Pengertian:
Al-Maṣlahah
bermaksud manfaat, faedah, kebaikan dan kegunaan. Maslahah juga boleh
ditakrifkan sebagai manfaat yang berlandaskan hukum syarak yang menjaga agama,
jiwa, akal fikiran, keturunan dan harta mengikut peringkat.
Pembahagian:
Al-Maṣlahah
terbahagi kepada 3 jenis utama:
(1) Al-Ḍarūriyyāt
Ia
adalah perkara-perkara yang memastikan kestabilan kehidupan manusia di dunia
dan akhirat. Sekiranya ia hilang atau dirosakkan, maka akan menyebabkan kehidupan
dunia tidak dapat diteruskan dengan baik atau di akhirat membawa kepada hukuman
dan azab.
Termasuk
di dalam hal ini aialah 5 maqsud Syarak yang diistilahkan sebagai: Al-Maqāṣid
al-Khāms:
(1)
Memelihara Agama ; disyariatkan jihad, dan membunuh orang murtad
(2)
Memelihara Jiwa; disyariatkan Qisas bagi orang yang membunuh dengan sengaja
(3)
Memelihara Akal; disyariatkan Hudud kepada peminum Arak
(4)
Memelihara Harta; disyariatkan memotong tangan pencuri
(5)
Memelihara Keturunan; disyiatkan hudud kepada penzina dan qazaf kepada penuduh
zina
Setiap
perkara yang membawa kepada penentangan kepada agama, membunuh jiwa, merosakkan
akal, menghabiskan harta serta merosakkan keturuan adalah dilarang. Demikian juga
usaha-usaha yang berkempen meninggikannya adalah digalakkan.
(2) Al-Hājiyyāt
Manusia
memerlukanya bagi mengangkat kesusahan yang ada pada diri mereka. Sekiranya perkara
berkenaan tidak diangkat, ia akan membawa padah kesusahan dan kesempitan. Perkara
ini dapat dilihat dalam banyak contoh di dalam perniagaan dan jual beli,
musafir, puasa, perkahwinan dan sebagainya.
(3) Al-Tahsiniyyāt
Ia
diambil bagi mengangkat kemuliaan akhlak. Jika ia tidak diambil, tiada
kemudaratan tetapi jika diambil akan menjadikan kehidupan lebih baik. Oleh yang
demikian, ia termasuk dalam usaha-usaha penyempurnaan perkara yang sepatutnya
dan menghindari perkara yang tidak sepatutnya seperti wangi-wangian yang
harum,syariat pengharaman makanan yang kotor, kesopanan dalam berbicara, makan
dan minum, perbelanjaan harta yang sederhana, dan tidak terlalu pemurah atau
terlalu kedekut. Demikian juga yang berlaku hari ini seperti kewajipan
mendaftarkan anak, perkahwinan dan sebagainya.
Penerimaan Mazhab
Ulama
terbahagi kepada dua kumpulan dalam isu ini. Pertama ialah kumpulan yang tidak
bersetuju menjadikan Al-Maṣlahah al-Mursalah sebagai salah satu daripada dalil
syarak; mereka ialah: Mazhab al-Syafiiyyah, Al-Zahiriyyah dan Syiah. Manakala kumpulan
kedua iaitu Al-Mālikiyyah, Al-Hanafiyyah, dan al-Hanābilah menyatakan al-Maṣālih
al-Mursalah adalah salah satu daripada dalil syarak.
Hujah Yang Menolak:
Mereka
menyatakan bahawa Syariah itu hanya satu – yang menjadi agama pada zman Nabi,
menjadi agama jugalah pada zaman kita – ia tidak berubah mengikut perubahan
generasi. Al_Maslahah tidak boleh dijadikan hujah kerana dibimbangi orang akan
memberikan fatwa berdasarkan kepada kepentingan diri sendiri, kehendak
keduniaan dan tujuan-tujuan duniawi semata-mata.
Hujah Yang Menerima;
Ulama
yang menerima menyatakan bahawa Hukum berubah dengan perubahan maslahah dan
bentuk hukum. Ini juga menurut kepada Syarak – ia disandarkan kepada isu yang
berlaku bukannya kepada kepentingan diri. Justeru itu disyaratkan wujud
keselarasan matlamat syarak dan amalan yang dilakukan.
Syarat Berhujah dengan Al-Maṣālih al-Mursalah:
Menurut
pendapat Imam al-Ghazali, terdapat beberapa syarat dalam penggunaan masalih
al-mursalah. Antaranya ialah, sesuatu maslahah itu haruslah sampai ke peringkat
maslahah daruriyyah yang menjaga lima perkara utama iaitu agama, jiwa,
keturunan, akal dan harta. Oleh yang demikian, Imam al-Ghazali telah menetapkan
tiga syarat untuk sesuatu itu dianggap sebagai maslahah daruriyyah.
Hal
ini dapat dilihat seperti yang dinyatakan di bawah:
1.
Mestilah kulliyyah itu merangkumi faedahnya kepada orang Islam.
Antara
contoh masalih al-mursalah ialah musuh Islam menjadikan tawanan orang Islam
sebagai benteng pertahanan mereka. Maka, dibolehkan untuk membunuh mereka
walaupun pada asalnya diharamkan untuk membunuh orang Islam. Di sini, jelas
dapat dilihat bahawa nyawa orang Islam keseluruhannya lebih dijaga berbanding
nyawa sebahagian kecil umat Islam.
2.
Segala penetapan hukum yang ditetapkan berdasarkan kemaslahatan mestilah
rasional dan boleh diguna pakai.
Sebagai
contoh, fatwa yang mengharamkan perkahwinan antara seorang lelaki muslim yang
berasal dari negara yang dijajah seperti Malaysia dengan seorang wanita Ahli
Kitab yang merupakan warganegara dari negara yang merampas dan menjajah negara
Malaysia itu sendiri. Alasannya, perkahwinan ini mungkin mempengaruhi suami
sehingga dia tidak dapat lagi berjuang dengan bersungguh-sungguh untuk
menentang negara menjajah itu. Manakala, anak-anak yang lahir dari perkahwinan
itu mungkin akan lemah, atau tidak ada semangat untuk menentang orang-orang
yang sebangsa dan seagama dengan ibu mereka.
3.
Maslahah itu benar-benar mendatangkan manfaat dan menolak mudharat.
Sebagai
contoh, hukuman terhadap orang murtad. Hukuman yang dikenakan adalah bunuh
sekiranya tidak mahu bertaubat. Hukuman ini dilihat sebagai maslahah dari aspek
menjaga agama. Hukuman bunuh yang dikenakan merupakan pengajaran kepada umat
Islam yang lain dalam kepentingan menjaga agama.
Syarat Mengikut Pendapat Ulama Maliki Dan Hanbali
1.
Maslahah itu haruslah selaras dengan matlamat-matlamat syarak supaya tidak
bertentangan dengan mana-mana prinsip syarak dan nas atau mana-mana dalil yang
qat’iyy.
Tidak
boleh berhujah dengan matlamat yang berbeza dengan syarak seperti difatwakan
kepada orang kaya bahawa mereka boleh berjimak di bulan Ramadhan kemudian
melazimkan untuk berpuasa dua bulan berturut-turut dan tidak membenarkannya
membebaskan hamba – ia melanggari nas yang tentang kaffarah.
Sebagai
contoh, mencabut hak talak dari tangan suami dan meletakkannya di tangan qadi
adalah tidak harus kerana ia bertentangan dengan nas dan tidak memberi manfaat yang
diyakini. Hal ini bermaksud, hak menceraikan isteri yang dipindahkan dari suami
kepada qadi bukanlah membawa kepada jalan penyelesaian yang baik. Malahan, ia
merupakan perkara yang bertentangan dengan nas.
2.
Maslahah itu dapat difahami dan berlaku pada sebab yang munasabah yang diterima
oleh akal dan sekiranya diyakini mempunyai maslahah dari hukum itu iaitu
membawa manfaat atau menolak kemudharatan.
Seperti
kewajipan mendaftar tanah di pejabat tanah bagi mengelakkan penyaksian palsu. Demikian
juga akuan sumpah kepada orang yang hilang kad pengenalan. Ini bertujuan
mengelakkan saksi-saksi palsu.
3.
Masalih al-mursalah yang disyariatkan mestilah melibatkan kepentingan orang
ramai bukan individu tertentu, kerana hukum-hukum syariah itu dibuat adalah
untuk dikenakan ke atas setiap manusia.
Oleh
sebab itu, tidak boleh disyariatkan sesuatu hukum itu untuk kepentingan raja,
pemimpin atau konco-konconya dan keluarganya.
Penggunaan Masalih Al-Mursalah Oleh Ulama
Pertama: Zaman Sahabat
Khulafa’
al-Rasyidin menggunakannya dalam jaminan pengilang terhadap barangan yang
dikeluarkan. Pada mulanya pengilang tidak menjamin ke atas barang yang
dikeluarkan dalam keadaan yang rosak. Namun begitu, perkara ini telah
menyebabkan ramai pengilang yang mengambil kesempatan dan menipu orang yang
mengkehendaki barangan tersebut. Oleh itu para Sahabat telah menetapkan bahawa
barangan yang rosak disebabkan pengilang mestilah diganti rugi atau dijamin
oleh pengilang bagi mengelakkan penipuan terhadap orang ramai. Penggunaan
masalih al-mursalah di sini jelas menunjukkan ia hanyalah untuk kebaikan orang
ramai dan menolak kemudaratan. Ia di dalam isu Tahsiniyyat.
Demikian
juga, Ali telah memerintahkan untuk dibakar penganut Syiah Ghulat yang
menuhankannya.
Kedua: Zaman Tabi’in.
i.
Ibn Abi Laila membolehkan kanak-kanak menjadi saksi dalam kes yang melibatkan kecederaan
yang terjadi antara mereka di tempat mereka bermain seperti padang permainan
dan lain-lain. Kanak-kanak dibolehkan menjadi saksi pada masa ini kerana mereka
biasa ke tempat ini dan jarang bercampur dengan orang yang layak menjadi saksi.
Maka dengan menggunakan masalih al-mursalah ini kanak-kanak diberikan kelayakan
untuk menjadi saksi dalam masalah ini agar ia selaras dengan maqasid shari’ah
bagi memenuhi jaminan orang ramai tidak mengira peringkat umur.
Ketiga: Di dalam 4 Mazhab Utama
I.
Imam Malik.
Imam
Malik mengambil masalih al-mursalah dalam mengistinbat hukum dan menjadikannya
sebagai salah satu kaedah dan mempelopori masalih al-mursalah dalam mazhab
beliau. Beliau menggunakan masalih al-mursalah untuk mengistinbat hukum pada
kemaslahatan yang tiada penjelasan syarak dari sudut penerimaannya dan
penolakannya. Namun, pada hakikatnya kemaslahatan ini membawa manfaat dan
menolak kemudaratan terhadap orang ramai. Kemaslahatan ini pula tidak diambil
kira dari sudut sama ada ia perkara daruriyyah ataupun hajjiyah mahupun
tahsiniyyah. Hal ini kerana perkara yang paling penting ialah ia merupakan
kemaslahatan yang perlu dirujuk kepada tujuan pensyaritannya yang terkandung di
dalam al-Quran, hadis dan ijmak supaya dijaga dan diraikan.
Imam
Malik menggunakan masalih al-mursalah ini lebih meluas berbanding imam-imam
yang lain. Antara penggunaan Imam Malik dalam masalih al-mursalah dapat dilihat
apabila beliau mengeluarkan fatwa mengenai suami yang hilang atau tidak
diketahui beritanya selepas 4 tahun, maka isteri tersebut boleh berkahwin atau
dikahwini oleh lelaki lain. Hal ini adalah bagi menjaga kemaslahatan isteri
yang kehilangan suami.
Demikian
juga Al-Malikiyyah mengharuskan menahan orang yang tertuduh atas tujuan
siasatan dan melaksanakan ta`zir yang membawa kepada pengakuannya.
II.
Imam Ahmad bin Hanbal
Imam
Ahmad bin Hanbal tidak mengambil masalih al-mursalah sebagai kaedah pengeluaran
hukum kerana pada beliau kebanyakan permasalahan yang timbul telah terdapat
dalam al-Quran , hadis dan qiyas. Walaupun begitu, beliau masih mengambil
masalih al-mursalah ini sebagai kaedah mengistinbat hukum dengan mengambil
maksud masalih al-mursalah dalam penggunaan qiyas. Oleh itu, apabila timbul
masalah baru beliau akan mencari persamaan antara masalah tersebut dengan
masalah yang lama dan diambil hukumnya sebagai jalan penyelesaiannya.
Penyelesaian tersebut kebiasaannya akan membawa kebaikan dan menolak
kemudaratan kepada manusia.
Penggunaan
masalih al-mursalah ini dapat dilihat apabila Ibn Qayim yang merupakan salah
seorang mujtahid yang berpegang pada mazhab Hanbali telah mendapati bahawa
masalih al-mursalah ini merupakan kaedah istinbat hukum dalam memutuskan
perkara yang berkaitan dengan muamalat ataupun perhubungan sesama manusia.
Perkara yang diistinbat pula merupakan perkara yang dapat menolak kemudaratan
dan mendatangkan manfaat kepada manusia dalam perhubungan sesama mereka.
Hal
ini dapat dilihat pada masalah mengahwini perempuan yang dalam idah. Apabila
seseorang itu berkahwin dengan perempuan yang sedang beridah, perkahwinan
tersebut akan terbatal kerana perempuan yang masih beridah tidak boleh
berkahwin selagi dalam tempoh idah. Maka menurut beliau, lelaki tersebut haram
selama-lamanya untuk berkahwin dengan perempuan tersebut walaupun dengan akad
yang baru. Oleh itu, kategori perempuan tersebut sama seperti perempuan yang
diharamkan berkahwin selama-lamanya seperti ibu dan lain-lain. Hukuman ini
adalah sebagai pengajaran kepada orang ramai agar tidak mengahwini perempuan
yang sedang beridah kerana mereka masih berada di bawah tanggungan suami yang
masih mempunyai hak terhadap bekas isteri.
III.
Imam Syafi’i.
Beliau
tidak berhujah dengan masalih al-mursalah seperti yang digunakan oleh Imam
Malik sebagai sumber mengistinbat hukum. Walau bagaimanapun, apabila diteliti
fiqh mazhab Syafi’i sebenarnya telah memasukkan masalih al-mursalah dalam bab qiyas,
yang dikenali qiyas qawa’id. Hal ini kerana pada Imam Syafi’i qiyas itu ada dua
iaitu qiyas pada furu’ dan qiyas al-qawa’id.
Penggunaan
masalih al-mursalah oleh Imam Syafi’i dapat dilihat apabila beliau
memadankannya dengan pemahaman yang umum bagi masalah yang yang tiada nas
dengan ijtihad dan qiyas. Namun penggunaan masalih al-mursalah ini tidak
dijadikan sesuatu yang khusus dalam penggunaannya. Hal ini menunjukkan Imam
Syafi’i menggunakan masalih al-mursalah namun tidaklah secara mutlak.
Penggunaan
masalih al-mursalah oleh Imam Syafi’I dapat dilihat pada hukuman peminum arak
iaitu dengan hukuman sebat yang disamakan dengan hukuman qazaf yang diambil
kerana bentuk hukuman yang dikenakan. Meminum arak itu merupakan perkara haram
yang boleh menyebabkan kemudaratan pada akal. Begitulah juga bagi orang yang
menuduh berzina akan membawa kemudaratan kepada keturunan. Maka hukuman sebat
pada qazaf dianggap hukuman yang keras dan dapat memberi pengajaran kepada
orang yang melakukannya serta menakutkan orang lain untuk melakukannya. Maka,
pengambilan hukuman sebat bagi peminum arak ini dapat memelihara akal manusia
kerana dengan hukuman yang keras manusia akan berasa takut untuk melakukannya.
Hukuman yang keras juga dapat dianggap sebagai bukti bahawa kesalahan itu
memudaratkan dan ia ditegah adalah untuk kebaikan manusia semata-mata.
Al-Syafiiyah
juga mewajibkan Qisas terhadap kumpulan jika mereka membunuh seorang manusia.
IV.
Imam Abu Hanifah.
Masalah
yang berkaitan dengan taubat seorang zindiq selepas dinyatakan hukuman ke atas
mereka. Dalam masalah ini sekiranya zindiq itu sememangnya diketahui dengan
jelas maka mereka akan diberi nasihat untuk bertaubat. Apabila mereka tidak
mahu bertaubat, hukuman yang dikenakan adalah bunuh. Pada kebiasaannya mereka
yang bertaubat selepas disabitkan hukuman akan dilepaskan dan dikenakan ta’zir
kerana mereka telah bertaubat. Namun pada Imam Hanafi, selepas hukuman itu disabitkan
dan mereka bertaubat maka taubat mereka tidak diterima dan hukuman bunuh tetap
dilaksanakan. Hal ini kerana kemungkinan mereka yang bertaubat selepas
pensabitan hukuman adalah bertujuan untuk melepaskan diri dari dihukum. Hukum
yang dikeluarkan oleh Imam Hanafi ini dikeluarkan melalui penggunaan istihsan
dan secara tidak langsung ia juga dapat menjaga agama daripada dipersendakan.
Hal inilah yang dikatakan penggunaan masalih al-mursalah sama seperti istihsan.
Mazhab
al-Hanabilah juga mengharuskan menggunakan harta orang lain dalam keperluan
yang sangat mendesak dan mengakhirkan untuk meminta izin.
Kesimpulan
Maka,
dapatlah dilihat penggunaan masalih al-mursalah ini sebenarnya merupakan asas
kepada pengistinbatan sesuatu hukum. Penggunaan ini juga telah wujud sejak
zaman para sahabat sehinggalah zaman empat mazhab utama. Masalih al-mursalah
ini juga dapat disamakan dengan ijtihad dan qiyas ataupun istihsan dan ‘uruf.
Para ulama kebanyakannya tidak mengkhususkan masalih al-mursalah dalam
pengistinbatan hukum, namun mereka tetap menggunakannya sama ada secara
langsung atau tidak. Maka, jelaslah di sini bahawa masalih al-mursalah itu
diterima melalui syarat-syarat tertentu dengan satu tujuan iaitu untuk kebaikan
orang ramai yang selaras dengan maqasid shari’ah yang sebenarnya.
0 Comments
Post a Comment