Ini bukan artikel Ilmiah.
Sekadar mahu merungkaikan apa yang menyemak di
dalam jiwa.
Fasa 1: Dari Lahir Sehingga 12 Tahun
Saya tidak dilahirkan dalam keluarga ustaz dan
ustazah. Tetapi ayah saya sering menjadi imam di surau kampung kami. Dia juga
yang marah kami adik beradik apabila masih bermain ketika waktu senja.
Sejak lahir, saya disuruh oleh ayah untuk solat
dengan mengikutnya. Rukuk seperti ayah, sujud seperti ayah, dan lakukan semua
pergerakan seperti ayah. Ayah tak pernah ajar sebarang bacaan melainkan Allahu
Akbar dan Bismillah.
Di samping itu, ayah, abang dan kakak-kakak
ajar saya baca al-Quran bermula dengan ‘jahama’ (muqaddam dengan kaedah
al-Baghdadi). Saya berjaya hafal surah al-Fatihah dan beberapa surah pendek
lain ketika itu.
Kemudian saya masuk ke sekolah rendah,
cikgu-cikgu ajar pendidikan Islam. Tetapi saya tidak faham dan hafal apa-apa. Cikgupun
tidak begitu mementingkan subjek berkenaan. Saya masih solat seperti mana yang
ayah saya ajar. Saya masih bermazhab Ayah. Saya hanya diajar menyanyi lagu
Tauhid Sifat 20 yang saya tak faham apa-apa.
Ketika itu saya masih belum tahu membaca doa
iftitah mahupun doa tahiyat awal dan akhir.
Fasa 2: 12– 18 Tahun
Ketika di sekolah menengah, saya berjaya
menghafal doa-doa dalam solat. Di sini, saya sering membaca buku-buku gerakan
Islam terutama surat-surat tulisan Hasan al-Banna. Dari situ saya belajar
tentang akidah Tauhid Rububiyah dan Uluhiyah yang sangat mudah difahami.
Saya faham bahawa semua makhluk percaya akan
kewujudan Tuhan yang menciptakan alam (Tauhid Rububiyah), tetapi tidak semua
orang percaya bahawa Tuhan itu adalah Allah, yang hanya wajib sembah Dia sahaja
(Tauhid Uluhiyah).
Ketika tingkatan 2, saya balik ke kampung dan
mengemas bilik. Ketika mengemas, saya terjumpa sebuah buku bertajuk “Sifat
Solat Nabi SAW – Daripada Takbir Sehingga Salam”. Mungkin ia milik abang saya. Saya
selak dan baca satu persatu. Saya gembira kerana daripada situ saya mengetahui
sumber pergerakan saya dalam solat. Bahkan, saya lebih gembira apabila saya
dapat memperbaiki kebanyakkan pergerakan yang saya belajar daripada ayah saya.
Bermula daripada itu saya mula mencari jawapan
daripada setiap perbuatan saya selaku seorang Muslim.
Di sekolah menengah juga saya belajar bahasa
Arab, fikah, tauhid, mantik, dan lain-lain pengajian agama di samping pelajaran
akademik moden seperti matematik, sains, fizik, kimia, bio, dan lain-lain.
Guru saya tidak pernah beritahu bahawa fikah
yang kami belajar adalah bermazhab asy-Syafii, tetapi mereka selalu
ulang-ulang, “Kita ini berakidah ahli sunah aliran Asyairah Maturidiyah”. Malangnya,
pengajian Tauhid/Akidah adalah pelajaran paling susah!
Saya sudah pelik, mengapa ia menjadi paling
susah dan ramai gagal dalam peperiksaan? Bukankah subjek akidah semestinya
paling mudah dan senang lulus?
Ketika tingkatan 6, itulah pertama kali saya
mengenali kitab mazhab Asy-Syafii berjudul “Al-Iqna`”. Tetapi disebabkan saya
belajar berdasarkan kurikulum al-Azhar, maka kami juga belajar mazhab-mazhab
fikah yang lain seperti Hanafi, Maliki, Hanafi, dan Zohiri. Itu subjek wajib
untuk semua yang mengambil pperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Fasa 3: Dunia Universiti
Kemudian, saya sambung pengajian di Universiti
al-Azhar, Mesir yang telah membuka luas minda dan pengetahuan. Saya belajar
pelbagai mazhab fikah dan akidah. Saya belajar pelbagai unsur ilmu Islam. Saya
belajar cara mendapatkan pendapat yang paling kuat.
Setelah itu, saya mampu membuka dan memahami
kitab-kitab para ulama silam daripada pelbagai mazhab dan aliran. Saya faham
bahawa, mazhab itu bukan sekadar sandaran. Saya tidak boleh mengatakan
perbuatan ‘ini’ adalah daripada mazhab asy-Syafii sedangkan ia bukan daripada
mazhab asy-Syafii.
Saya juga dapati bahawa mazhab kebanyakkan
orang termasuk saya adalah”mazhab ustaz”. Iaitu kita mengikut
pandangan ustaz itu. Jika ustaz itu menggunakan mazhab asy-Syafii, maka kita
telah mengikut mazhab asy-Syafiie dalam isu berkenaan. Jika dia gunakan mazhab
Malik, lalu kita puas hati dengan pendangan itu dan kita ikut, maka kita telah
taqlid pada mazhab Malik.
Oleh itu, saya lebih gemar menggunakan
pendirian Jabatan Agama Islam Perlis yang menetapkan setiap mazhab boleh
diterima asalkan daripada Ahli Sunah wal Jemaah. Itu lebih menyelesakan dan
menenangkan.
Lagipula, tidak ada yang mengatakan sesat bagi
orang yang menggunakan mazhab lain selain Asy-Syafii. Apatah lagi, Imam
Asy-Syafii berguru dengan Imam Malik, Imam Malik berguru dengan Imam Abu
Hanifah. Manakala Imam Ahmad pula adalah guru kepada Imam asy-Syafii dalam
hadis, dan menjadi murid asy-Syafii dalam bidang fikah. Semuanya saling
berkait.
Fasa 4: 2015
Saya tidak berasa layak menyebut diri bermazhab
asy-Syafii kerana banyak perkara yang saya lakukan berbeza dengan pandangan
mazhab asy-Syafii. Saya lebih suka digelar ahli Sunah wal Jemaah yang
memanfaatkan pendapat para Imam ahlis Sunah wal Jemaah sama ada Hanafi, Maliki,
Syafii, Hanbali, dan ulama-ulama moden seperti Abu Zahrah, al-Qaradhawi,
Muhammad Syaltut, Al-Albani, dan lain-lain dalam memahami tuntutan agama.
Apabila mengajar di masjid-masjid pula, saya
akan mendahulukan fikah Asy-Syafii kerana saya faham bahawa orang Malaysia suka
digelar dengan mazhab asy-Syafii. Di samping mazhab itu, saya nyatakan juga
pendapat lain supaya orang tahu bahawa dalam dunia ini bukan ada satu mazhab
sahaja.
Allah lebih tahu.
Tiada Tuhan yang layak disembah selain Allah,
Nabi Muhammad pula adalah utusan Allah.
Tiada tambahan syahadah,
Melainkan dua kalimat itu sahaja.
Syihabudin Ahmad,
Sungai Buloh, Selangor.
17/12/2014 – Waktu Rehat Tengah Hari.