Isu 1: Qias Rokok Dengan Arak
Qias rokok kepada arak adalah tidak sesuai kerana tidak mencukupi syarat. Illah bagi rokok ialah memabukkan, sedangkan rokok tidak memabukkan serta tidak menghilangkan akal.
Contoh Qiyas yang betul adalah seperti berikut:
Allah telah mengharamkan arak dengan nas al-Quran. Allah menyatakan bahawa ia adalah minuman yang memabukkan. Diperbuat daripada air anggur yang diperam tanpa dimasak dengan api. Firman Allah:
90. Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
(Al-Māidah: 90)
Mujtahid mendapati bahawa sebab (illah) bagi pengharaman arak ialah pemabukkan yang menghilangkan akal secara hukum adat dan kebiasaannya. Ia membawa kepada kemudaratan dan kerosakan yang banyak terhadap agama dan hal dunia, kesihatan dan masyarakat, seperti berlaku permusuhan dan kebencian sesama manusia. Kemudaratan terhadap peminum arak itu dikuatkan lagi secara klinikal.
Kemudian, mujtahid mendapati bahawa pemabukan itu juga boleh berlaku dengan minuman lain yang diambil daripada benih dan buah-buahan yang membawa kepada mabuk, ia dinamakan nabiz (wine). Hukum haram meminum Nabiz itu dikaitkan denganpengharaman arak. Maka rukun bagi Qiyās ini ialah:
• Arak = al-Aṣal
• Nabiz = Far` (cabang)
• Hukum asal yang mempunyai nas: Haram
• Illah (sebab) yang berkongsi : Mabuk
Isu 2: Qias Rokok Dengan Racun
Racun sebagai contoh adalah suatu perkara yang haram.
Nabi Muhammad bersabda:
Sesiapa yang membunuh diri dengan cara mencampakkan diri dari atas bukit, dia akan berada di dalam neraka jahannam secara kekal dan berterusan mencampakkan dirinya selama-lamanya. Sesiapa yang membunuh diri dengan meneguk racun, maka racun akan terus berada di tangannya dan dia akan meneguk racun berkenaan di dalam api neraka selama-lamanya. Sesiapa yang membunuh diri dengan sesuatu objek tajam maka objek itu akan terus berada di tangannya di dalam api neraka dan akan kekal bersamanya dan terus menikamnya selama-lamanya.
(HR Al-Bukhari: 5778)
Tujuan pengharaman atau Illah bagi racun itu ialah merosakkan tubuh badan dan membawa kepada kematian tanpa mengira ia berlaku dengan cepat ataupun lambat. Demikianlah Illah itu berkongsi pada rokok menurut kajian-kajian para pakar.
Sebahagian ulama menkategorikan rokok itu sendiri sebagai racun. Justeru itu, ia tidak boleh digunakan kerana ia adalah racun.
• Racun = al-Aṣal
• Rokok = Far` (cabang)
• Hukum asal yang mempunyai nas: Haram
• Illah (sebab) yang berkongsi : Membunuh Diri
0 Comments
Post a Comment