Sebulan sebelum
bertolak ke Mesir, saya menulis status ini di facebook (rujuk gambar). Ketika
itu, bahkan sehingga hari ini ramai yang tidak menyedari kewujudan status
berkenaan. Ia telah berlalu selama 7 tahun.
Sekalipun begitu,
sangat ramai orang terdekat memahami situasi dan keresahan saya, lantas mereka
bertindak membantu. Guru-guru, kenalan, masjid kampung, pejabat zakat negeri Perlis,
bahkan orang yang kenal saya daripada orang lain!
Ketika mula
bertolak ke Mesir, alhamdulillah saya ada bekalan hampir RM 10,000 hasil
sumbangan orang-orang berhati mulia tersebut. Wang tersebut habis dalam masa
kurang 5 bulan.
Saya habiskan
dengan membeli tiket kapal terbang (AlorStar-KL-Cairo = RM 2,500), Laptop LENOVO
(RM 1,500), urusan ketibaan di Kaherah (USD 300 = RM 900), pakaian musim sejuk
(RM 200), makan minum (5 bulanxRM 200 = RM 1000), urusan ketibaan di Dumyat
(USD 300= RM 900), bayaran sewa dan keperluan rumah (RM 300x5 = RM 1,500) dan
keperluan lain yang saya telah saya catatkan di dalam nota kecil.
Kemudian bantuan
terhenti begitu lama. Ketika itu saya hanya mengharapkan bantuan daripada mak dan ayah serta Ustaz Abdul Hadi Othman (Ahli Majlis Fatwa Perlis) yang akan memberi sumbangan pukal hasil kutipan
untuk pelajar-pelajar susah di Mesir. Kebiasaanya saya akan dapat RM 500.
Setiap bulan, mak
dan ayah akan hantar RM 200 untuk perbelanjaan keseluruhan. Ia bermula setelah
bulan keenam. Paling banyak diberi ialah RM 400. Sedangkan ketika itu belanja
standard ialah RM 500. Tetapi saya tahu benar, ia bukan suatu kerja yang mudah.
Mak dan ayah sentiasa bertukar kerja. Daripada menjual ubat-ubatan, kepada
membuat kuih, belacan, laksa dan lain-lain. Masih ada 4 orang anak mereka perlu
ditanggung.
Bahkan, mak saya
meninggal dunia pada jam 9.55 malam, 20 Julai 2011 mungkin kerana kepenatan
yang teramat di dalam mengusahakan belanjawan anak-anaknya.
Setiap kali saya
bercakap dengan ayah melalui perantaraan talian antarabangsa, ayah akan
bersembang panjang. Ayah sering kata: "Ayah tak ada apa pun nak bagi, ayah
boleh bagi hang belajaq saja.." Mak pula tidak akan bertanya suatu apa pun
melainkan, "Belajaq macam mana?"
Pada saya, hidup
ini penuh cabaran. Jika kita benar-benar mahu menuntut ilmu, ramai orang akan
datang membantu, dan yang paling setia ialah mak dan ayah kita.
Kita hendaklah
menjadi orang yang bersungguh-sungguh kerana masyarakat mempunyai harapan yang
tinggi kepada ilmuan. Mereka mahu dekat dengan agama dengan membantu kita. Oleh
itu, berbaktilah kepada masyarakat dengan belajar dan memberi.
Siapa yang bersedia
menjadi satria, maka dia akan bergembira di kemudian hari. Tetapi jika dia
setakat mahu menjadi manusia biasa yang hidup seperti orang biasa dan mati seperti
orang biasa, maka dia akan biasa-biasa sahaja. Hidup tidak diingat, mati tidak
dikenang.
Akhirnya, saya
berdoa sentiasa:
"Ya Allah,
rahmatilah orang yang membantu aku di dalam menuntut ilmu agama-Mu.
Bahagiakanlah mereka dan keluarga mereka di dunia dan akhirat."
_____________
Syihabudin Ahmad,
Sungai Buloh,
Selangor.
Ramadhan 1436H.