Pada bulan Syawal tahun kesepuluh kenabian, bertepatan dengan akhir Mei atau awal Jun tahun 619 M, Nabi Muhammad pergi ke Taif yang jauhnya kira-kira 60 batu dari kota Mekah. Baginda menempuhnya dengan berjalan kaki, sama ada ketika datang mahupun pergi. Baginda didampingi oleh pembantunya, Zaid bin Harisah. Setiap kali baginda bertemu dengan suatu kabilah di sepanjang perjalanan, baginda mendakwahi mereka untuk memeluk Islam. Namun begitu, tiada satu kabilah pun yang menyambut seruan baginda.
Setelah sampai di Taif, baginda menemui tiga orang bersaudara yang merupakan pembesar kaum Tsaqif, iaitu Abdul Yālīl, Mas‘ud dan Hubaib. Mereka adalah anak Amru bin Umair al-Tsaqafy. Baginda duduk bersama mereka lalu mendakwahi mereka untuk beriman kepada Allah dan membela Islam.
Salah seorang daripada mereka berkata,
هُوَ يَمْرُطُ ثِيَابَ الْكَعْبَةِ إنْ كَانَ اللَّهُ أَرْسَلَكَ
“Semestinya Allah telah mengoyak kain penutup Kaabah jika memang Allah mengutusmu.”
Salah seorang yang lain berkata,
أَمَا وَجَدَ اللَّهُ أَحَدًا يُرْسِلُهُ غَيْرَكَ
“Adakah Allah tidak boleh mendapatkan orang lain selain kamu?”
Orang yang ketiga pula berkata,
وَاَللَّهِ لَا أُكَلِّمُكَ أَبَدًا. لَئِنْ كُنْتَ رَسُولًا مِنْ اللَّهِ كَمَا تَقُولُ، لَأَنْتَ أَعْظَمُ خَطَرًا مِنْ أَنْ أَرُدَّ عَلَيْكَ الْكَلَامَ، وَلَئِنْ كُنْتَ تَكْذِبُ عَلَى اللَّهِ، مَا يَنْبَغِي لِي أَنْ أُكَلِّمَكَ.
“Demi Allah, aku tidak akan bercakap denganmu untuk selama-lamanya. Sebab, jika kamu memang benar seorang rasul sepertimana yang kamu dakwa, pasti kamu lebih mampu menolong dirimu sendiri daripada dibantu oleh kata-kataku. Namun begitu, jika ternyata kamu berdusta atas nama Allah, maka tidak layak aku bercakap denganmu.”
Rasulullah s.a.w. bangkit dari tempat duduknya lalu berkata kepada mereka,
إذَا فَعَلْتُمْ مَا فَعَلْتُمْ فَاكْتُمُوا عَنِّي،
“Baiklah, jika memang itu kehendak kamu tetapi aku minta kamu biarkan aku di sini.”
Rasulullah s.a.w. bermukim di Taif selama sepuluh hari. Baginda bercakap dengan semua pembesar Taif. Sampailah mereka semua berkata,
اُخْرُجْ مِنْ بِلَادِنَا
“Keluarlah kamu dari Negeri kami!”
Mereka menghasut seluruh rakyat Taif untuk mengusir baginda. Sehinggakan, tatkala baginda bergerak keluar dari Taif, baginda diekori oleh pemimpin dan hamba-hamba rakyat jelata Taif yang bersorak dan menyumpah-nyumpah baginda. Sehingga mereka membuat dua barisan untuk melempari baginda dengan batu sambil melontarkan kata-kata kesat dengan tidak henti-henti. Mereka melempar tepat pada lutut baginda, sehingga kedua-dua selipar baginda menjadi merah disebabkan terkena darah. Sementara itu, Zaid bin Harisah berusaha sekuat tenaga melindungi baginda sehingga kepalanya berdarah.
Rakyat Taif terus mendesak Rasulullah s.a.w. sehingga baginda terdorong untuk masuk ke perkarangan rumah milik dua orang anak Rabiah, iaitu Utbah dan Syaibah, yang letaknya sejauh 3 batu dari Taif. Selepas itu, barulah orang Taif pulang meninggalkan baginda.
Bernaung Di Bawah Pohon Anggur
Setelah mereka pergi, Rasulullah s.a.w. menghampiri sebuah pohon anggur yang rimbun. Baginda duduk di bawah naungannya dengan menyandarkan diri pada tembok. Setelah beberapa ketika baginda duduk dan mula berasa selamat, baginda memanjatkan sebuah doa yang masyhur, yang menerangkan betapa hati baginda dipenuhi dengan rasa duka dan sedih akibat perlakuan keras yang baginda alami, lebih-lebih lagi menghadapi kenyataan tidak ada seorang pun orang Taif yang mahu beriman.
Doa baginda seperti ini,
«اللَّهُمَّ إِلَيْكَ أَشْكُو ضَعْفَ قُوَّتِي، وَقِلَّةَ حِيلَتِي، وَهَوَانِي عَلَى النَّاسِ، أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ، أَنْتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ، إِلَى مَنْ تَكِلُنِي؟! إِلَى عَدُوٍّ [يَتَجَهَّمُنِي] ! أَمْ إِلَى قَرِيبٍ مَلَّكْتَهُ أَمْرِي! إِنْ لَمْ تَكُنْ غَضْبَانًا عَلَيَّ فَلاَ أُبَالِي، إِنَّ عَافِيَتَكَ أَوْسَعُ لِي، أَعُوذُ بِنُورِ وَجْهِكَ الَّذِي أَشْرَقَتْ لَهُ الظُّلُمَاتُ، وَصَلَحَ عَلَيْهِ أَمْرُ الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، أَنْ تُنْزِلَ بِي غَضَبَكَ، أَوْ تُحِلَّ عَلَيَّ سَخَطَكَ، لَكَ العُتْبَى حَتَّى تَرْضَى، ولاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِكَ» .
“Ya Allah, kepada-Mu aku mengeluhkan kelemahan diriku, sedikitnya kecerdikanku dan rendahnya aku di hadapan manusia. Wahai Zat yang paling pemurah, Engkaulah Tuhan kaum yang lemah, juga Tuhanku. Kepada siapakah Kau menghantarku? Kepada orang jauh yang bermuka masam kepadaku ataukah kepada musuh yang dapat menguasai urusanku? Sesungguhnya aku tidak peduli asalkan Engkau tidak marah kepadaku. Ini kerana kurnia kesihatan yang Kau limpahkan kepadaku sungguh luas. Aku berlindung dengan cahaya wajah-Mu yang mengalahkan semua kegelapan dan dengannya urusan dunia dan akhirat menjadi baik, supaya Kau tidak menurunkan kemarahan-Mu kepadaku atau menghalalkan kemurkaan-Mu kepadaku. Hanya Kau-lah yang berhak menegur hingga Kau redha. Sesungguhnya, tidak ada usaha dan kekuatan melainkan atas izin-Mu.”
Bersambung.. Kisah Addas pada bulan hadapan.
0 Comments
Post a Comment