Pada
zaman Muawiyah bin Abi Sufyan, beliau begitu berminat pada penulisan sirah Nabi
Muhammad SAW. Lalu `Ubaid bin Syuraiyyah al-Jurahmi daripada Sanaa menulis
kitab Al-Muluk wa Akhbarul Madhiyyin untuk khalifah.
Setelah
itu, semakin ramai ulama yang mencuburi bidang berkenaan secara khusus.
Kebanyakkan mereka adalah daripada kalangan ulama hadis. Antara yang menulis
ialah Urwah bin az-Zubair bin al-Awwam (92H)[1][2] seorang tokoh
Tabiin yang faqih lagi ahli hadis. Beliau menulis dengan rujukan daripada
bapanya az-Zubair dan ibunya Asma’ binti Abu Bakar. Beliau menyebutkan pelbagai
riwayat al-Akhbar dan Hadis yang disandar kepada Nabi SAW.
Ibnu
Ishaq, Al-Waqidi, dan at-Tabari adalah orang yang sangat banyak merujuk
penulisan Urwah. Aban
bin Usman bin Affan al-Madani (105H)[3][4][5] pula telah
menulis lembaran-lembaran yang menceritakan kehidupan Nabi Muhammad ﷺ.
Setelah
itu Wahab bin Munabbih (110H)[6] juga menuruti
mereka dengan meletakkan sebagaian daripada kitab tulisan beliau dengan sirah
Nabi.
Kemudian
ilmu itu terus berkembang dan berkembang sehingga ia menjadi popular. Antara mereka
ialah Syurahbil bin Saad (123H)[7], Ibnu Syihab
az-Zuhri (124H),
Asim bin Umar bin Qatadah (120H), Abdullah bin Abu Bakar bin Hazm (135H).
Mereka berempat terkenal dalam periwayatan sirah pada ¼ kurun kedua hijrah.
Pada
pertengahan kurun ke dua hijrah pula, muncul ulama-ulama seperti Musa bin Uqbah
(141H), Ma`mar bin Rasyid (150H), dan Muhammad bin Ishaq (152H).
Pada
penghujung kurun kedua hijrah muncul al-Bakaie (183H), al-Waqidi (207H) dan
Muhammad bin Saad (230H). Kemudian Ibnu Hisyam (218H).
[1] Dr. Mustafa al-A`zhomi telah menulis satu buku bertajuk al-Maghazi
yang disandar kepada Urwah bin Zubair melalui periwayatan Abi al-Aswad. Justeru
di dalam asas ini kita mengetahui bahawa penulisan Urwah di dalam sejarah
adalah penulisan yang paling awal di dalam bab sirah Nabi Muhammad ﷺ.
Tetapi, tidak sampai kepada kita satu naskhah khas yang mengumpulkan penulisan
urwah tersebut. Dr Mustafa mengambil asas-asas penulisan tersebut dan
mengumpulkannya berdasarkan rekod daripada kitab-kitab hadis dan sirah.
[2] Urwah bin Az-Zubair bin al-Awwam juga dikenali dengan Ibnu Zubair.
Beliau adalah seorang Tabiin ahli hadis yang dipercayai dan popular.
Hadis-hadis yang beliau riwayatkan direkod di dalam kitab Sittah dan Musnad.
Rujuk Taqrib at-Tahzib 19/2.
[3] Yahya bin Al-Mughirah meriwayatkan daripada bapanya menyebutkan:
Dia tidak menulis sesuatu hadis melainkan maghazi / sirah Nabi ﷺ
yang diambil daripada Aban bin Usman. Beliau adalah orang yang paling banyak
membaca kepada aban dan menyuruh kami mempelajarinya. – Rujuk Ibnu Saad 5/156.
[4] Di dalam beberapa riwayat disebutkan bahawa Aban menulis lembaran
sirah untuk Sulaiman bin Abdul Malik. Kemudian lembaran itu hilang pada
Sulaiman.
[5] Aban ialah seorang yang Siqah dan direkod hadisnya oleh Al-Bukhari
di dalam kitab al-Adabul Mufrad, Muslim di dalam kitab Sahih, dan imam empat.
Rujuk at-Taqrib: 1/31.s
[6] Bleiau adalah seorang yang dipercayai. Direkodkan riwayatnya oleh
Al-Bukhari, Muslim, at-Tirmizi dann an-Nasaie. Rujuk at-Taqrib 2/329.
[7] Beliau adalah seornag yang jujur (Soduq) tetapi hadisnya bercampur-campur
pada akhir hayatnya. Diriwayatkan daripadanya oleh Al-Bukhari di dalam
al-Adabul Mufrad, Abu Daud dan Ibnu Majah. Rujuk at-Taqrib: 1/348.