Tazkirah Ramadhan KPSB
13 Ramadhan 1435H

Oleh : En. Masri Abu Soed (Pengarah Urusan)

■》Muqaddimah:

Orang yang beriman jika boleh mereka mahu sepanjang tahun adalah Ramadhan. Tetapi orang 'asi (suka membuat mungkar) sangat tidak suka dengan Ramadhan, sehingga jika boleh mereka mahu 'delete' dari kalander.

Ramadhan ini ada fenomena umat yang berlaku sepanjang waktunya. Minggu Pada tempoh pertama Ramadhan, masjid-masjid dipenuhi jemaah, sehingga jawatankuasa masjid terpaksa memikirkan pelbagai cara untuk menyelesaikan masalah tempat solat tidak cukup.

Tetapi malangnya, minggu kedua dah lengang.

Justeru itu kita perlu jadi agen, jadi asbab hidayah (penyebab orang dapat hidayah). Dalam masa yang sama kita sendiri perlu betulkan diri. Kita mulakan dengan diri kita, kemudian sampaikan.

Kita dan ustaz seperti suasana hospital.

Masyarakat ialah pemandu ambulans dan ustaz adalah doktor. Kita jumpa pesakit, lalu kita bawa kepada Ustaz. Maka kita telah menjadi asbab hidayah.

Istilah lain, kita hanya pemancing. Kita pancing ikan, kemudian berikan kepada isteri untuk dimasak. Kita adalah asbab hidayah.

■》Hadis :

Dari Abu Hurairah, dia berkata, “Rasulullah saw. bersabda, ‘Pada bulan Ramadhan umatku diberi lima keutamaan yang tidak diberikan kepada umat sebelumnya; (1) bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari pada minyak kesturi, (2) para malaikat meminta keampunan untuk mereka hingga berbuka, (3) pada setiap harinya Allah menghiasi syurga mereka, kemudian Allah berfirman, 'hampir saja para hamba-Ku yang shalih dihindarkan dari kepayahan dan gangguan dan berjalan kepadamu (surga).' (4) dan di dalam bulan Ramadhan para syaitan dibelenggu hingga mereka tidak bebas menggoda orang yang berpuasa sebagaimana mereka bebas mengganggu selainnya, (5) dan akan diampuni dosa-dosa mereka (orang yang berpuasa) di akhir malam bulan Ramadhan.’ Para sahabat bertanya, ‘Wahai Rasulullah apakah itu pada lailatul qadar?’ Rasulullah saw. bersabda, "Tidak, akan tetapi seorang yang beramal akan ditepati pahalanya jika telah selesai melaksanakan amalannya."

HR. Ahmad, Musnad Ahmad, 790

(Syeikh Syuaib dan al Albani berkata Hadis ini dhoif bahkan terlalu dhoif. Tetapi kandungannya sebahagiannya dikuatkan dengan hadis sahih dan sebahagian lagi tidak.)


1- Bau mulut.

Hadis ini mempunyai konteksnya. Ia bukan galakkan untuk tidak membersihkan mulut dari bau. Apatah lagi apabila kita bersama di pejabat dengan orang bukan Islam. Ia akan membawa kefahaman yang salah.

Justeru itu hendaklah kita sentiasa membersihkan mulut dengan berus gigi atau bersugi.

(Syariah: Hadis berkaitan perkara ini sahih. Sahih Muslim: 807)

2) berdoa

Mintalah doa khususnya sebelum berbuka. Apabila doa belum dimustajabkan, maka bersabarlah. Seumpama budak kecil yang meminta pisau, kita tak beri kerana kita sayangkan dia. Apabila doa belum mustajab, mungkin ada sesuatu yang tidak kena sehingga Allah menahannya.

(Syariah: Hadis berkaitan perkara ini sahih. Ibnu Majah 1752)

3) Syurga dihias

(Syariah: Hadis berkaitan perkara ini tidak sahih bahkan banyak hadis palsu berkaitannya.)

4) Syaitan dirantai

Sebahagian ulama sebut bahawa syaitan besar sahaja dirantai, sebahagian lain sebutkan syaitan telah berpesan pada nafsu.

(Syariah : Hadis berkaitan perkara ini sahih. Al-Hakim, 1582)

5) diampunkan malam akhir ramadhan -bukan lailatul qadr

(Syariah : Tiada hadis sahih yang menyebutkan kelebihan ini.)

■》Kesimpulan : Setiap orang akan dapat menemui lailatul qadr. Yang penting kita beribadah pada setiap malam. Ibadah setiap orang akan mendapat balasan yang berbeza-beza di sisi Allah. Ini kerana kuliti ibadah mereka saling berbeza.

Demikian juga pahala puasa setiap orang berbeza. Apabila mujahadah berbeza, maka berbeza juga nilaiannya di sisi Allah.

Dalam pada masa kita sibuk dengan perkara sunat, jangan pula kita lalai dengan amalan asas seperti solat fardhu 5 waktu dan sebagainya.

■》Penutup: Semoga dengan mengetahui kelebihan ini, ia akan menambahkan amalan kita. Jangan puasa menyebabkan kita letih sahaja dan tidak larat membuat kerja. Apa yang lebih penting ialah puasa ini biar menjadi penyebab kita dekat dengan Allah.

WallahuAlam