Imam al-Baihaqi menyatakan: Ayat-ayat al-Quran yang menyebutkan tentang kebangkitan setelah mati banyak sekali. Antaranya ialah firman Allah:
{زَعَمَ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنْ لَنْ يُبْعَثُوا}
Orang-orang kafir berpegang bahawa mereka tidak sekali-kali akan di bangkitkan (Sesudah mati)…
(Al-Taghābun: 7)
Firman Allah:
{قُلِ اللهُ يُحْيِيكُمْ ثُمَّ يُمِيتُكُمْ}
26. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Allah yang menghidupkan kamu, kemudian ia akan mematikan kamu…
(Al-Jāsiyah: 26)
Firman Allah:
{أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا، وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ}
115. "Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu dengan sia-sia? dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada kami?"
(Al-Mukminun: 115)
Daripada Maṭarin al-Warrāq, daripada Abdullah bin Buraidah, daripada Yahyā bin Ya`mar, daripada Ibn Umar, daripada Umar bin al-Khaṭṭāb, daripada Nabi SAW di dalam hadis al-Imān. Perawi berkata: Lantas dia bertanya: Wahai Rasulullah, apakah iman itu? Baginda menjawab:
أَنْ تُؤْمِنَ بِاللهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ، وَبِالْبَعْثِ مِنْ بَعْدِ الْمَوْتِ، وَبِالْقَدَرِ كُلِّهِ
Kamu beriman dengan Allah, para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para rasul-Nya, kebangkitan setelah kematian serta al-Qadr keseluruhannya.
256. Diberitakan kepada kami oleh Abu Bakar Ahmad bin Muhammad al-Usynāni, diberitakan kepada kami oleh Abu al-Hasan Ahmad bin Muhammad Abdūs, diceritakan kepada kami oleh Usmān bin Sa`id al-Dārimī, diceritakan kepada kami oleh Sulaimān bin Harb, diceritakan kepada kami oleh Hammāb bin Zaid, daripada Maṭarin lalu disebutkan hadis di atas.
Ia juga direkodkan di dlaam kitab Muslim.
Beriman dengan kebangkitan ialah keimanan bahawa Allah akan memulihkan kerosakan daripada tubuh badan orang mati, kemudian mengumpulkan bahagian-bahagian tubuh yang terpisah-pisah sekalipun di lautan, mulut binatang buas atau selainnya sehingga ia menjadi sepertimana kejadiannya yang asal.
Setelah itu dikumpulkan semua makhluk dalam keadaan hidup. Manusia semua bangkit dengan perintah Allah dalam keadaan hidup, sama ada mereka kecil atau besar sehingga dibangkitkan juga anak yang digugurkan tetapi telah sempurna kejadiannya serta telah ditiupkan roh. Manakala anak yang belum sempurna kejadian atau belum ditiupkan roh maka ia seumpama barang-barang mati lain, wallahuA`lam.
Adapun kata-kata Allah dalam menyifatkan al-Qiyāmah:
{إِنَّ زَلْزَلَةَ السَّاعَةِ شَيْءٌ عَظِيمٌ يَوْمَ تَرَوْنَهَا تَذْهَلُ كُلُّ مُرْضِعَةٍ عَمَّا أَرْضَعَتْ، وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا}
1. Wahai umat manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar.
2. pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan Yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya; ..
(Al-Hajj: 1-2)
Ayat di atas menghendaki maksud; setiap wanita yang mengandung tetapi tidak tergugur anaknya ketika berlaku kiamat kerana goncangannya, maka dia akan menggugurkannya setelah dibangkitkan. Jika anak kandungan itu hidup di dunia, dia tergugur ketika hari kiamat dalam keadaan hidup, maka dia tidak mengulang kematian. Sekiranya anak itu belum ditiupkan roh di dunia, maka dia akan tergugur dalam keadaan mati sepertimana sepatutnya. Kerana kehidupan yang dimaksudkan ialah mengulang kehidupan kepada sesiapa yang telah pernah hidup kemudian mati. Apabila seseorang tidak mendapat habuan dunia, maka tiada habuan baginya di akhirat.
Allah telah menyebutkan di dalam banyak ayat dalam menyatakan ketetapan berlakunya hari kebangkitan. Antaranya firman Allah:
{أَوَلَيْسَ الَّذِي خَلَقَ السَّماَوَاتِ وَالْأَرْضَ بِقَادِرٍ عَلَى أَنْ يَخْلُقَ مِثْلَهُمْ}
81. tidakkah diakui dan tidakkah dipercayai bahawa Tuhan yang telah menciptakan langit dan bumi (yang demikian besarnya) - berkuasa menciptakan semula manusia sebagaimana ia menciptakan mereka dahulu?
(Yāsin: 81)
Demikian juga firman Allah:
{أَوْلَمْ يَرَوْا أَنَّ الله الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ والْأَرْضَ وَلَمْ يَعِيَ بِخَلْقِهِنَّ بِقَادِرٍ عَلَى أَنْ يُحْيِيَ الْمَوْتَى بَلَى إِنَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ}
33. Masihkah mereka ingkar dan tidak mahu memikir serta mengetahui Bahawa Sesungguhnya Allah Yang telah menciptakan langit dan bumi Dengan tidak mengalami kesukaran Dalam menciptakannya - berkuasa menghidupkan makhluk-makhluk Yang telah mati? sudah tentu berkuasa! Sesungguhnya ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
(Al-Ahqāf: 33)
Ia menunjukkan kemampuan Allah menghidupkan benda mati sepertimana ia mampu menciptakan langit dan bumi yang lebih besar bentuknya daripada manusia.
Firman Allah:
{قَالَ مَنْ يُحْيِي الْعِظَامَ وَهِيَ رَمِيمٌ، قُلْ يُحْيِيهَا الَّذِي أَنْشَأَهَا أَوَّلَ مَرَّةٍ وَهُوَ بِكُلِّ خَلْقٍ عَلِيمٌ}
78. serta ia mengemukakan satu misal Perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan ia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil ia bertanya: "Siapakah Yang dapat menghidupkan tulang-tulang Yang telah hancur seperti debu?"
(Yasin: 78)
Allah telah menjadikan kebangkitan pertama sebagai dalil bolehnya kebangkitan kedua kerana ia adalah satu maksud. Firman Allah:
{الَّذِي جَعَلَ لَكُمْ مِنَ الشَّجَرِ الْأَخْضَرِ نَارًا، فَإِذَا أَنْتُمْ مِنْهُ تُوقِدُونَ}
80. "Tuhan Yang telah menjadikan api (boleh didapati) dari pohon-pohon Yang hijau basah untuk kegunaan kamu, maka kamu pun selalu menyalakan api dari pohon-pohon itu".
(Yasin: 80)
Allah menjadikan lahirnya api daripada kepanasan serta kekeringan pokok yang hijau basah sebagai bukti bolehnya Dia menciptakan kehidupan daripada kulit yang hancur dan tulang yang pecah. Allah juga memperingatkan kita tentang pelbagai ayat di dalam al-Quran tentang dihudpkan bumi yang mati. Kemudian Allah menghidupkannya sehingga subur dan bercambah tumbuh-tumbuhan dan berbuah pula. Setelah itu ia mati lagi sehingga tidak lagi subur. Ia kekal seperti itu. Kemudian sekali lagi ia dihidupkan dan subur menumbuh dan bercambah. Allah adalah pelaku kepada hidup dan mati tanah tandus itu, kemudian Dia menghidupkannya. Apabila Allah mampu melakukan seperti itu, maka Dia tidak lemah untuk mematikan dan mengembalikan semula manusia.
0 Comments
Post a Comment