Kaedah menggunakan peredaran bulan telah digunakan sebelum kedatangan Islam lagi. Ia digunakan sehingga zaman pemerintahan Abu Bakar. Masyarakat Arab bersepakat menyatakan hari pertama bagi setiap bulan dikira dengan kemunculan anak bulan. Nama-nama bulan juga telah ditetapkan oleh mereka. Bulan-bulan itu ialah 12 bulan yang kita kenal. Tetapi mereka tidak menetapkan bulan manakah yang menjadi bulan pertama.

Masyarakat Arab juga telah menetapkan 4 bulan sebagai bulan suci iaitu: Dzū al-Qāidah, Dzu al-Hijjah, Muharram dan Rejab. Itulah 4 bulan yang tidak dibenarkan berlaku sebarang tumpah darah.
Penetapan tahun masih belum ada pada waktu itu. Tetapi mereka mengingati tahun dengan melabel peristiwa besar yang berlaku pada tahun itu. Seperti Tahun gajah besempena peristiwa serangan Abrahah untuk menghancurkan Mekah. Kadangkala, mereka menjadikan kematian seseorang tokoh sebagai panduan seperti 10 tahun setelah kematian Kaab bin Luai, 2 tahun setelah Nabi dilantik sebagai Rasul.



Permulaan Penetapan Tahun Hijriyyah

Pada zaman Umar al-Khattab dilantik sebagai khalifah kerajaan umat Islam, kalender khusus untuk umat Islam telah digazet. Ia bermula dengan sepucuk surat daripada Abu Musā al-Asyari yang merupakan gabenor Basrah yang dihantar kepada Umar. Berikut merupakan kandungan surat berkenaan:

إِنّهُ يَأْتِيَنَا مِنْ أَمير الْمُؤْمِنِينَ كُتُبٌ، فَلَا نَدْرِي عَلَى أَيُّ نَعْمَلُ، وَقَدْ قَرَأْنَا  مَحَّلَهُ شَعْبَانُ، فَلَا نَدْرِي أَهُوَ الَّذِي نَحْنُ فِيهِ أَمْ الْمَاضِي

Telah datang kepada kami beberapa surat daripada Amirul Mukminin, sementara kami tidak tahu bilakah kami patut melasanakannya. Kami telah membaca surat yang ditulis pada bulan Sya’ban. Tetap kami tidak tahu, surat itu Sya’ban tahun ini ataukah tahun lepas.”

Kemudian Umar mengumpulkan para sahabat, beliau berkata kepada mereka:

ضَعُوا لِلنَّاسِ شَيْئًا يَعْرُفُونَهُ

Tetapkan sesuatu bagi masyarakat supaya mereka dapat mengenalinya.

Lalu terbitlah pelbagai pendapat. Ada sebahagian pendapat yang mengusulkan supaya digunakan sahaja kalender Romawi yang telah sedia ada. Namun usul ini dibantah kerana tahun Romawi sudah terlalu tua. Perhitungan tahun Romawi sudah dibuat sejak zaman Dzul Qornain (Mahdhu ash-Shawab, 1:316, dinukil dari Fashlul Khithab fi Sirati Ibnul Khatthab,  Dr. Ali Muhammad ash-Shalabi, 1:150)

Kemudian disebutkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak, dari Said bin al-Musayib, beliau menceritakan:

Di dalam kitab al-Mustadrak, Imam al-Hakim al-Naisābury merekodkan atsar dengan sanadnya yang sahih: Said bin al-Musayyib berkata:

Umar mengumpulkan masyarakat lalu bertanya mereka berkenaan mulai hari bilakah kita akan mulakan penetapan sejarah? Lalu Ali bin Abi Talib berkata:

«مِنْ يَوْمِ هَاجَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتَرَكَ أَرْضَ الشِّرْكِ»

Kita tetapkan bermula hari Rasulullah SAW berhijrah dan meninggalkan bumi syirik (ketika itu).
Lalu Umar menetapkannya. Sila rujuk Al-Mustadrak pada bilangan: 4287. Kesahihan sanad ini dipersetujui oleh Imam al-Dzahabi.

Mengapakah tidak ditetapka pada tahun kelahiran Nabi SAW?

Jawapan bagi persoalan ini dijawab oleh Ibn Hajar di dalam Fath al-Bāri:

4 Peristiwa utama yang disepakati untuk diperbincangkan dalam penetapan sejarah iaitu: Tahun kelahiran nabi, Tahun Nabi dilantik sebagai rasul, tahun berlaku peristiwa Hijrah, da tahun kewafatan baginda. Namun mereka telah cenderung memilih tahun berlaku peristiwa hijrah kerana tahun kelahiran dan tahun nabi dilantik sebagai rasul tidak terlepas daripada perselisihan penetapan tahun. Manakala tahun kewafatan pula membawa kepada kesedihan lalu yang tinggal hanyalah tahun berlakunya peristiwa hijrah.

Mengapa Muharram, bukan Rabi’ al-Awwal.

Kita patut sedar bahawa Hijrah tidak berlaku pada bulan Muharram. Tetapi ia bermula pada bulan Safar dan Nabi tiba di Madinah pada bulan Rabi` al-Awwal. Syeikh Safiyurrahman al-Mubarakfuri di dalam Al-Rahiq al-Maktum menyebutkan:
  • Rasulullah s.a.w. meninggalkan rumahnya pada tarikh 27 Safar tahun ke 14 kenabian, yang bertepatan dengan tarikh 12 atau 13 September tahun 622 M. 
  • Pada hari Isnin, 8 Rabiul Awal tahun ke14 kenabian (merupakan tahun pertama Hijrah) bertepatan pula dengan tarikh 23 September tahun 622 M, Rasulullah s.a.w. sampai di Quba’.
  • Rasulullah s.a.w. menginap di Quba’ selama empat hari, iaitu Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis. Di sana, baginda mendirikan asas-asas masjid Quba’, lalu solat di dalamnya. Itulah masjid pertama yang didirikan atas asas takwa setelah kenabian. Pada hari Khamis (atau Jumaat), baginda meneruskan perjalanan atas perintah Allah dan Abu Bakar membonceng di belakang baginda. Rasulullah s.a.w. mengirim utusan kepada Bani Najjar dan para bapa saudaranya daripada pihak ibu sehinggalah mereka datang dengan menyandang pedang. Rasulullah s.a.w. berjalan menuju ke Madinah. Mereka sampai pada hari Jumaat di Bani Salim bin Auf. Maka Rasulullah s.a.w. solat bersama-sama mereka di masjid yang terletak di perut lembah, yang mana jumlah mereka semua ada seratus orang.
(Rujuk Al-Rahiq Al-Makhtum)


Penetapan tahun Muharram disebutkan oleh Ibn Hajar:

Dilewatkan daripada Bulan Rabi` al-Awwal kepada bulan Muharram kerana ia adalah bulan permulaan azam untuk hijrah. Perjanjian (Aqabah) berlaku pada Bulan Dzul Hijjah, ia adalah muqaddimah untuk hijrah, anak bulan pertama yang muncul setelah perjanjian itu ialah anak bulan Muharram, maka sesuailah ia menjadi permulan. (Fath al-Bari: Jilid 7, muka surat 268).

Berdoa Sempena Masuk Tahun Hijriyyah

Setelah kita jelas tentang latar penetapan tahun hijrah, iaitu ia berlaku pada zaman Saidina Umar bin al-Khattab r.a bukan pada zaman Rasulullah s.a.w, maka sudah pastilah tiada apa-apa upacara ibadah khusus –sama ada solat khusus, atau puasa khusus atau bacaan khusus- yang Nabi s.a.w lakukan sempena tahun baru hijrah kerana kiraan tahun baru hijrah belum bermula pada zaman baginda. Pada zaman Umar dan khalifah-khalifah selepas Umar juga tiada sebarang upacara ibadah khusus sempena kedatangan tahun baru hijrah. Sebaik-baik petunjuk dalam ibadah ialah petunjuk Nabi s.a.w dan al-Khalafa al-Rasyidin.

Manakala amalan berdoa pada awal tahun dan akhir tahun yang dilakukan pada hari ini tidak boleh disandarkan kepada Nabi SAW. Ia juga tidak boleh ditetapkan apa-apa fadilat kerana fadilat hanya diberikan oleh Rasulullah SAW. Sekalipun begitu, Amalan berdoa beramai-ramai diharuskan sepertimana diharuskan kita berdoa pada permulaan perhimpunan. Kita juga diharuskan untuk berdoa pada awal tahun dan akhir tahun masihi, tahun kelahiran, dan sebagainya.

Di dalam satu atsar yang sahih menyatakan bahawa para sahabat Nabi SAW membaca doa pada setiap bulan dan tahun. Ini disandarkan kepada Atsar berikut: 

Abdullah bin Hisyam berkata:

كَانَ أَصْحَابُ رَسُوْلِ اللهِ صَلىَّ اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ يَتَعَلَّمُوْنَ الدُّعَاءَ كَمَا يَتَعَلَّمُوْنَ الْقُرْآَنَ إِذَا دَخَلَ الشَّهْرُ أَوِ السَّنَةُ اللّهُمَّ أَدْخِلْهُ عَلَيْنَا بِاْلأَمْنِ وَاْلإِيْمَانِ وَالسَّلاَمَةِ وَاْلإِسْلاَمِ وَجِوَارٍ مِنَ الشَّيْطَانِ وَرِضْوَانٍ مِنَ الرَّحْمنِ، 

Para sahabat Rasulullah SAW selalu mempelajari doa sebagaimana mereka mempelajari al-Qur’an, apabila masuk bulan atau tahun baru, “Ya Allah, masukkanlah bulan atau tahun baru ini kepada kami dengan sentosa, keimanan, keselamatan, Islam, perlindungan dari syaitan dan redha daripada Allah Yang Maha Pengasih.” 

Hadis ini mauquf (terhenti kepada sahabat) dan menepati ciri-ciri khabar yang sahih. Ia direkodkan juga di dalam Mu`jam al-Ausat oleh Imam al-Tabrani: 6241. Ia juga direkodkan oleh Imam Ibn Hajar di dalam kitab al-Isabah.

Hadis Palsu Tentang Kelebihan Doa Awal Tahun dan Akhir Tahun

Berikut contoh hadis-hadis palsu berkaitan yang tersebar di internet:
  • Sesiapa yang membaca doa ini pada 1 Muharam, Allah mewakilkan dua malikat memeliharanya pada tahun itu
  • Selepas doa(awal tahun) dibaca, berkatalah syaitan, "Kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku mengoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa itu, Allah mengampunkannya setahun".
  • Selepas dibaca doa akhir tahun, syaitan berkata, "Telah amanahlah anak Adam ini daripada godaanku pada tahun ini kerana Allah mewakilkan dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah syaitan".
  • Bacalah doa awal tahun berikut sebanyak tiga kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada hari terakhir bulan Zulhijah.
  • Bacalah doa akhir tahun sebanyak tiga kali selepas waktu Maghrib pada malam 1 Muharam.


Memadailah kita mengikuti sunnah baginda. Telah jelas bahawa barangsiapa yang mengamalkan amalan awal Muharam(Doa Awal dan Akhir Tahun), beriqtikadkan bahawa ia mempunyai kelebihan sepertimana yang digambarkan, apatah lagi mengatakan amalan ini adalah sunnah Rasulullah saw, maka amalannya tertolak. Nabi bersabda:

مَنْ عَمِلَ عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ

Sesiapa melakukan sesuatu amalan yang tidak kami buat, maka ia tertolak

(HR Muslim: 1718)