Mandi mempunyai dua cara, iaitu cara mandi yang wajib serta cara mandi yang sunat.
Cara Mandi yang Wajib
Ada dua perkara yang berkaitan dengannya yang disebutkan di dalam Fiqh sebagai farā’iḍ al-Ghasl.
Pertama: Berniat ketika mula membasuh badan. Ini bertepatan dengan hadis “Setiap amalan tergantung kepada niat”.
Cara berniat: Berkata di dalam jantung hatinya – sekiranya dia melafazkan dengan lidah maka itu lebih baik - : Aku berniat mandi wajib atau mandi janābah, atau aku mandi bagi membolehkan solat, atau membolehkan sebarang ibadat yang memerlukan mandi.
Kedua: Membasuh keseluruh anggota zahir dengan air. Kulit dan bulu-bulu. Sehingga air sampai ke pangkal bulu berkenaan.
Diriwayatkan oleh al-Bukhāry (253) daripada Jābir raḍiyallahuanhu. Jabir ditanya tentang cara Rasulullah mandi. Lalu Jabir berkata:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْخُذُ ثَلاَثَةَ أَكُفٍّ وَيُفِيضُهَا عَلَى رَأْسِهِ، ثُمَّ يُفِيضُ عَلَى سَائِرِ جَسَدِهِ
Nabi mengambil tiga cedok Kuf dan menjirusnya di atas kepalanya. Kemudian baginda menjirus pula ke seluruh tubuhnya.
[Akuff: iaitu mencedok dengan kedua-dua tangannya, sepertimana yang difahami daripada riwayat di sisi Muslim “Tiga Hafanāt”, hafanāt ialah: 2 tangan penuh. Yufīḍuhā: Mengenakannya. Sāir: Selebihnya]
Daripada riwayat Muslim (230) pula, daripada Ummu Salamah raḍiyaallahuanhā, beliau pernah bertanya Rasulullah SAW tentang cara mandi. Lantas baginda bersabda:
إِنَّمَا يَكْفِيكِ أَنْ تَحْثِي عَلَى رَأْسِكِ ثَلَاثَ حَثَيَاتٍ ثُمَّ تُفِيضِينَ عَلَيْكِ الْمَاءَ فَتَطْهُرِينَ
Memadailah engkau jiruskan di atas kepalamu sebanyak tiga kali cedok kemudian ratakan air itu. Dengan itu sucilah engkau.[1]
[Tahsy: Mengenakan/Menjirus, asal bagi perkataan itu ialah al-Haswu atau al-Hassī, menjirus tanah. Hasayāt: Cedokkan]
Diriwayatkan oleh Abu Dāud (249) dan lain-lain, daripada Ali raḍiyallahuanhu, katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
«مَنْ تَرَكَ مَوْضِعَ شَعَرَةٍ مِنْ جَسَدِهِ مِنْ جَنَابَةٍ لَمْ يَغْسِلْهَا، فُعِلَ بِهِ كَذَا وَكَذَا مِنَ النَّارِ» قَالَ: عَلِيٌّ، فَمِنْ ثَمَّ عَادَيْتُ شَعَرِي، وَكَانَ يَجُزُّهُ
Sesiapa yang meninggalkan pangkal rambut daripada terkena air ketika mandi janābah maka Allah akan melakukan begini-begini dengan api neraka. Ali berkata: Sejak itu aku memusuhi rambutku. Sejak itu, Ali raḍiyallahuanhu telah mencukur rambutnya.[2]
Cara Mandi yang Sunat
Cara ini disebut dalam ilmu Fiqh sebagai sunat-sunat mandi.
Pertama: Membasuh kedua-dua tangan di luar bekas air. Kemudian membasuh kemaluan serta segala kotoran dengan tangan kiri. Setelah itu mengesat tangan tersebut dengan sesuatu yang bersih.
Al-Bukhāry (254) dan Muslim (317) meriwayatkan daripada Ibn `Abbās raḍiyallahuanhu, katanya: Maimunah berkata:
وَضَعْتُ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَاءً لِلْغُسْلِ، فَغَسَلَ يَدَيْهِ مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلاَثًا، ثُمَّ أَفْرَغَ عَلَى شِمَالِهِ، فَغَسَلَ مَذَاكِيرَهُ، ثُمَّ مَسَحَ يَدَهُ بِالأَرْضِ
Aku meletakkan air untuk Nabi SAW mandi. Lalu baginda membasuh tangannya sebanyak dua atau tiga kali. Kemudian dia membasuh kemaluannya menggunakan tangan kiri. Setelah itu baginda menyapu tangannya pada tanah.
Kedua: Berwuduk secara sempurna. Tidak mengapa jika mengakhirkan basuhan kaki setelah selesai mandi.
Ketiga: menyelati rambut dengan air. Setelah itu membasuh kepala sebanyak tiga kali.
Keempat: Menjirus bahagian badan sebelah kanan terlebih dahulu, kemudian barulah bahagian kiri.
Dalil bagi sunah-sunah ini adalah sepertimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhāry (245) dan Muslim (316) daripada Aisyah raḍiyallahuanhā;
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا اغْتَسَلَ مِنَ الْجَنَابَةِ بَدَأَ فَغَسَلَ يَدَيْهِ
Apabila Rasulullah SAW mandi janābah, baginda akan memulakan dengan membasuh kedua-dua tangannya.
Di dalam riwayat di sisi Muslim disebutkan:
ثُمَّ يُفْرِغُ بِيَمِينِهِ عَلَى شِمَالِهِ فَيَغْسِلُ فَرْجَهُ
Kemudian dengan tangan kanan baginda menjirus tangan kirinya lalu baginda membasuh kemaluannya.
Di dalam riwayat al-Bukhāry (246) daripada Maimunah raḍiyallahuanhā: Setelah membasuh kemaluan dan segala kotoran,
ثُمَّ يَتَوَضَّأُ كَمَا يَتَوَضَّأُ لِلصَّلاَةِ، ثُمَّ يُدْخِلُ أَصَابِعَهُ فِي المَاءِ، فَيُخَلِّلُ بِهَا أُصُولَ شَعَرِهِ، ثُمَّ يَصُبُّ عَلَى رَأْسِهِ ثَلاَثَ غُرَفٍ بِيَدَيْهِ، ثُمَّ يُفِيضُ المَاءَ عَلَى جِلْدِهِ كُلِّهِ
Kemudian baginda berwuduk sepertimana wuduk untuk mendirikan solat. Kemudian memasukkan jari-jarinya di dalam air, lalu dicelah-celahi pangkal rambutnya. Setelah itu dijirus di atas kepala sebanyak tiga cedok dengan tangannya. Kemudian meratakan air pada keseluruhan kulit.
Dalil digalakkan (Istihbāb) memulakan bahagian kanan adalah riwayat al-Bukhāry (166) dan Muslim (268) daripada Aisyah raḍiyallahuanhā, katanya:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ «يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ، فِي تَنَعُّلِهِ، وَتَرَجُّلِهِ، وَطُهُورِهِ، وَفِي شَأْنِهِ كُلِّهِ»
Nabi SAW suka memulakan perbuatannya dengan yang kanan ketika memakai kasut, menyisir rambut, bersuci, dan apa-apa sahaja yang dilakukan.
[Tarajjulihi: Menyisir rambut. Ṭuhūrihi: Wuduk dan mandi wajib]
Kelima: Menggosok badan dan berturut-turut antara basuhan anggota mandi, sebagai keluar daripada khilaf orang yang mewajibkannya iaitu al-Mālikiyyah.
Keenam: Menyempurnakan basuhan kepada bahagian lipatan dengan cara mengambil air dan membasuh tempat yang terlipat atau bergumpal seperti kedua-dua telinga, lipatan kulit perut, dalam lubang pusat dan ketiak. Sekiranya di dalam sangkaannya yang tinggi (Ghalaba ala ẓannihi) bahawa air tidak sampai melainkan dengan melakukannya, maka wajib baginya membasuhnya.
Ketujuh: Mengulang tiga-tiga kali sebagai qiyās kepada wuduk.
Perkara Makruh Ketika Mandi
Pertama: menggunakan air secara berlebihan sepertimana ia menjadi makruh di dalam wuduk kerana menyelisihi dengan perbuatan Nabi SAW.
Diriwayatkan oleh al-Bukhāry (198) dan Muslim (320) daripada Anas raḍiyallahuanhu, katanya:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَغْتَسِلُ، بِالصَّاعِ إِلَى خَمْسَةِ أَمْدَادٍ، وَيَتَوَضَّأُ بِالْمُدِّ
Nabi SAW mandi dengan satu Ṣā` sehingga (maksima) 5 mud. Manakala baginda berwuduk dengan satu mud.[3]
Diriwayatkan oleh al-Bukāry (249) dan Muslim (327) daripada Jābir raḍiyallahuanhu. Beliau pernah ditanya tentang mandi. Lalu beliau menjawab:
«يَكْفِيكَ صَاعٌ»، فَقَالَ رَجُلٌ: مَا يَكْفِينِي، فَقَالَ جَابِرٌ: «كَانَ يَكْفِي مَنْ هُوَ أَوْفَى مِنْكَ شَعَرًا، وَخَيْرٌ مِنْكَ»
Memadailah dengan 1 Ṣā`. Lalu lelaki yang bertanya menyatakan: Ia tidak cukup untukku. Lalu Jabir berkata: Ia telah pun mencukupi bagi orang yang lebih banyak rambutnya dan lebih baik daripadamu.
[Aufā: Lebih banyak, maksudnya ialah Nabi SAW. Al-Sā`: 4 mud. Al-Mud: menyamai cube sepanjang hujungnya 9.2 cm]
Kedua: Mandi pada air yang tidak mengalir.
Sepertimana yang diriwayatkan oleh Muslim (283) dan lain-lain, daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda:
لَا يَغْتَسِلْ أَحَدُكُمْ فِي الْمَاءِ الدَّائِمِ وَهُوَ جُنُبٌ»
Jangan kamu mandi di dalam air yang bertakung sedangkan dalam berjunub.
Lalu orang ramai bertanya Abu Hurairah: Wahai Abu Hurairah, bagaimana yang sepatutnya dilakukan? Abu Hurairah menjawab: Gunakanlah ia sebaiknya.
Iaitu: ambil dengan tangan atau bekas kecil. Berniat mencedok jika air itu sedikit sehingga ia tidak menjadi musta`mal apabila bersentuh dengan badan. Atau mengambilnya sedikit daripada air yang di dalam bekas sebelum berniat mandi janabah. Kemudian berniat dan membasuh tangan kemudian ambil air dengan tangannya.
Hikmah daripada tegahan tersebut adalah kerana perasaan seseorang berasa jijik menggunakan air yang telah dibuat mandii dengan apa cara sekalipun. Perbuatan itu juga membazirkan air disebabkan ia tidak sesuai lagi dibuat bersuci sekiranya kurang daripada dua qullah. Kerana telah menjadi air mustakmal dengan perbuatan mandi tersebut. Orang ramai pada kebiasaannya memang sentiasa perlu menggunakan air tersebut. Disebabkan itu dilarang mandi di dalamnya.
_________________
[1] [Tambahan Penterjemah] Riwayat hadis ini juga menyatakan soalan Ummu Salamah: Wahai Rasulullah! Aku adalah wanita yang mempunyai dadanan rambut yang besar, adakah perlu aku rungkaikan?
[2] Syeikh Syuaib al-Arnāouṭ di dalam ulasan Sunan Abu Dāud dan Musnad Ahmad menyatakan bahawa hadis ini Dhoif kerana seorang perawi bernama `Aṭā’ bin al-Sā’ib. beliau merupakan seorang perawi yang dhoif, periwayatannya bercampur-campur pada akhir usianya.
[3] 1 mud bersamaan 1 takungan kedua-dua telapak tangan manusia normal. Makala 1 Ṣā` bersamaan 4 mud. Jika dalam bentuk liter maka menurut mazhab Syafi'i 1 sha' adalah 2.75 liter (Majalah an Nashihah vol. 11 tahun 1427 H, hal. 38), ertinya satu mud adalah 0.6875 liter atau 687.5 ml. Sebagai perbandingan, botol minum air mineral merek aqua yang berukuran sedang berisi 600 mililiter air.
0 Comments
Post a Comment