Imam al-Suyuṭi di dalam Al-Luma` fi Asbab al-Hadis berkata:
Diriwayatkan oleh Ibnu Mājah[1] daripada Ibnu
Abas, ia berkata: Rasulullah SAW bersabda:
لَمْ يُرَ لِلْمُتَحَابِّينِ مِثْلُ
النِّكَاحِ
“Tidak terlihat dua orang yang saling
mencintai kecuali dangan pernikahan”.
Sebab Hadis ini dilafazkan:
1. Diriwayatkan oleh
Abu Ali Hassan bin Ahmad bin Syazan di dalam kitab Masyāikhah dan Ibnu Najar di
dalam kitab Tarikh Baghdad, daripada Jabir bin Abdullah berkata:
Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW dan
berkata: “Wahai Rasulullah, kami menjaga seorang gadis yatim yang sudah besar
dan dipinang oleh dua orang jejaka. Salah seorangnya kaya manakala seorang lagi
pemuda miskin. Gadis itu menyukai pemuda yang miskin, manakala kami menyukai
pemuda yang kaya”. Lantas Rasulullah SAW bersabda: “Tidak terlihat dua orang
yang saling mencintai kecuali dangan pernikahan”.
2. Diriwayatkan oleh
Al-Kharāiṭi di dalam kitab I’tilal Qulub merakamkan daripada Ibnu Abbas bahawasanya
seorang lelaki berkata:
Wahai Rasulullah, aku menjaga seorang gadis yatim yang sudah
besar lalu telah dipinang oleh dua orang jejaka. Salah seorangnya kaya manakala
seorang lagi pemuda miskin. Maka, kami menyukai pemuda yang kaya berbeza
dengannya yang menyukai pemuda yang miskin. Lantas Baginda bersabda: “Tidak
terlihat dua orang yang saling mencintai kecuali dengan pernikahan)”.
Saya berkata:
Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn Majah dan disahihkan oleh
ulama-ulama hadis seperti al-Albāni dan Syeikh Syuʿaib al-Arnāoūṭ
Maksud bagi hadis ini ialah, apabila seorang lelaki melihat
wanita yang boleh dinikahinya. Lalu dia merasa berminat kepada wanita itu. Sama
ada kerana kecantikan, kekayaan, kemuliaan akhlak atau ketinggian dirinya di
dalam menjaga agamanya, maka dia menghubungkan minatnya itu dengan perkahwinan.
Perkahwinan adalah ubat bagi perkara berkenaan.
Al-Manāwi di dalam Faiḍ al-Qadīr menyatakan:
Apabila seorang lelaki melihat wanita ajnabi lalu menguasai
jantung hatinya maka dengan berkahwin dapat menambahkan kecintaannya –
demikianlah yang telah disebutkan oleh al-Ṭayyibi.
Islam mengajar kita bahawa hubungan cinta yang sebenar-benarnya
adalah hubungan yang tidak terbina dengan khayal-khayalan. Ia bukanlah sekadar
suka, kemudian bermain-main cinta sehingga menjerumus kepada kemaksiatan.
Betapa ramai orang hari ini yang bercinta, tetapi akhirnya
telah melampaui had perhubungan lelaki dan wanita. Sehingga akhirnya
perhubungan mereka itu membinasakan diri mereka di dunia dan akhirat.
WallahuAlam.
Rancangan-rancangan di Telivisyen pada hari ini juga banyak
membantu kepada khalayan-khayalan ini. Sehingga akhirnya ia membawa kepada
perhubungan cinta tanpa batasan dan kisah-kisah yang tidak masuk akal.
Nikah “Friend”: (Kahwin Girlfriend/Boyfriend)
1. Realiti zaman ini,
Dalam dunia tanpa sempadan ini, lelaki dan wanita sangat
mudah bertemu. Samada bertemu secara berdepan mahupun di alam maya. Bahkan
pertemuan ini pula bukan atas sebab-sebab yang mendesak, tetapi sekadar
suka-suka. Mereka mula bercinta dan menyampaikan kata-kata rindu tanpa sebarang
had dan sekatan. Ia sudah menjadi perkara biasa dalam masyarakat.
Lelaki dan wanita muda sudah terbiasa dengan hubungan.
Sesiapa yang belum mempunyai teman lelaki atau wanita dianggap kolot dan tidak
mengikut zaman. Seolah-olahnya orang yang tidak mempunyai teman wanita atau
lelaki sudah berpenyakit.
Isu ini juga berkait rapat terhadap ibu bapa yang mempunyai
anak dan membiarkan anak mereka bersosial dengan sesuka hati. Sehingga anak
mereka dibenarkan untuk mempunyai teman wanita dan teman lelaki. Bahkan ada ibu
bapa yang membiayai hubungan tersebut dengan bantuan kad kredit, kredit
telefon, dan perkakas elektronik seperti tablet dan telefon.
Lebih menyedihkan apabila ada diantara ibu bapa yang
membiarkan anak wanita mereka bersama-sama dengan teman lelakinya di dalam
bilik tidur tanpa sebarang pengawasan.
Isu ini menjadikan umat Islam tidak peka dengan hubungan
antara jantina sehingga berleluasa isu zina dan anak zina. Rasulullah saw
pernah berkata,
إِذَا ظَهَرَ الزِّنَا وَالرِّبَا
فِي قَرْيَةٍ، فَقَدْ أَحَلُّوا بِأَنْفُسِهِمْ عَذَابَ اللَّهِ
Apabila menjadi jelas masalah zina dan riba dalam satu
kawasan, maka mereka telah memohon halalnya azab Allah kepada mereka.
[Direkod oleh al-Hakim, 2261. Sahih]
Kos perkahwinan yang tinggi juga menyebabkan zina berleluasa.
Kerana melakukan zina cukup mudah, manakala berkahwin pula cukup susah.
Rangsangan media daripada pelbagai sudut seolah-olah
berkempen kepada zina dengan menayangkan wanita-wanita berpakaian seksi dan
mengghairahkan. Video lucah dapat disaksikan cukup mudah hanya dengan menekan
satu butang komputer sahaja.
Ibu bapa yang tidak lagi mahu bertanggungjawab mendidik anak
sehingga memberikan tanggungjawab itu kepada pembantu rumah atau guru secara
sepenuh masa. Menyebabkan anak-anak tidak dapat hidup dalam suasana yang
sebetulnya. Sehingga mereka mencari jalan lain untuk berhibur, iaitu dengan
memulakan hubungan sosial tanpa sempadan dengan rakan yang dikenali.
Justeru, umat Islam memerlukan fatwa dan bantuan agama bagi
menyelesaikan isu yang semakin merosakkan kehidupan mereka. Apabila ia tidak
diselesaikan, maka masyarakat akan hancur, negara akan musnah, dan kehidupan
manusia terumbang ambing.
2. Nikah “Friend” satu penyelesaian,
Bagi mengelakkan ibu bapa menerima cucu yang dilahirkan di dalam
bilik anak perempuannya sedangkan mereka tidak tahu siapakah bapa kepada cucu
mereka itu, maka dicadangkan nikah “friend”.
Pernikahan ini menolak hubungan Boyfriend dan Girlfriend.
Tetapi ia menjadikan hubungan rapat tanpa sekatan antara lelaki dan wanita itu
sah menurut agama.
Nikah Friend ialah satu akad nikah yang berlangsung antara
lelaki dan wanita mengikut syarat dan rukun dengan sempurna yang telah
ditetapkan agama Islam. Tetapi pihak lelaki tidak diberatkan buat satu tempoh
untuk memberikan nafkah fizikal seperti makanan, rumah, dan pakaian. Mereka
boleh berjumpa dan melakukan persetubuhan di mana-mana yang mereka suka, sama ada
di rumah ibu bapa, mertua, hotel, atau di tempat lain.
3. Definisi pernikahan dan rukun-rukunnya
Sebelum kita menjelaskan hukum nikah “Friend”, hendaklah kita
mengenal dahulu erti akad nikah dan rukun-rukunnya. Apabila rukun-rukun ini
tidak disempurnakan maka pernikahan tersebut tidak sah dan terbatal. Jika rukun
itu sempurna, maka ia sah dan diterima.
Definisi Akad nikah ([2])
Mazhab Hanafi
|
Ø Satu perjanjian yang mengakibatkan pemilikan seks secara
sengaja.
|
Mazhab Maliki
|
Ø Satu perjanjian bagi menghalalkan hubungan seks dengan
wanita yang bukan mahram, majusiah atau hamba kitabiah dengan shighoh/ucapan.
|
Mazhab Syafi`i
|
Ø Satu akad yang mengandungi keharusan untuk bersetubuh
dengan lafaz nikah (inkah), atau pernikahan(Tazwij), atau terjemah kepadanya.
|
Mazhab Hanbali
|
Ø Satu perjanjian perkahwinan, iaitu perjanjian yang
diiktibar padanya lafaz nikah, atau tazwij, atau terjemahan kepadanya.
|
Rukun nikah ([3])
Mazhab Hanafiah
|
Ø Ijab dan Qabul sahaja (Ucapan serah dan terima)
|
Mazhab Malikiah
|
Ø Wali, Bakal Suami dan Isteri, dan Shighah/Ijab dan Qabul
|
Mazhab Syafi`iyah
|
Ø Shighah, bakal suami, bakal isteri, dua orang saksi, dan
wali
|
Mazhab Hanbali
|
Ø Bakal suami dan isteri, ijab (ucapan serah), dan qabul
(ucapan terima)
|
Sebahagian Ulama
|
§ Sebahagian ulama lain menambah mas kahwin dan redha dari
bakal isteri.
|
Setelah kita jelaskan definisi dan rukun nikah, maka kita
ketahui bahawa nikah akan menjadi sah dengan adanya rukun-rukun tersebut.
Peringatan : Tempat tinggal, makanan, dan pakaian
tidak termasuk dalam akad nikah dan definisi nikah. Ini kerana ia adalah kesan
selepas nikah. Ia tidak wajib ada sebelum dan ketika akad, tetapi ia terjadi
selepas akad. Maka, nafkah fizikal itu tidak mencacatkan akad pernikahan
sekalipun ia tidak ada ketika waktu akad berlangsung.
4. Wanita menarik diri dari mendapatkan haknya
Wanita berhak untuk menarik diri daripada mendapatkan
nafkahnya. Sepertimana suami dibenarkan makan dari nilai mas kahwin yang
dihadiahkan oleh isteri.
Begitu juga keharusannya seperti si isteri menggunakan
hartanya untuk membeli barang keperluan rumah tanpa meminta harta suami,
sedangkan barang keperluan rumah adalah hak isteri yang perlu dipenuhi oleh
suami.
Dalilnya, surah an-Nisa` ayat 4
وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ
نِحْلَةً فَإِنْ طِبْنَ لَكُمْ عَنْ شَيْءٍ مِنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا
مَرِيئًا
Berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mas kahwin-mas kahwin
mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya
memberikan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnya maka makanlah (gunakanlah)
pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.
Tempat tinggal, makanan, dan pakaian merupakan nafkah yang
menjadi hak isteri. Isteri boleh menarik diri dari mendapatkan haknya. Tetapi
ia adalah atas budi bicara isteri selepas akad, bukan sebelumnya. Justeru,
apabila isteri mahukan haknya, maka dia boleh meminta kepada suami tanpa
apa-apa syarat.
5. Nikah “Friend” lebih menyerupai Nikah Misyar
Nikah Misyar ialah pernikahan yang lengkap dengan syarat dan
rukun nikah. Ia juga membicarakan tentang isteri yang menarik diri dari
mendapatkan nafkah fizikal.
Biasanya ia berlaku kepada lelaki yang mahu berkahwin lebih
dari satu, manakala bakal isteri keduanya pula adalah seorang wanita kaya yang
tidak perlukan harta suaminya. Atau dia seorang janda yang sudah menopause
yang tidak lagi memerlukan layanan seks.
6. Adakah Nikah “Friend” dibenarkan oleh Islam?
Isu nikah Friend ini mula disensasikan setelah Syeikh Abdul
Majid az-Zindani ([4])
yang mengeluarkan kenyataan bahawa nikah Friend dibenarkan dalam islam.
Antara hujahnya adalah,
(1) Nikah ini telah sempurna daripada sudut rukun dan syarat
perjanjian nikah.
(2) Nikah ini sah menurut keseluruhan ahli agama.
(3) Wanita berhak menarik diri dari mendapatkan haknya.
(4) Pernikahan ini mampu menyelesaikan masalah sosial masyarakat
yang semakin membimbangkan.
7. Aplikasi Nikah Friend dalam masyarakat,
Apa yang membezakan antara nikah ini dan nikah biasa? Nikah
ini meringankan tanggungjawab suami dan menghalalkan hubungan antara lelaki dan
wanita. Jika berlaku persetubuhan dan anak itu lahir, maka nasab keturunannya
sangat jelas.
Majlis pernikahan yang diadakan juga biarlah sekadar
kemampuan sahaja. Cukuplah menjemput orang-orang terdekat dan memaklumkan
pernikahan. Tidak perlu hantaran yang berlebih-lebihan atau kenduri yang
berlebihan kerana inisiatif pernikahan ini diambil kerana mengelak bebanan
harta.
Apabila harta dilebih-lebihkan atas tujuan pernikahan dan
hantaran, maka ia telah menjadi satu pembaziran kerana lebih baik harta itu
digunakan untuk membeli rumah atau memberi nafkah kepada isteri tanpa perlu
nikah Friend.
8. Adakah Nikah “Friend” sama dengan Nikah Gantung / Nikah
Khitbah?
Saya tidak menemui satu definisi nikah gantung / nikah
khitbah yang disepakati oleh semua orang. Sebahagian mereka menyamakan nikah
khitbah dengan nikah Friend, maka perbahasannya sama seperti nikah friend. Ia
harus sepertimana harusnya nikah Friend.
Sebahagian lagi mendefinisikan ia sebagai nikah yang sekadar
akad sahaja. Manakala suami dan isteri tidak dibenarkan tinggal bersama dan
bersetubuh dalam satu-satu tempoh tertentu. Maka jenis ini tidak menepati
perintah syarak kerana ia telah melanggar maksud perkahwinan dan definasinya.
9. Adakah Nikah ini sama dengan Mutʿah?
Tidak kerana nikah mutah adalah nikah yang dihajatkan untuk
berpisah. Tetapi Nikah friend adalah nikah yang dihajatkan untuk berkekalan. Ia
tidak menyerupai nikah mut`ah dalam pelbagai segi.
والله
أعلم بالصواب
Rujukan Utama :
1- القران
الكريم
2- Mausu`ah Fiqhiyah, Jilid 41
4- المستدرك
على الصحيحين دار الكتب العلمية - بيروت
/
[1] Ibnu Majah: Di dalam kitab Nikah bab
(Kelebihan berkahwin) periwayatannya J1:593 Hadis 1847 Di dalam kitab
Az-Zawaid: Isnadnya (jalan periwayatan) sahih, dan perawinya dipercayai.
0 Comments
Post a Comment