jumlah
rakaat solat Gerhana adalah dua rakaat sahaja. Tiada khilaf pendapat Fuqaha di
dalam hal ini[12]. Syeikh
Sayyid Sabiq rahimahullah berkata:
Jumhur
ulamak mengatakan bahawa solat itu (gerhana) dilakukan dua rakaat dan setiap
rakaat dengan dua kali rukuk.[13]
Abu Bakrah
radhiallahu’ anh berkata:
خَسَفَتْ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
فَخَرَجَ يَجُرُّ رِدَاءَهُ حَتَّى انْتَهَى إِلَى
الْمَسْجِدِ وَثَابَ النَّاسُ إِلَيْهِ فَصَلَّى بِهِمْ رَكْعَتَيْنِ فَانْجَلَتْ
الشَّمْسُ
Terjadi
gerhana matahari pada masa Rasulullah s.a.w lantas baginda keluar sambil menarik atau menyeret
rida' (kain yang diletakkan di atas bahu) hingga sampai ke masjid dan orang
ramai telah berkumpul di sekelilingnya lalu baginda solat dua rakaat mengimami
mereka. Kemudian matahari bersinar kembali.
- Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1063.
DIPERPANJANGKAN
BACAAN DALAM SOLAT GERHANA.
Aisyah
radhiallahu’ anha berkata:
خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي عَهْدِ رَسُولِ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ بِالنَّاسِ فَقَامَ فَأَطَالَ الْقِيَامَ
Terjadi
gerhana matahari pada masa Rasulullah s.a.w lalu Rasulullah s.a.w mengimami
solat orang ramai. Baginda berdiri dan memperlamakan berdiri.
- Hadis riwayat al-Bukhari dalam
Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1044.
Al-Hafidz
Ibn Hajar rahimahullah ketika menjelaskan tentang baginda memanjangkan berdiri
katanya:
Dalam
riwayat Ibn Syihab disebutkan:
فَقَرَأَ
قِرَاءَةً طَوِيلَةً
Maka baginda membaca dengan bacaan yang panjang.
Manakala
pada bahagian akhir perbahasan tentang solat melalui jalur lain daripada Ibn
Syihab disebut pula maka baginda s.a.w membaca surah yang panjang. Disebutkan
dalam hadis Ibn Abbas yang akan disebutkan setelah empat bab:
فَقَرَأَ
نَحْوًا مِنْ سُورَة الْبَقَرَة فِي الرَّكْعَة الأُولَى
Baginda membaca ayat seperti panjangnya surah al-Baqarah pada rakaat
pertama.
Abu Daud
meriwayatkan riwayat yang serupa melalui jalur Sulaiman bin Yasar daripada
Urwah sambil menambah lafaz:
قَرَأَ فِي الْقِيَام الأَوَّل مِنْ
الرَّكْعَة الثَّانِيَة نَحْوًا مِنْ آل عِمْرَان
Baginda
s.a.w membaca (ayat) seperti panjangnya surah Ali ‘Imran ketika berdiri pertama
pada rakaat kedua. [14]
Terdapat
Empat Kali Rukuk.
Berbeza
dengan solat-solat sunat yang lain, solat Gerhana memiliki empat kali rukuk,
iaitu dua kali rukuk setiap rakaat. Ia menjadi seperti berikut di dalam setiap
rakaat:
قيامان،
قراءتان، ركوعان و سجدتان
Dua kali Qiyam, Dua kali Bacaan al-Quran, Dua kali Rukuk dan Dua Kali Sujud
Aisyah
radhiallahu’ anha berkata:
خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي عَهْدِ رَسُولِ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالنَّاسِ فَقَامَ فَأَطَالَ الْقِيَامَ ثُمَّ رَكَعَ فَأَطَالَ
الرُّكُوعَ ثُمَّ قَامَ فَأَطَالَ الْقِيَامَ وَهُوَ دُونَ الْقِيَامِ الْأَوَّلِ ثُمَّ رَكَعَ فَأَطَالَ الرُّكُوعَ
وَهُوَ دُونَ الرُّكُوعِ الْأَوَّلِ ثُمَّ سَجَدَ فَأَطَالَ السُّجُودَ ثُمَّ فَعَلَ فِي الرَّكْعَةِ
الثَّانِيَةِ مِثْلَ مَا فَعَلَ فِي الأُولَى ثُمَّ انْصَرَفَ وَقَدْ انْجَلَتْ
الشَّمْسُ
Terjadi
gerhana matahari pada masa Rasulullah s.a.w lantas Rasulullah s.a.w mengimami solat orang ramai.
Baginda berdiri dan memanjangkan berdiri, kemudian rukuk dan memanjangkan
rukuk. Kemudian baginda berdiri dan memanjangkan berdiri namun lebih pendek
dari berdiri yang pertama. Kemudian baginda rukuk dan memanjangkan rukuk, namun
lebih pendek dari rukuk yang pertama. Kemudian baginda sujud dan memanjangkan
sujud seterusnya melakukan pada rakaat
kedua sama seperti yang dilakukan pada rakaat pertama. Kemudian baginda selesai
solat dan matahari telah kelihatan sinarnya kembali.
- Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1044.
Menerusi
hadis di atas dapat kita fahami bahawa perbezaan solat Gerhana berbanding
solat-solat yang lain ialah sebaik sahaja membaca al-Fatihah dan mana-mana
surah dari al-Quran kita hendaklah rukuk. Kemudian bangun kembali dan sekali
lagi membaca al-Fatihah dan mana-mana surah dari al-Quran lalu rukuk semula.
Kemudian iktidal lalu sujud dan teruskan solat sebagaimana solat-solat yang
lain.
Ulangi
perkara yang sama pada rakaat kedua. Tidak terdapat riwayat yang menunjukkan
adanya zikir-zikir atau bacaan yang khusus untuk solat Gerhana ketika rukuk,
iktidal, sujud, duduk antara dua sujud dan tahiyyat. Oleh itu, kita boleh
membaca apa jua bacaan ketika solat yang sabit daripada Rasulullah s.a.w
sebagaimana yang terdapat dalam hadis.
MENGUATKAN SUARA (JAHR).
Suara
hendaklah dinyaringkan ketika membaca ayat al-Quran dalam solat Gerhana.
Menurut 'Urwah, Aisyah radhiallahu’ anha
berkata:
جَهَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي صَلاَةِ الْخُسُوفِ بِقِرَاءَتِهِ فَإِذَا فَرَغَ مِنْ
قِرَاءَتِهِ كَبَّرَ فَرَكَعَ وَإِذَا رَفَعَ مِنْ الرَّكْعَةِ قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ
رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ ثُمَّ يُعَاوِدُ الْقِرَاءَةَ فِي صَلاَةِ الْكُسُوفِ أَرْبَعَ
رَكَعَاتٍ فِي رَكْعَتَيْنِ وَأَرْبَعَ سَجَدَاتٍ
Nabi s.a.w
mengeraskan bacaan pada solat Gerhana. Apabila selesai membaca baginda terus bertakbir
dan rukuk. Apabila baginda selesai rukuk, baginda mengucapkan sami’allaahu
liman hamidah rabbana lakal hamdu (semoga Allah mendengar orang yang
memuji-Nya, wahai Tuhan kami bagi-Mu segala pujian), kemudian baginda membaca
kembali. Pada solat Gerhana terdapat empat kali rukuk dalam dua rakaat dan
empat kali sujud.
– Hadis
riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1065.
Syeikh
al-Albani rahimahullah berkata:
Telah
ditetapkan oleh Allah bahawa solat Gerhana matahari dilakukan oleh Nabi s.a.w
hanya sekali. Juga telah diriwayatkan daripada hadis sahih bahawa baginda
mengeraskan bacaan al-Quran seperti yang dijelaskan di dalam Sahih al-Bukhari
dan tidak benar jika ada mengatakan bahawa terdapat hadis lain yang
menyanggahinya.[15]
RINGKASAN
TATACARA MENGERJAKAN SOLAT GERHANA
Rakaat
Pertama
1)
Berniat di dalam hati
untuk mengerjakan solat Gerhana (Kusuf atau Khusuf)
2)
Takbiratul Ihram
3)
Doa Iftitah
4)
Membaca surah al-Fatihah
5)
Membaca Surah al-Qur’an
6)
Rukuk
7)
Iktidal
8)
Membaca Surah al-Fatihah
9)
Membaca Surah al-Qur’an
10)
Rukuk
11)
Iktidal
12)
Sujud
13)
Duduk antara dua sujud
14)
Sujud kali kedua
15)
Bangun untuk rakaat
kedua
Rakaat Kedua
1)
Membaca surah al-Fatihah
2)
Membaca Surah al-Qur’an
3)
Rukuk
4)
Iktidal
5)
Membaca Surah al-Fatihah
6)
Membaca Surah al-Qur’an
7)
Rukuk
8)
Iktidal
9)
Sujud
10)
Duduk antara dua sujud
11)
Sujud kali kedua
12)
Duduk untuk tahiyyat
akhir
13)
Memberi salam ke kanan
dan ke kiri
KHUTBAH
RINGKAS SELEPAS SOLAT.
Setelah
selesai mengerjakan solat Gerhana, sunnah dilaksanakan khutbah yang ringkas.
Imam Syafie
rahimahullah berkata:
Imam
hendaklah menjadikan khutbah ketika solat Gerhana matahari seperti
khutbah-khutbah lain, iaitu dimulai dengan puji-pujian kepada Allah dan
berselawat ke atas Nabi s.a.w, mendorong manusia berbuat kebajikan,
memerintahkan mereka bertaubat serta mendekatkan diri kepada Allah.[16]
APABILA
BERKUMPUL SOLAT GERHANA DENGAN SOLAT LAIN
Apabila solat gerhana
berkumpul dengan solat wajib seperti solat Jumaat dan lain-lai, maka hendaklah
di dahului solat berkenaan terlebih dahulu. Tetapi sekiranya ia berkumpul
dengan solat sunat yang lain, maka didahului solat gerhana.[17]
SOLAT
BENCANA ALAM
Al-Hanafiyyah
menyatakan digalakkan solat pada semua jenis bencana alam seperti angina kuat,
gempa bumi, hujan berterusan dan sebagainya. Kerana terdapat riwayat bahawa Ibn
Abbas solat disebabkan gempa bumi di Basrah.[18]
Manakala menurut
Syafiiyyah, semua solat bencana lain tidak dilakukan solat berjemaah melainkan
gerhana sahaja. Tetapi ia tetap boleh dilakukan secara sendiri-sendiri di rumah
dalam keadaan Tadharru` di dalam doa kepada Allah.
Imam al-Syafii
berkata:
Tiada
suruhan untuk solat secara berjemaah kerana gempa bumi, kelam, kilat sambar
menyambar, angina kuat ataupun yang seumpamanya. Namun disuruh untuk bersolat
secara sendiri-sendiri sepertimana solat-solat yang lain.[19]
WallahuAlam.
[1]
Rujuk: Lisan al-`Arab, dan Kasyaf al-Qina 2/60
[2]
Rujuk: Nihayah al-Muhtaj 2/394
[3] Rujuk Bughyat al-Mutatowwi Fi Solah
al-Tatowwu' karya Syeikh Muhammad bin ‘Umar Salim Bazmul, edisi terjemahan
bertajuk Meneladani Solat-Solat Sunnah Rasulullah s.a.w, Pustaka Imam
al-Syafie, Bogor (2005), ms. 140-141.
[4] Rujuk Kitab Fath al-Bari Syarh Sahih
al-Bukhari karya Ibn Hajar al-‘Asqalani tahqiq Syeikh Abdul Aziz Abdullah bin
Baz, edisi terjemahan dengan tajuk Fath al-Bari Penjelasan Kitab Sahih
al-Bukhari, Pustaka Azzam, Jakarta (2005), jil. 6, ms. 4.
[5] Rujuk Kitab Tamam al-Minnah fi Ta’liq ‘Ala
Fiqh al-Sunnah karya Syeikh Muhammad
Nashiruddin al-Albani, edisi terjemahan dengan tajuk Tamamul Minnah Komentar
Dan Koreksi Ilmiah Terhadap Kitab Fiqhus Sunnah Karya Sayyid Sabiq, Maktabah
Salafy Press,Jakarta (2002), jil. 1, ms. 329.
[6] Rujuk Kitab Majmu’ Fatawa Arkanil Islam
karya Syeikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin, edisi terjemahan dengan tajuk
Majmu’ Fatawa Solusi Problematika Umat Islam Seputar Akidah dan Ibadah, Pustaka
Arafah, Solo (2002), jil. 1, ms. 429-430.
[7] Rujuk Taudhih al-Ahkam Min Bulughul Maram
karya Syeikh Abdullah Abdul Rahman al-Bassam, edisi terjemahan dengan tajuk
Syarah Bulughul Maram, Pustaka Azzam, Jakarta (2006), jil. 1, ms. 217.
[9] Rujuk Mukhtasar Kitab al-Umm Fi al-Fiqh
karya Abu Abdullah Muhammad bin Idris al-Syafie, ringkasan dan tahqiq oleh
Husain Abdul Hamid Abu Nashir Nail, edisi terjemahan dengan tajuk Ringkasan
Kitab al-Umm, Pustaka Azzam, Jakarta (2005), jil. 1, ms. 341.
[11] Rujuk Kitab Mukhtasar Kitab al-Umm
Fi al-Fiqh karya Abu Abdullah Muhammad bin Idris Syafie, jil. 1, ms. 344-345.
[12]
Rujuk Badai` al-Sanai` 1/281
[13] Rujuk Kitab Fiqh al-Sunnah karya Syeikh
Sayyid Sabiq, edisis terjemahan dengan tajuk Fikih Sunnah, Victory Agencie,
Kuala Lumpur (1990), jil. 1, ms. 74.
[14] Rujuk Kitab Fath al-Bari Syarh Sahih
al-Bukhari karya Ibn Hajar al-‘Asqlani, jil. 6, ms. 14-15.
[15] Rujuk Kitab Tamam al-Minnah fi Ta’liq
‘Ala Fiqh al-Sunnah karya Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, jil. 1, ms.
331.
[16] Rujuk Kitab Mukhtasar Kitab al-Umm Fi
al-Fiqh karya Abu Abdullah Muhammad bin Idris Syafie, jil. 1, ms. 344.
[17]
Al-Mughni 2/427
[18]
Al-Badai` 1/282
[19]
Al-Umm, 1/246
0 Comments
Post a Comment