PRAKTIKAL KAEDAH BERCERITA

Kebanyakan ayat di dalam al-Quran disampaikan kepada kita melalui bentuk penceritaan. Bentuk ini sangat dekat dengan kefahaman manusia kerana manusia suka suatu fakta berunsur cerita. Ia menjadikan mesej yang mahu disampaikan akan menjadi lebih mudah difahami.

Metodologi ini digunakan oleh Allah SWT bagi memberi kefahaman kepada umat manusia tentang kebesaran Allah dan kebenaran risalah agama ini sehingga umat akan terus teguh memegang panji-panji agama. Justeru itu, Allah berfirman:

120. dan tiap-tiap berita dari berita rasul-rasul itu, Kami ceritakan kepadamu (Wahai Muhammad), untuk menguatkan hatimu dengannya. dan telah datang kepadamu dalam berita ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang Yang beriman.

(Hud: 120)

Serta firman berikut:

3. Kami ceritakan kepadamu (Wahai Muhammad) seindah-indah kisah dengan jalan Kami wahyukan kepadamu Al-Quran ini, padahal sebenarnya engkau sebelum datangnya wahyu itu, adalah dari orang-orang yang tidak pernah menyedari akan halnya.

(Yusuf: 3)

Jelas daripada 2 ayat di atas bahawa kaedah bercerita digunakan oleh al-Quran dengan tujuan berikut:

(1) Menguatkan hati untuk teguh di atas agama Allah. Justeru itu, orang beriman akan lebih teguh keimanannya apabila dia membaca kisah-kisah yang diceritakan al-Quran.

(2) Peringatan dan makluman kepada orang beriman bahawa jalan yang mereka lalui ialah jalan yang benar sepertimana yang telah dilalui oleh orang sebelum mereka.

Justeru itu, apabila umat Islam membaca al-Quran dan membaca pula kisah yang direkodkan Allah di dalamnya, maka umat hendaklah mengambil pelajaran bagi menghadapi kehidupan mereka.

ASAL-USUL BANGSA ARAB

Para ahli sejarah membahagikan bangsa Arab menjadi tiga kaum berdasarkan garis nasab keturunan mereka. Tiga kaum itu ialah:

1. Arab al-Baidah. Mereka merupakan rumpun Arab Kuno yang sejarah mereka tidak mampu dijelaskan secara terperinci. Termasuk dalam rumpun ini adalah bangsa Ad, Samud, Tasam, Judais, `Imlaq, Umaim, Jurhum, Hadhur, Wabar, `Abil, Jasim, dan lain-lain.

2. Arab al-`Aribah. Mereka adalah anak keturunan Yasyjub bin Ya`rub bin Qahtan.  Mereka dinamakan juga dengan sebutan Arab al-Qahthaniyah. Rumpun Arab ini masih lagi boleh dikaji. Ia adalah Arab yang menjadi salasilah Arab Yaman. Bangsa mereka yang terkenal ialah Saba’ dan Hadramaut.[2]

3. Arab a-Musta’ribah, iaitu kaum Arab yang merupakan anak keturunan Nabi Ismail. Mereka juga dinamakan dengan sebutan Arab Adnaniyah. Mereka ini adalah Arab yang diarabkan. Nabi Ismail diajar oleh orang Arab Jurhum berbahasa Arab. Kemudian Bahasa Arab Nabi Ismail dielokkan dengan panduan wahyu.

Nenek moyang suku bangsa Arab Al-Musta’ribah, iaitu Nabi Ibrahim berasal dari Negeri Iraq. Tepatnya, dari sebuah wilayah yang disebut orang dengan nama Ur, yang terletak di tepi barat sungai Furat, berdekatan dengan Kufah dalam tamadun Mesopotamia. Pelbagai usaha penggalian dan penelitian telah dilakukan untuk menghimpunkan maklumat yang banyak dan terperinci tentang wilayah Ur tersebut, tentang keluarga Ibrahim dan juga tentang keadaan keagamaan dan kemasyarakatan yang berlangsung di negeri tersebut pada masa itu.

PENENTANGAN MAJORITI TERHADAP NABI

Di Ur, Dakwah Nabi Ibrahim tidak mendapat tempat. Tidak ada yang Islam di tempat itu melainkan Ibrahim, isterinya Sarah dan anak saudaranya Lut yang kemudiannya diangkat sebagai rasul. Lalu Nabi Ibrahim bersama isteri dan anak saudaranya berhijrah meninggalkan Ur ke suatu tempat bernama Haran (حاران) atau Harran (حَرَّان), kemudian ke bumi Syam. Syeikh Abu Bakar Jabair al-Jazairi menyatakan bahawa inilah hijrah yang pertama dilakukan diatas muka bumi.[3] Dari sana baginda berhijrah ke Palestin. Lantas, baginda menjadikan Palestin sebagai pangkalan dakwahnya.


Peta perjalanan Nabi Ibrahim di atas menunjukkan baginda berhijrah dari Ur, dibakar di Kusa. Kemudian baginda ke Harran, ke Halb (Syam), ke Kan` ān (Palestin) dan ke Mesir. Kemudian kembali ke Kan`an. Kemudian berulang alik ke Mekah menziarahi keluarganya di sana.

Allah merekodkan kisah penentangan kaum Ibrahim di dalam ayat 51 sehingga 72 Surah al-Anbiya’. Bacalah supaya kita dapat mengambil pelajaran daripadanya!

NABI ULUL AZMI

Apabila menyebutkan tentang Ibrahim, pastinya akan disebut bahawa beliau adalah salah seorang daripada 5 orang Nabi Ulul Azmi. Allah menjelaskan tentang Ulul Azmi.

35. (jika demikian akibat orang-orang kafir yang menentangmu Wahai Muhammad) maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya Rasul-rasul "Ulil-Azmi" daripada kalangan rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu); dan janganlah engkau meminta disegerakan azab untuk mereka (yang menentangmu itu).

(Al-Ahqaf: 35)

Berdasarkan penelitian Dr. Ahmad Al-Bara’ al-Amiry[4], tidak ada  sumber kukuh dan jelas daripada dalil-dalil agama yang mengkhususkannya. Ia hanyalah ijtihad para ulama dan mufassir sahaja. Dalam kenyataannya[5], beliau membawakan pendapat jumhur ulama tafsir yang berpandangan bahawa semua rasul adalah Ulul Azmi berdasarkan ayat di atas. Sekiranya ada pengkhususan, maka nescaya akan disebutkan pengkhususan berkenaan. Sedangkan, ia tidak disebutkan. WallahuA`lam.

Ulul Azmi bermaksud: Orang yang sentiasa teguh dalam agama Allah sekalipun ditimpakan ujan yang berat. Semua Nabi menimpa ujian yang berat di dalam dakwah mereka. Demikian juga Nabi Ibrahim yang ditimpa ujian yang berat sehingga diancam untuk direjam oleh bapa kandungnya sendiri, dibakar oleh kaumnya, serta diperintahkan Allah untuk menyembelih anaknya sendiri.

MENGAHWINI HAJAR

Selepas tiba di Kan`ān, Nabi Ibrahim pergi ke Mesir. Di sana dia menemui seorang raja yang zalim. Ketika itu, Nabi Ibrahim bermusafir dengan Sarah, isterinya. Beliau ialah wanita yang sangat baik, cantik dan solehah. Namun apabila pemimpin zalin itu mengetahui kehadiran Sarah, dia mahu merampas Sarah. Kisah berkenaan direkodkan oleh al-Bukhari daripada riwayat Abu Hurairah berikut:

Nabi Muhammad SAW bersabda: Nabi Ibrahim AS berhijrah bersama isterinya Sarah lalu memasuki satu kampung yang dipimpin oleh seorang raja atau seorang yang kejam diantara para penguasa kejam. Ada yang berkata; Nabi Ibrahim datang dengan seorang wanita yang sangat cantik. Lalu Nabi Ibrahim dipanggil kemudian ditanya: Wahai Ibrahim, siapakah wanita yang bersamamu itu? Nabi Ibrahim berkata: Dia ialah saudara perempuanku.

Lalu Nabi Ibrahim kembali kepada Sarah dan berkata: "Janganlah kamu mendustakan perkataanku karena aku telah memberitahu mereka bahawa kamu adalah saudaraku. Demi Allah sesungguhnya tidak ada orang beriman di tempat ini melainkan aku dan kamu.

Kemudian Sarah dibawa menghadap raja lalu dia berdiri di hadapan sarah. Sarah bangun berwudhu' lalu solat kemudian berdoa:

اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتُ آمَنْتُ بِكَ وَبِرَسُولِكَ، وَأَحْصَنْتُ فَرْجِي، إِلَّا عَلَى زَوْجِي فَلاَ تُسَلِّطْ عَلَيَّ الكَافِرَ،

Ya Allah, sesungguhnya Engkau mengetahui bahwa aku beriman kepadaMu dan kepada RasulMu dan aku memelihara kemaluanku kecuali untuk suamiku maka janganlah Engkau satukan aku dengan orang kafir ini.

Maka tiba-tiba raja itu terduduk sehingga kakinya terlipat.

(HR al-Bukhari: 2217)

Selepas itu, Ibrahim bersama Sarah dan Hajar pulang ke Palestin.

ISMAIL DILAHIRKAN

Kita telah mengetahui penolakan kaum dan keluarga Ibrahim terhadap dakwah baginda. Apabila Ibrahim keluar daripada dibakar api, beliau menyebutkan:

99. dan Nabi Ibrahim pula berkata: "Aku hendak (meninggalkan kamu) pergi kepada Tuhanku, ia akan memimpinku (ke jalan yang benar). 100. " Wahai Tuhanku! kurniakanlah kepadaKu anak Yang terhitung dari orang-orang Yang soleh!"

(Al-Soffat: 99-100)

Kekecewaan Ibrahim terhadap bapa dan kaumnya tidak menyebabkan beliau kecewa dan putus asa daripada sudut hubungan kekeluargaan. Bahkan dia terus berdoa kepada Allah supaya dikurniakan dengan nikmat anak yang soleh. Anak yang mengikuti dakwah dan taat beragama. Tidak seperti bapa dan kaumnya. Ibrahim merasai keperluan untuk memiliki zuriat sendiri.

Para ahli tafsir menyatakan Hajar telah melahirkan Ismail ketika umur Ibrahim 86 tahun. 13 tahun kemudian barulah dilahirkan Nabi Ishaq daripada rahim Sarah[6].

Seperti wanita-wanita  yang lain, Sarah merasa cemburu dengan kelahiran Ismail sekalipun dialah yang menghadiahkan Hajar kepada Ibrahim. Lalu dia meminta daripada suaminya supaya dia tidak lagi melihat Hajar dan anaknya. Lalu berlakulah perjalanan Ibrahim, Hajar dan Ismail yang direkodkan oleh al-Bukhari:

"Wanita pertama yang menggunakan ikat pinggang adalah ibu Nabi Isma'il. Dia menggunakannya untuk menghilangkan jejak daripada Sarah kemudian Ibrahim membawanya berserta anaknya Ismail yang ketika itu ibunya masih menyusuinya hingga Ibrahim menempatkan kedua-duanya dekat Baitullah (Ka'bah) pada sebuah pkok besar di atas zamzam di hujung al-masjidil Haram. Waktu itu di Makkah tidak ada seorangpun yang tinggal di sana dan tidak ada pula air.

Ibrahim menempatkan kedua-duanya di sana dan meninggalkan karung berisi kurma dan kantung berisi air. Kemudian Ibrahim pergi untuk meninggalkan keduanya. Maka Ibu Isma'il mengikutinya seraya berkata; "Wahai Ibrahim, kamu mahu pergi ke mana? Apakah kamu sanggup meninggalkan kami di lembah yang tidak ada seorang manusia dan tidak ada sesuatu apapun ini". Ibu Isma'il terus mengulang-ulang pertanyaannya berkali-kali sehingga akhirnya Ibrahim tidak menoleh lagi kepadanya. Akhirnya ibu Isma'il bertanya; "Apakah Allah yang memerintahkan kamu atas semua ini?". Ibrahim menjawab: "Ya". Ibu Isma'il berkata; "Kalau begitu, Allah tidak akan membiarkan kami".

Kemudian ibu Isma'il kembali dan Ibrahim melanjutkan perjalanannya hingga ketika sampai pada sebuah bukit dan orang-orang tidak melihatnya lagi, Ibrahim menghadap ke arah Ka'bah lalu berdo'a untuk mereka dengan beberapa kalimat do'a dengan mengangkat kedua-dua belah tangannya, katanya:

37. "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah yang tidak ada tanaman, di sisi rumah-Mu yang mulia. Wahai Tuhan kami, (Mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.

(Ibrahim: 37)

Kemudian ibu Isma'il mulai menyusui anaknya dan minum air bekalan sehingga ketika air yang ada pada bekas habis dia menjadi haus begitu juga anaknya. Lalu dia memandang kepada Isma'il si bayi yang sedang meronta-ronta", atau dia berkata dengan redaksi: "Berguling-guling di atas tanah". Kemudian Hajar pergi meninggalkan Isma'il dan tidak kuat melihat keadaannya. Maka dia pergi ke bukit Safā iaitu bukit yang paling dekat dengannya. Dia berdiri di sana lalu menghadap ke arah lembah dengan harapan dapat melihat orang di sana namun dia tidak melihat seorang pun. Dia turun dari bukit Safā dan ketika sampai di lembah dia menyingsingkan ujung pakaiannya lalu berusaha keras layaknya seorang manusia yang berjuang keras hingga ketika dia dapat melewati lembah dan sampai di bukit Marwah lalu berdiri di sana sambil melihat-lihat apakah ada orang di sana namun dia tidak melihat ada seorang pun. Dia melakukan hal itu sebanyak tujuh kali (antara bukit Safā dan Marwah).

Ibnu 'Abbas radliallahu 'anhu berkata; Nabi SAW bersabda: "Itulah sa'ie yang mesti dilakukan oleh manusia (yang berhaji) antara kedua-dua bukit itu".

Ketika berada di puncak Marwah, dia mendengar ada suara, lalu dia berkata dalam hatinya "diamlah" yang Hajar maksud adalah dirinya sendiri. Kemudian dia berusaha mendengarnya maka dia dapat mendengar suara itu lagi maka dia berkata; "Engkau perdengarkan suaramu jika engkau bermaksud meminta pertolongan". Ternyata suara itu adalah suara malaikat yang berada di dekat zamzam, lantas Jibril mengais air dengan tumitnya" atau katanya; dengan sayapnya hingga air keluar memancar. Ibu Isma'il mulai membuat tampungan air dengan tangannya seperti ini iaitu mencedok air dan memasukkannya ke bekas sedangkan air terus saja memancar dengan deras setelah dicedok".

Ibnu 'Abbas berkata; Nabi SAW bersabda: "Semoga Allah merahmati Ummu Isma'il (Siti Hajar) karena kalau dia membiarkan zamzam" atau sabda Beliau: " kalau dia tidak segera menampung air tentulah air zamzam itu akan menjadi air yang mengalir".

Akhirnya dia dapat minum air dan menyusu anaknya kembali. Kemudian malaikat berkata kepadanya: "Janganlah kalian takut dibiarkan kerana di sini adalah rumah Allah, yang akan dibangun oleh anak ini dan ayahnya dan sesungguhnya Allah tidak akan menyia-nyiakan hamba-Nya".
(HR al-Bukhari: 3365)

Demikianlah kisah penghijrahan Hajar dan anaknya Ismail ke negeri penuh sejarah, iaitu Mekah al-Mukarramah.

PERTEMUAN IBRAHIM DAN KELUARGANNYA DI MEKAH

Secara berkala, Nabi Ibrahim beberapa kali menempuh perjalanan ke Mekah untuk menjenguk Hajar dan Ismail. Tidak diketahui secara pasti berapa kali perjalanan itu dilakukan. Pelbagai rujukan sejarah yang sahih telah merakamkan empat tujuan perjalanan yang muktamad.

1- Pelaksanaan perintah sembelih terhadap Ismail
2- Selepas perkahwinan pertama Ismail[7]
3- Selepas perkahwinan kedua Ismail
4- Ketika membangunkan Kaabah.

Namun, saya hanya  mahu menfokuskan pada peristiwa pertama iaitu; Pelaksanaan perintah sembelih terhadap Ismail.

KISAH PERINTAH SEMBELIH ISMAIL

Allah menceritakan kisah ini di dalam al-Quran:
  
99. dan Nabi Ibrahim pula berkata: "Aku hendak (meninggalkan kamu) pergi kepada Tuhanku, ia akan memimpinku (ke jalan yang benar).
100. "Wahai Tuhanku! kurniakanlah kepadaku anak yang tergolong daripada kangan orang-orang yang soleh!"
101. lalu Kami berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyabar.
102. maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah, ayah akan mendapati daku daripada kalangan orang-orang yang sabar".
103. setelah kedua-duanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya Dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim - Dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah kami),
104. serta Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim!
105. "Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi Yang engkau lihat itu". Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.
106. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian Yang nyata;
107. dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;
108. dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian:
109. "Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!".
110. Demikianlah Kami membalas orang-orang Yang berusaha mengerjakan kebaikan.

(Al-Soffat: 99-110)

Ringkasan Peristiwa:

Apabila Ismail telah sampai umur awal remaja (awal dewasa), Nabi Ibrahim mendapat perintah untuk menyembelih anaknya melalui mimpi. Kita mengetahui bahawa mimpi para Nabi adalah wahyu, manakala  mimpi orang lain bukan wahyu.  Justeru itu, wahyu hendaklah dilaksanakan.

Lihatlah betapa ujian demi ujian Allah berikan kepada Nabi Ibrahim. Setelah baginda diperintahkan untuk meninggalkan anaknya di negeri yang kering kontang, tiada manusia mahupun tanaman. Dia melaksanakan perintah Allah tanpa ragu-ragu dan meninggalkan emosi dan kepentingan dirinya di belakang. Dia percaya kepada Allah dan bertawakal kepada-Nya. Ini contoh orang yang beriman. Firman Allah:
  
2. Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatnya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.

(Al-Anfaal: 2)

Kini Nabi Ibrahim diuji lagi dengan perintah menyembelih anaknya yang dia kasihi. Satu-satu anaknya. Bahkan ditunggu-tunggu kelahiran itu sekian lama. Anak yang diharapkan dapat membela agamanya. Namun Ibrahim mendahulukan Allah berbanding sagala-galanya. Dia segera menemui Ismail di Mekah lalu memaklumkan:
  
102. ..."Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu". ...

(Al-Soffat: 102)

Persoalan yang disampaikan oleh Ibrahim itu bukan bertujuan untuk bertanya pendapat Ismail tentang wahyu itu. Tetapi Ibrahim mahu melihat apakah reaksi Ismail, adakah Ismail akan bersabar sepertinya? Atau dia akan membangkang seperti datuknya?

Syed Qutb berkata: “Ibrahim tidak bertanya Ismail untuk dipilih sama ada mahu dilaksanakan perintah itu atau tidak. Tetapi dia mahu menyatakan perintah. Anaknya hendaklah tahu dan melaksanakan perintah dengan penuh taat dan terima, bukan benci dan terpaksa. Supaya dia mendapat pahala ketaatan yang lain serta merasai kemanisan terima/berserah diri.”[8]

Ismail menjawab:
  
"Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah, ayah akan mendapati daku daripada kalangan orang-orang yang sabar".

(Al-Soffat: 102)

 Jawapan yang diberikan Ismail ialah jawapan yang menunjukkan ketaatan kepada Allah dan juga kepada bapanya. Iman seperti inilah yang mahu Allah tunjukkan kepada Ibrahim. Ismail menjawab tanpa takut dan ragu-ragu. Jika dahulu ketika mendakwah keluarganya, bapa Ibrahim si Azar berkata:
  
46. (Bapanya) berkata: "Patutkah engkau bencikan tuhan-tuhanku, Wahai Ibrahim? Demi sesungguhnya jika engkau tidak berhenti daripada menyeru dan menasihati daku sudah tentu aku akan merejammu dengan batu; dan berambus engkau daripada pandanganku!".

(Maryam: 46)

Lihat bagaimana layanan si kafir musyrik Azar kepada Nabi Ibrahim. Sedangkan Ibrahim ialah anak kandungnya. Ibrahim telah berpesan kepada ibubapanya dengan penuh adab dan kasih sayang. Dia berkata:

42. ketika ia berkata kepada bapanya:" Wahai ayahku, mengapa ayah menyembah benda yang tidak mendengar dan tidak melihat serta tidak dapat menolongmu sedikitpun?
43. " Wahai ayahku, Sesungguhnya telah datang kepadaku dari ilmu pengetahuan yang tidak pernah datang kepadamu oleh itu Ikutlah daku; aku akan memimpinmu ke jalan yang betul.
44. " Wahai ayahku, janganlah ayah menyembah syaitan, sesungguhnya syaitan itu adalah menderhaka kepada Allah yang melimpah-limpah rahmatNya.
45. " Wahai ayahku, sesungguhnya aku bimbang bahawa ayah akan kena azab daripada (Allah) Ar-Rahman disebabkan ayah menyembah yang lainnya; maka dengan sebab itu akan menjadilah ayah rakan bagi syaitan di dalam neraka".

(Maryam: 42-45)

Kemudian Allah menggantikan kekecewaan Ibrahim dengan kesetiaan Ismail. Ismail berbeza dengan Azar. Ismail akan menuruti apa sahaja yang dinyatakan oleh Ibrahim kerana dia tahu bahawa Ibrahim ialah Nabi dan juga bapanya. Ismail perlu mentaatinya.  

Apabila Ismail disembelih, Al-Sadi berkata bahawa pisau yang menyembelih itu tidak memberi apa-apa kesan. Kemudian Allah berfirman: Wahai Ibrahim sesungguhnya engkau telah melaksanakan perintah yang engkau dapat daripada mimpi itu. Kemudian Ibrahim digantikan dengan Kibasy yang besar.

Kemudian, Allah  mengakhirkan cerita besar ini dengan menyatakan:

108. dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian:
109. "Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!".
110. Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.
(Al-Soffat: 108-110)

Setelah kesabaran yang ditunjukkan oleh Ibrahim terhadap semua ujian yang diberikan oleh Allah, Allah memberi pengiktirafan yang akan dikenang oleh seluruh umat manusia. Sehingga hari ini kita masih mengucapkan salam kepada Nabi Ibrahim di dalam setiap solat kita sekalipun beliau bukanlah nabi yang memimpin umat ini.

Allah menyatakan bahawa apabila Allah memberikan ujian, maka Allah akan membalas dengan sebaik-baik balasan. Kita telah melihat bagaimana keadaan adab yang tinggi ditunjukkan oleh Ibrahim terhadap bapanya yang kafir, seorang bapa yang akan menentang semua ajaran yang dibawa Ibrahim. Akhirnya, Allah mengurniakan Ibrahim dengan anak yang sentiasa mentaatinya. Maha suci Allah!

PENGAJARAN:

(1) Kemuliaan akan dibalas dengan kemuliaan juga. Tetapi bentuknya ditentukan Allah.
(2) Seorang anak bertanggungjawab untuk mentaati ibubapanya selagimana mereka memerintahkan kebaikan.
(3) Hubungan kekeluargaan tidak terputus dengan kekafiran seseorang.
(4) Seorang hamba hendaklah melaksanakan perintah tuhannya tanpa gentar dan ragu-ragu.
(5) Pengorbanan yang sebenar ialah mengorbankan jiwa raga hanya untuk membela agama Allah.

RUJUKAN:

1) Qasas al-Anbiya’ wa Akhbar al-Madiyin, oleh Muhammad bin Ahmad Kan`an. Muassasah al-Maarif, Beirut, Lubnan. 2004.
2) Fiqh Dakwah al-Anbiya’, oleh Dr. Ahmad al-Bara’ al-Amiry, Dar Salam, Kaherah. 2012
3) Aisar al-Tafasir oleh Abu Bakar Jabir al-Jazairi, Maktabah al-Taufiqiyyah, Kaherah. 2010.

________________________________

[1] Ustaz Syihabudin Ahmad merupakan graduan Universiti al-Azhar di dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pengajian islam dan Bahasa Arab (Syariah Islamiyah). Beliau banyak menulis buku dan kajian ilmiah yang dikumpulkan dan diterbitkan. Beliau aktif menulis di laman web: www.ustazusa.com.
[2] Qasas al-Anbiya’ wa Akhbar al-Madhin, oleh Muhammad bin Ahmad Kan`an. Muassasah Ma`arif, Beirut. Lubnan. 2004.
[3] Aisar al-Tafasir Mukasurat: 89, jilid 3.
[4] Rujuk: Fiqh Dakwah al-Anbiya’, oleh Dr. Ahmad al-Bara’ al-Amiry, Dar Salam, Kaherah. 2012.
[5] Muka surat 24
[6] Rujuk Tafsir al-Qurān al-`Aẓim oleh Ibn Kasir, cetakkan Dār al-Ṭayyibah tahun 1999. Jilid 7, muka surat: 27. Tafsir ayat 100 surah al-Ṣoffāt.
[7] Sila rujuk sambungan hadis riwayat al-Bukhari: 3365
[8] Rujuk Fi Zilal al-Quran oleh Syed Qutb.