1.Peristiwa
Israk mikraj
Peristiwa Israk mikraj adalah sebuah cerita
yang benar lagi sahih. Peristiwa yang menunjukkan bukti kenabian Nabi Muhammad
saw. Ia dikuatkan dengan ayat al-Quran dan hadis sahih dalam darjat yang
tertinggi. Tiada seorangpun Muslim yang mengingkari peristiwa itu kerana ia
adalah ujian dalam menentukan pendirian umat Islam. Siapa yang tidak percaya,
maka dia telah menjadi kafir.
Sebahagian
orang ada mengatakan bahawa Israk disebut di dalam al-Quran, namun Mikraj hanya
disebutkan dalam hadis. Maka penulisan ini akan berusaha menunjukkan bukti
salah faham itu.
Apa yang lebih mendukacitakan apabila wujudnya
para penceramah dan tukang cerita yang sengaja menambah-nambah cerita yang
sebenarnya tidak ada di dalam kisah Israk Mikraj, sehingga mencacatkan kisah
ini dari sudut akademik.
2.
Istilah
Israk membawa
maksud perjalanan Nabi saw di bumi dalam masa yang sangat singkat iaitu
sebahagian dari satu malam sahaja dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidl Aqsa,
Palestin. Manakala Mikraj pula ialah perjalanan dari alam dunia ke
sidaratul muntaha (langit) kemudian kembali semula ke Masjidl Haram, Mekah.
Kedua-dua
peristiwa ini berlaku dalam satu malam sahaja. Ia tidak berlaku dalam mimpi,
tetapi ia berlaku dalam keadaan Nabi saw berjaga. Jika Nabi melakukan
perjalanan dalam keadaan mimpi, maka ia bukanlah satu mukjizat yang pelik.
Bahkan, para penentang Islam juga tidak akan ambil cakna dalam isu ini.
3.
Ayat al-Quran berkaitan al-Israk dan al-Mikraj
1)
Surah Al-Isra’
: 1
"1. Maha suci Allah yang telah menjalankan
hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke
Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk
memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami.
Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui."
Penjelasan : Ayat al-Quran ini menjadi bukti yang paling kukuh dalam
menyatakan peristiwa Israk itu benar-benar berlaku dalam satu malam sahaja. Ia
juga menjelaskan bahawa Israk ini adalah salah satu dari mukjizat Nabi Muhammad
saw. Maka, mukjizat itu tidak menjadi mukjizat jika ia hanya berlaku dalam
mimpi sahaja. Ia pasti berlaku ketika Nabi Muhammad saw sedar.
2)
Surah Al-Isra’
: 60
"60. dan (ingatlah) ketika Kami wahyukan
kepadamu (Wahai Muhammad), bahawa sesungguhnya Tuhanmu meliputi akan manusia
(dengan ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya); dan tiadalah Kami menjadikan pandangan
(pada malam Mikraj) yang telah Kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu
ujian bagi manusia; dan (demikian juga Kami jadikan) pokok yang dilaknat di
dalam Al-Quran; dan Kami beri mereka takut (dengan berbagai-bagai amaran) maka
semuanya itu tidak menambahkan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau."
Penjelasan : Ayat ke 60 ini menjadi bukti bahawa kejadian Mikraj juga
disebutkan di dalam al-Quran. Ia menjadi bukti yang menguatkan hadis-hadis yang
saya akan kemukakan kemudian bahawa Nabi Muhammad saw diperlihatkan dengan
pelbagai kejadian aneh yang menambahkan keimanan dalam peristiwa Mikraj. Hanya
orang beriman sahaja yang akan percaya peristiwa ini, manakala golongan kafir
dan munafik akan menunjukkan kekufuran yang jelas nyata.
4. Hadis sahih berkaitan Israk dan
Mikraj
Saya tidak berhajat
untuk menyebutkan kesemua hadis sahih berkaitan peristiwa Israk dan Mikraj,
tetapi saya berikan hadis yang lengkap dan paling sahih tentang peristiwa ini.
1.
HR Muslim : 429. Kitab Iman, Bab Israk Rasul dan Kewajipan
Solat.
Imam Muslim merekodkan: Syaiban bin Farruj
menceritakan kepadaku daripada Hammad bin Salamah, daripada Sabit bin
al-Bunani, daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah berkata:
Aku telah didatangi al-Buraq - Iaitu seekor
binatang yang berwarna putih, lebih besar dari keldai tetapi lebih kecil dari
baghal. Ia merendahkan tubuhnya sehinggalah perut al-Buraq tersebut mencecah
bumi.-
Tanpa membuang masa, aku terus menungganginya
sehinggalah sampai ke Baitul Maqdis. Lalu aku mengikatnya pada tiang masjid
sebagaimana yang biasa dilakukan oleh para Nabi. Sejurus kemudian aku masuk ke
dalam masjid dan mendirikan solat sebanyak dua rakaat. Setelah selesai aku
terus keluar, secara tiba-tiba aku didatangi dengan semangkuk arak dan
semangkuk susu oleh Jibril a.s. Aku memilih susu. Lalu Jibril a.s berkata:
Engkau telah memilih fitrah.
Lalu Jibril a.s membawaku naik ke langit.
Ketika Jibril a.s meminta agar dibukakan pintu, kedengaran suara bertanya:
Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah
bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia
telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Lalu dibukakan
pintu kepada kami. Ketika itu aku bertemu dengan Nabi Adam a.s, beliau
menyambutku serta mendoakan aku dengan kebaikan.
Seterusnya aku dibawa naik ke langit kedua.
Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi:
Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah
bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia
telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun
dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Isa ibnu Mariam dan Yahya bin
Zakaria, mereka berdua menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan.
Aku dibawa lagi naik langit ketiga. Jibril a.s
meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah
engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril
a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan?
Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami.
Ketika aku bertemu dengan Nabi Yusuf a.s ternyata dia telah dikurniakan
sebahagian dari keindahan. Dia terus menyambut aku dan mendoakan aku dengan
kebaikan.
Aku dibawa lagi naik ke langit keempat. Jibril
a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah
engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril
a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan?
Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami.
Ketika aku bertemu dengan Nabi Idris a.s dia terus menyambutku dan mendoakan
aku dengan kebaikan. Firman Allah s.w.t Yang bermaksud: Dan kami telah
mengangkat ke tempat yang tinggi darjatnya.
Aku dibawa lagi naik ke langit kelima. Jibril
a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah
engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril
a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan?
Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami.
Ketika aku bertemu dengan Nabi Harun a.s dia terus menyambutku dan mendoakan
aku dengan kebaikan.
Aku dibawa lagi naik ke langit keenam. Jibril
a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah
engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril
a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan?
Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami.
Ketika aku bertemu dengan Nabi Musa a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku
dengan kebaikan.
Aku dibawa lagi naik ke langit ketujuh. Jibril
a.s meminta supaya dibukakan. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau?
Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s
menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril
a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika
aku bertemu dengan Nabi Ibrahim a.s dia sedang berada dalam keadaan menyandar
di Baitul Makmur. Keluasannya setiap hari memuatkan tujuh puluh ribu malaikat. Setelah
keluar mereka tidak kembali lagi kepadanya.
Kemudian aku dibawa ke Sidratul Muntaha.
Daun-daunnya besar umpama telinga gajah manakala buahnya pula sebesar tempayan.
Ketika aku merayau-rayau meninjau kejadian Allah s.w.t, aku dapati kesemuanya
aneh-aneh. Tidak seorang pun dari makhluk Allah yang mampu menggambarkan
keindahannya.
Lalu Allah s.w.t memberikan wahyu kepada aku
dengan mewajibkan solat lima puluh waktu sehari semalam. Tatakala aku turun dan
bertemu Nabi Musa a.s, dia bertanya: Apakah yang telah difardukan oleh Tuhanmu
kepada umatmu? Aku menjawab: Solat lima puluh waktu. Nabi Musa a.s berkata:
Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan kerana umatmu tidak akan mampu
melaksanakannya. Aku pernah mencuba Bani Israil dan memberitahu mereka.
Lalu aku kembali kepada Tuhanku dan berkata:
Wahai Tuhanku, berilah keringanan kepada umatku. Lalu Allah s.w.t mengurangkan
sehingga lima waktu solat.
Aku kembali kepada Nabi Musa a.s dan berkata:
Allah telah mengurangkan lima waktu solat dariku. Nabi Musa a.s berkata: Umatmu
masih tidak mampu melaksanakannya. Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah
keringanan lagi.
Aku tak henti-henti berulang-alik antara Tuhan
dan Nabi Musa a.s, sehinggalah Allah s.w.t berfirman Yang bermaksud: Wahai
Muhammad! Sesungguhnya aku fardukan hanyalah lima waktu sehari semalam. Setiap
solat fardu diganjarkan dengan sepuluh ganjaran. Oleh yang demikian, bererti
lima waktu solat fardu sama dengan lima puluh solat fardu.
Begitu juga sesiapa yang berniat, untuk
melakukan kebaikan tetapi tidak melakukanya, nescaya akan dicatat baginya satu
kebaikan. Jika dia melaksanakannya, maka dicatat sepuluh kebaikan baginya.
Sebaliknya sesiapa yang berniat ingin melakukan kejahatan, tetapi tidak
melakukannya, nescaya tidak sesuatu pun dicatat baginya. Seandainya dia
melakukannya, maka dicatat sebagai satu kejahatan baginya.
Lalu aku turun hingga sampai kepada Nabi Musa
a.s, lalu aku memberitahu kepadanya. Dia masih lagi berkata: Kembalilah kepada
Tuhanmu, mintalah keringanan. Baginda menyahut: Aku terlalu banyak berulang
alik kepada Tuhan, sehingga menyebabkan aku malu kepada-Nya.
Nota : Hadis yang mempunyai kandungan serupa direkodkan juga oleh
al-Bukhari dalam bab Mikraj, no 3800.
Hadis Sahih yang berkaitan juga boleh di dapti
dalam rekod berikut : Al-Bukhari: 3394, 3437, 4709, 5576, 5603. Muslim : 272.
Ahmad: 512.
2.
Muslim: 448. Kitab Iman, Bab Memperingati al-Masih Ibnu
Maryam dan al-Masih ad-Dajjal
Aku telah merenung diriku di hijr Ismail,
orang-orang Quraisy bertanya kepadaku mengenai perjalanan malamku (pada waktu
isra’ dan mi’raj, pent). Mereka menanyakan beberapa perkara mengenai Baitul Maqdis
yang belum aku ketahui dengan pasti sehingga aku pun merasakan kesusahan yang
sama sekali belum pernah aku rasakan sebelumnya. Maka Allah pun mengangkatnya
untukku agar aku dapat melihatnya. Dan tidaklah mereka menanyakan kepadaku
melainkan aku pasti akan menjawabnya.
Aku telah melihat diriku bersama sekumpulan
para Nabi. Dan tiba-tiba aku diperlihatkan Nabi Musa yang sedang berdiri
melaksanakan solat, ternyata dia adalah seorang lelaki yang kekar dan berambut
keriting, seakan-akan orang bani Syanuah. Aku juga diperlihatkan Isa bin Maryam
yang juga sedang berdiri melaksanakan sholat. Urwah bin Mas’ud As-Tsaqafi
adalah manusia yang paling mirip dengannya.
Telah diperlihatkan pula kepadaku Nabi Ibrahim
yang juga sedang berdiri melaksanakan solat, orang yang paling mirip denganya
adalah sahabat kalian ini; yakni diri baginda sendiri.
Ketika waktu solat telah masuk, akupun
mengimami mereka semua. Dan seusai melaksanakan solat, ada seseorang berkata,
‘Wahai Muhammad, ini adalah malaikat penjaga api neraka, berilah salam
kepadanya! ‘ Maka akupun menoleh kepadanya, namun ia segera mendahuluiku
memberi salam.
Penjelasan : Hadis ini menjelaskan bahawa kaum Quraisy bertanya Nabi
saw berkenaan peristiwa Israk dan Mikraj. Lalu baginda dapat menceritakan
dengan jelas kisah tersebut apabila Allah memberi kurniaan ingatan dengan
diperlihatkan semula kejadian tersebut.
Hujah yang jelas yang
telah saya sebutkan di atas menjadi bukti kewujudan peristiwa Israk dan Mikraj.
Bahkan, sebagai umat Islam kita hendaklah mempercayainya dengan sebulat hati.
Ia termasuk dalam mempercayai perkara-perkara ghaib yang disampaikan oleh
Rasulullah saw.
5. Cerita Palsu berkenaan Israk Mikraj
Dalam kesempatan yang singkat ini, saya
mengambil beberapa kisah yang sering diceritakan dan disebarkan ketika Israk
dan Mikraj. Tetapi sandarannya sangat lemah, atau tiada sandaran langsung.
Saya jadikan kisah-kisah yang didapati dari
sebaran internet sebagai panduan.
1.
Jibril Tidak boleh Menemani Rasulullah
“… Akhirnya Rasulullah Saw sampai di satu
tempat yang tidak pernah seorang pun manusia sampai ke situ walaupun dia
seorang Rasul dan Nabi. Kemudian Rasululah Saw melalui satu kawasan yang
Malaikat pun tidak pernah sampai kesitu kecuali Jibril. Sampai di satu tempat
Jibril meminta Rasulullah Saw bergerak ke hadapan dan dia berkata: "Kalau
aku ke hadapan walaupun selangkah, aku akan terbakar”
Apabila dikaji, kisah
ini terdapat dalam rekod Ibnu Hibban dalam kitab beliau “Al-Majruhin –
pengkelasan orang yang ditolak dalam periwayatan.” (11/3).
Dalam hadis tersebut dinyatakan sanad hadis di
atas: - Disampaikan kepadaku oleh Muhammad bin Badwisat an-Nasawi bahawa Humaid
bin Zinjawaih meriwayatkan daripada Muhammad bin Abi Khidasy al-Musily,
daripada Ali bin Qutaibah daripada Maisarah bin Abdur Rabbihi, daripada Umar
bin Sulaiman ad-Dimasyqi, daripada Adh-Dhahaq, daripada Ibnu Abbas berkata…
Imam Ibnu Hibban
berkata : Kecacatan hadis ini adalah Maisarah bin Abdur Rabbihi al-Farisi
adalah salah seorang dari penduduk Dauraq. Dia sering menyampaikan hadis yang
palsu yang disandar kepada orang yang kukuh periwayatannya. Dia memalsukan
hadis lalu disandarkan kepada orang yang dipercayai bagi menggalakkan orang untuk
melakukan kebaikan dan menjauhi kejahatan. Tidak halal menulis hadis
daripada melainkan untuk mengambil iktibar akan perbuatannya..
Imam al-Bukhari menyebutkan tentang Maisarah
bin Abdur Rabbihi dalam kitabnya Ad-Dhu`afa as-Shoghir : Maisarah dihujani dengan
label penipu.
Imam an-Nasaie pula berkata dalam bukunya
Ad-Dhu`afa’ al-Matrukin: Maisarah bin Abdur Rabbihi adalah seorang yang
ditinggalkan penyampaian hadisnya.
Justeru itu, kisah ini
tertolak kerana wujud pemalsuan. Pemalsu kisah ini juga dengan sengaja
memalsukan hadis dengan tujuan baik. Bahkan itulah kebiasaan manusia yang baik
tapi tiada ilmu, maka mereka menghalalkan sesuatu yang diharamkan Allah untuk
mencapai kebaikan yang lain.
Kisah-kisah yang dibawah ini juga berada di
dalam hadis yang sama, cumanya saya pecahkan kerana mahu memecahkan kepada
perbahasan yang boleh memberi manfaat. insyaAllah.
2.
Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku pada bulan 27 Rejab.
Tarikh kalender Hijrah
tidak pernah ada pada zaman Nabi saw. Ia dicipta selepas Nabi saw wafat.
Bahkan, orang Arab dahulu sangat suka bermain-main dengan tarikh. Seandainya
tarikh 27 Rejab itu adalah tarikh mulia bagi umat Islam, nescaya para sahabat
telah mengingatinya. Apa yang penting dalam kisah Israk Mikraj ialah peristiwa
yang berlaku, bukanlah waktu dan tarikhnya.
Justeru itu tidak ada
satu ketetapan bahawa peristiwa ini berlaku pada 27 Rejab. Para Ulama berbeza
pendapat dalam menentukan waktu berlakunya Israk dan Mikraj.
1.
Dikatakan peristiwa ini berlaku semasa tahun Allah SWT
mengurniakan kenabian kepada Nabi saw. Ini adalah pendapat Imam at-Tobari.
2.
Dikatakan peristiwa ini berlaku selepas 5 tahun Nabi SAW
diutuskan sebagai Rasul. Ini adalah pendapat yang dirajehkan oleh Imam
an-Nawawi dan al-Qurtubi..
3.
Dikatakan peristiwa ini berlaku semasa malam ke dua puluh
tujuh daripada bulan Rejab, iaitu dalam tahun ke sepuluh kenabian.
4.
Dikatakan berlaku pada 16 bulan sebelum tempoh berlakunya
hijrah, iaitu dalam bulan Ramadan pada tahun ke dua belas kenabian.
5.
Dikatakan berlaku pada setahun dua bulan sebelum tempoh
berlakunya hijrah, iaitu dalam bulan Muharram pada tahun ke 13 kenabian.
6.
Dikatakan juga berlaku pada setahun sebelum tempoh
berlakunya hijrah, iaitu dalam bulan Rabi’ al-Awwal pada tahun ke sepuluh
kenabian.
Tiga pendapat pertama di atas ditolak. Ini
kerana, isteri Nabi SAW iaitu Saidatina Khadijah wafat dalam bulan Ramadan pada
tahun ke sepuluh kenabian. Sedangkan para ulama hadis telah bersepakat bahawa
ibadah solat difardukan selepas daripada kewafatan Saidatina Khadijah iaitu
semasa peristiwa Israk dan Mikraj.
3.
Melihat dunia dalam keadan wanita yang telah tua.
Cerita ini direkodkan
dalam Tafsir at-Tobari (6/15), al-Baihaqi dalam Dalail, dan Ibnu Kathir dalam
Tafsirnya (5/3). Lalu mereka berkata, ‘Dalam sebahagian lafaznya terdapat sesuatu
yang tidak dapat diterima dan pelik.
Hadis ini dikategori
sebagai lemah yang tiada penguat kerana penyampai cerita ini iaitu Abdul Rahman
bin Hashim adalah seorang yang tidak dikenali biografinya dalam dunia hadis. Ia
tidak boleh dibuat hujah.
4.
Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman
mereka.
Menurut cerita, apabila dituai, hasil (buah)
yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku
berulang-ulang. Rasulullah dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad
“Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan
sehingga gandaan yang lebih banyak.
Ibnu Kathir mengulas
hadis ini dalam kitab Tafsirnya, “Hadis ini sebahagian lafaznya sangat ganjil
dan pelik… seolah-olah ia adalah kumpulan hadis yang berbeza-beza atau berlaku
ketika mimpi dan tidak berlaku ketika peristiwa Israk Mikraj.”
5.
Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka.
Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh
kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail
memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud
(sembahyang).
Cerita ini tidak
berlaku ketika peristiwa Mikraj, tetapi ia diperlihatkan oleh Allah kepada Nabi
Muhammad dalam mimpi baginda. Ia boleh dirujuk dalam Sahih al-Bukhari, no 7074.
Hadisnya berbunyi, “..semalam aku bermimpi bahawa
telah datang kepadaku dua tetamu, mereka mengajakku keluar dan berkata
kepadaku: “mari jalan”, lalu akupun pergi bersama keduanya, lalu kami
mendatangi seorang yang lagi berbaring terlentang dan seorang lagi berdiri
sambil memegang sebongkah batu, ia melemparkan batu tersebut ke kepalanya
(orang yang berbaring terlentang tadi), batu tadi akhirnya memecahkan kepalanya……
Adapun orang yang memecahkan kepalanya dengan batu ialah orang yang mengambil
al-Quran kemudian membuangnya lalu tidur dari mengerjakan solat yang wajib.”
6.
Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul
dan dubur) dengan secebis kain.
Mereka dihalau seperti
binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata
Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
Cerita ini juga tidak berlaku ketika Mikraj,
tetapi berlaku di dalam mimpi Nabi saw sepertimana yang direkod oleh
al-Bukhari, no. 7074.
7.
Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah
yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka.
Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang
melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai
isteri / suami.
-
Lihat penjelasan di bawah.
8.
Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka
dengan penggunting besi berkali-kali.
Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka
kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan
mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
Ibnu Kathir mengulas
hadis ke 7 dan 8 ini dalam kitab Tafsirnya, “Hadis ini sebahagian lafaznya
sangat ganjil dan pelik… seolah-olah ia adalah kumpulan hadis yang berbeza-za
atau berlaku ketika mimpi dan tidak berlaku ketika peristiwa Israk Mikraj.”
Kata Adz-Dzahabi, “Hadis ini munkar (palsu)
yang menyerupai cerita-cerita dari panglipulara. Ia diberitahu untuk disampaikan
cerita (yang menarik), bukan untuk dijadikan hujah.”
9.
Melihat kaum bibirnya laksana unta.
Kisahnya berbunyi, Rasulullah
SAW bersabda: Pada malam aku di-Israkkan oleh Allah, aku melihat kaum yang
bibirnya laksana bibir unta. Dan sesungguhnya ada malaikat yang diserahi tugas
menarik bibir mereka. Kemudian mulut mereka itu diisi dengan batu yang besar
dan nanti akan keluar dari punggung mereka. Lalu aku (Muhammad) bertanya:
“Wahai Jibril, siapakah itu?” Jibril menjawab: “Mereka adalah orang-orang yang
memakan harta anak yatim dengan zalim.”
Cerita ini direkod dalam beberapa kitab tafsir.
Malangnya ia adalah suatu hadis yang sangat lemah menurut penilaian Syeikh al-Albani
sekalipun azab tersebut disebut dalam surah an-Nisa` ayat 10. Apa yang nyata
adalah azab tersebut tidak dilihat oleh Rasulullah ketika Mikraj, tetapi ia
adalah peringatan al-Quran yang sangat jelas.
Pembohongan Atas Nama agama dengan
‘sengaja’
Apabila meneliti
sebahagian hadis-hadis yang telah saya nyatakan di dalam penulisan ini, saya
dapati ramai penceramah dan pendakwah suka menyebarkan sesuatu yang tidak
dikaji kesahihannya terlebih dahulu. Akhirnya mereka menyebarkan penipuan demi
penipuan atas nama Rasulullah saw.
Berhati-hatilah dengan sebarang kata-kata kita,
kerana Nabi saw pernah mengingatkan,
إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ مَنْ
كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan
namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang
lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat
duduknya dalam neraka”.
(HR al-Bukhari: 1291)
Apa yang terbaik buat
kita ialah kita cuma berbicara pada perkara yang kita tahu kesahihannya sahaja.
Manakala sesuatu yang menarik tetapi tidak diketahui kesahihannya sangatlah
berbehaya untuk disebarkan.
Dr. Muhammad Asri
berkata, “Mungkin ada pembaca hadis palsu merasakan mereka tidak bersalah,
sebab mereka hanya memetik daripada buku-buku mereka baca yang memuatkan
hadis-hadis palsu. Maka mereka merasakan mereka hanya menyebarkan, maka tidak
patut dipersalahkan. Mereka lupa penyebar hadis palsu sama ada menerusi ucapan
atau tulisan, dia dalam masa yang sama sebenarnya menipu orang lain apabila
menyandar sesuatu perkara kepada Nabi SAW tanpa bukti yang sah. Pendengar akan
terpedaya lalu mengamalkan perkara yang dianggapnya daripada Nabi saw, sedang
ia bukan seperti yang disangkakan.”
والله تعالى أعلم بالصواب
8 Comments
sy memohon semoga allah memberi petunjuk dan jln yg benar.jauhknlah kami dr sifat2 yg keji..
ReplyDeletesy memohon semoga allah memberi petunjuk dan jln yg benar.jauhknlah kami dr sifat2 yg keji..
ReplyDeleteSama sama kita doakan supaya kita semua mendapat riwayat dan kisah sebenar peristiwa Israk dan Mikraj ini, bukan yang samar2 dan palsu. Amin !!!
ReplyDeleteAlhamduliĺah jelas
ReplyDeleteAlhamduliĺah jelas
ReplyDeleteUstaz, bagaimana pula dengan riwayat yang mengaatakan lafaz tahiyyat di dalam solat ialah perbualan di antara Rasulullah SAW dengan Allah SWT ketika peristiwa Israk Mikraj? Sahih ke?
ReplyDeleteBagus la nii
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDeletePost a Comment