Imam
al-Hakim atau Abu Abdullah Muhammad bin Abdullah al-Hakim
an-Naisaburi menyebutkan dalam kitab beliau, Al-Mustadrak pada hadis bilangan:
4228.
Diceritakan
kepada kami oleh Abu Sa`id Amru bin Muhammad bin Mansur al-`Adl, Diceritakan
kepada kami oleh Abu Al-Hasan Muhammad bin Ishaq bin Ibrahim Al-Hanzali,
Diceritakan kepada kami oleh Abu Al-Haris Abdullah
bin Muslim Al-Fahri, Diceritakan kepada kami oleh Ismail bin
Maslamah, diberitakan kepada kami oleh Abdul
Rahman bin Zaid bin Aslam, daripada bapanya, daripada datuknya, daripada Umar bin
Al-Khatab, beliau berkata:
Rasulullah
SAW bersabda:
لَمَّا اقْتَرَفَ آدَمُ الْخَطِيئَةَ قَالَ: يَا رَبِّ أَسْأَلُكَ بِحَقِّ
مُحَمَّدٍ لَمَا غَفَرْتَ لِي، فَقَالَ اللَّهُ: يَا آدَمُ، وَكَيْفَ عَرَفْتَ
مُحَمَّدًا وَلَمْ أَخْلُقْهُ؟ قَالَ: يَا رَبِّ، لِأَنَّكَ لَمَّا خَلَقْتَنِي
بِيَدِكَ وَنَفَخْتَ فِيَّ مِنْ رُوحِكَ رَفَعْتُ رَأْسِي فَرَأَيْتُ عَلَىَ
قَوَائِمِ الْعَرْشِ مَكْتُوبًا لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ مُحَمَّدٌ رَسُولُ
اللَّهِ فَعَلِمْتُ أَنَّكَ لَمْ تُضِفْ إِلَى اسْمِكَ إِلَّا أَحَبَّ الْخَلْقِ
إِلَيْكَ، فَقَالَ اللَّهُ: صَدَقْتَ يَا آدَمُ، إِنَّهُ لَأُحِبُّ الْخَلْقِ
إِلَيَّ ادْعُنِي بِحَقِّهِ فَقَدْ غَفَرْتُ لَكَ وَلَوْلَا مُحَمَّدٌ مَا
خَلَقْتُكَ
Apabila
Adam melakukan kesalahan, dia berkata: “Wahai Tuhan, aku memohon (keampunan)
kepada Engkau dengan hak Muhammad supaya Engkau mengampunkanku.” Lalu Allah
berkata: “Wahai Adam! Bagaimana kamu mengenali Muhammad sedangkan dia belum
diciptakan?” Adam menjawab: “Wahai Tuhan! Ketika Engkau menjadikan aku dengan
tangan-Mu dan meniupkan kepadaku roh-Mu, lalu aku angkat kepalaku dan aku
melihat tiang-tiang arasy ditulis “Tiada Tuhan Selain Allah, Muhammad adalah
utusan Allah.” Maka aku tahu bahawa tidak ada yang Engkau letakkan namanya di
samping nama-Mu melainkan ia adalah makhluk yang paling engkau cintai.” Allah
berkata: “Engkau benar wahai Adam. Dia adalah makhluk yang paling aku cintai,
maka berdoalah kepadaku dengan haknya nescaya aku akan mengampunkanmu.
Seandainya tidak kerana Muhammad, nescaya aku tidak akan menciptakanmu.”
Imam
Al-Hakim berkata: “Hadis ini sahih dari sudut sanad dan ia adalah hadis pertama
yang aku sebutkan melalui Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam dalam kitab ini”
Ulasan
Para Ulama
- Imam Az-Zahabi memberi ulasan dalam kitab al-Mustadrak: Bahkan hadis ini palsu. Abdul Rahman adalah seorang yang wahin (lemah), manakala Abdullah bin Muslim Al-Fahri pula aku tidak kenal siapakah dia.
- Imam Az-Zahabi juga memberi ulasan dalam Mizan I`tidal: Ia adalah khabar yang palsu. Ia disepakati oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Lisanul Mizan.
- Al-Baihaqi menyebutkan: Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam bersendirian dalam meriwayatkan hadis ini sedangkan dia dhoif. Ia disepakati oleh Ibnu Kasir dalam Al-Bidayah wan Nihayah.
- Fakta: Al-Hakim sendiri mengatakan bahawa Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam adalah seorang pemalsu hadis, tetapi bagaimana pula dia mensahihkan hadis ini? Nampaknya beliau- semoga Allah rahmati beliau- telah keliru.
- Al-Hakim menyebutkan dalam kitab Al-Madkhal Ila Ma`rifah as-Sahih min as-Saqim: Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam meriwayatkan daripada bapanya hadis-hadis yang palsu, tidak tersembunyi daripada sesiapa yang menelitinya daripada golongan pemalsu yang membawanya. Aku berkata: dan Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam (juga) adalah Dhoif kerana mereka bersepakat dalam banyak melakukan kesalahan (dalam hadis).
Kesimpulan: Hadis ini palsu menurut penjelasan
para ulama hadis. Al-Hakim telah melakukan kesilapan apabila beliau
mensahihkannya.
Rujukan
asatizah: http://islamqa.info/ar/34715
WallahuA`lam.